ALLAH ITU ALAM GHAIB? – DR. RAMALAN YUNUS

253
SHARES
815
VIEWS

Tidak semena-mena keluar fatwa dari utara yang menyatakan bahawa “ALLAH ITU ALAM GHAIB”. Sudah pasti kenyataan seperti itu akan mengejutkan umat Islam di Malaysia yang menganut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ini kerana ia jelas bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyimpulkan bahawa ALLAH ITU WUJUD TIDAK BERTEMPAT. Mana mungkin ALLAH ITU ALAM GHAIB. Ini kerana baik alam ghaib mahupun alam nyata, kedua-duanya adalah makhluk ciptaan Allah.

Menyamakan Allah dengan makhluk itu akidah yang sesat lagi menyesatkan dalam fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada ajaran akidah Imam Asy’ari dan Imam Al Maturidi. Secara peribadi saya tidak peduli dengan fahaman golongan Wahabi atau Khawarij moden ini.

Tetapi dalam soal bermasyarakat dan bernegara, saya harus ambil peduli. Ini kerana ia bertentangan dengan norma-norma hidup masyarakat Islam di Malaysia dan juga Perlembagaan Persekutuan. Fahaman dan amalan Islam di Malaysia adalah menurut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Betul ia tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi ia telah dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan negeri-negeri kecuali Negeri Perlis. Kita jangan lupa bahawa Perlembagaan Persekutuan dibentuk berdasarkan kepada Perlembagaan negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Silakan kalau mahu berpegang dengan akidah seperti itu. Tetapi dengan syarat jangan ‘diarus-perdanakan’. Jangan dipromosikan di tengah masyarakat.

Perlembagaan Persekutuan tidak melarang mana-mana pihak untuk mengamalkan keyakinan selain dari Islam. Tetapi dengan catatan, ia tidak boleh dipromosikan seperti agama Islam menurut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Apa yang membimbangkan pada hari ini adalah fahaman atau pemikiran Wahabi atau Khawarij moden ini terus berkembang dan semakin berleluasa. Yang membimbangkan adalah kerana fikrah aliran ini begitu ekstrem sekali.

Mereka mudah mengkafirkan umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka dan juga menganggap darah umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka itu adalah halal.

Sejarah panjang golongan Khawarij telah membuktikan bahawa golongan ini tidak menghormati penguasa dan pihak berkuasa. Peristiwa Berdarah Memali pada tahun 1985 adalah contoh terbaik akibat dari berpegang dengan fikrah yang ekstrem ini.

Hari ini, kemunculan Gelombang Hijau harus diberikan perhatian khusus oleh pihak berkuasa. Ini kerana di belakang Gelombang Hijau itu adalah sebuah parti politik yang telah dikuasai oleh fikrah Wahabi atau Khawarij moden ini sejak sekian lama.

Sesuatu perlu dilakukan untuk membendung aliran ini dari terus berkembang sebelum terlambat. Kita tidak mahu melihat peristiwa berdarah Memali berulang sekali lagi.

Sudah banyak kitab yang dikarang oleh para ulama sejak dari zaman dahulu untuk mengingatkan kita tentang bahayanya golongan ini. Keempat-empat Khalifah Khulafaur Rasyidin telah dibunuh oleh golongan ini. 

Oleh itu pihak berkuasa seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, JAKIM dan jabatan-jabatan Agama Islam di negeri-negeri harus bersikap tegas terhadap golongan ini.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts