ANTARA PAS DAN ISLAM – DR. RAMALAN YUNUS

426
SHARES
2.5k
VIEWS

Belum beberapa hari menduduki kerusi Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Ustaz Nassuruddin Haji Daud telah menyerang dua ADUN PH-BN. Beliau melabel dua ADUN tersebut sebagai melawan perjuangan Islam.

Apa makna kenyataan Menteri Besar Kelantan itu? Tidakkah kenyataan seperti itu mengandungi doktrin takfiri fahaman Wahabi? Para asatizah dari Ahli Sunnah Wal Jamaah atau ASWJ tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Ini kerana menentang PAS bukan bererti menentang Islam. PAS bukan Islam dan Islam bukan PAS. PAS hanya sebuah parti politik seperti parti-parti politik yang lain juga.

Bukan parti PAS sahaja yang memperjuangkan Islam di negara ini. UMNO lebih hebat lagi memperjuangkan Islam di negara ini berbanding dengan PAS. Tetapi para pemimpin UMNO tidak pernah membuat kenyataan menentang UMNO bererti menentang Islam.

Itu perbezaan antara parti yang benar-benar memperjuangkan Islam dan parti yang hanya memperalatkan Islam untuk mendapatkan pangkat dan jawatan sahaja. 

Ujian perjuangan PAS yang paling besar setakat ini adalah pasca PRU 15 apabila tidak ada satupun gabungan parti-parti politik yang mempunyai majoriti mudah. Kerajaan demokrasi tidak dapat ditubuhkan dan Parlimen tergantung pada waktu itu.

Apa solusi parti PAS untuk membolehkan agar Parlimen dapat beroperasi seperti sediakala? Solusinya, PAS dan Bersatu telah berusaha untuk ‘mencuri’ ahli-ahli Parlimen dari UMNO-BN untuk menubuhkan kerajaan.

Soalannya, adakah ini kaedah untuk memperjuangkan dan menegakkan Islam? Surah mana dalam Al-Quran yang menyeru atau memerintahkan umat Islam mencuri untuk memperjuangkan dan menegakkan Islam?

Sunnah Rasulullah SAW mana yang mendidik umatnya mencuri untuk menegakkan Islam? Ulama muktabar mana yang menyarankan kepada umat Islam untuk mencuri dalam memperjuangkan dan menegakkan Islam?

Mencuri itu satu jenayah dalam Islam dan pelakunya dihukum dengan hukuman potong tangan. Nasib baik Ahli-ahli Parlimen UMNO-BN itu tidak dapat dicuri oleh PAS dan Bersatu. Kalau tidak sudah pasti tangan Tan Sri Muhyiddin dan Tan Sri Hadi Awang perlu dipotong.

Alhamdulillah dengan taufik dan hidayah dari Allah SWT, DYMM Tuanku Agong sebagai Ketua Agama dan Ketua Negara atau Ulil Amri bagi negara ini telah menitahkan agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk sebagai solusi kepada konflik politik yang sedang berlaku.

Namun kenapa PAS dan Bersatu menentang titah tersebut? Bukankah mentaati titah Tuanku Agong sebagai Ulil Amri di negara ini adalah kewajipan umat Islam yang beriman? Jadi kenapa PAS dan Bersatu tidak mahu taat dengan titah Tuanku selaku Ulil Amri?

Atau PAS dan Bersatu lebih selesa mencuri dari mentaati titah Tuanku dalam perjuangan untuk membela agama, bangsa dan negara? Atau mungkin juga PAS dan Bersatu tidak meyakini bahawa Tuanku Agong adalah Ulil Amri bagi negara ini?

Majlis Ulama PAS harus mengeluarkan fatwa untuk menjelaskan kepada umat Islam di Malaysia mengenai perkara ini. Majlis Ulama PAS harus memutuskan sama ada Tuanku Agong adalah Ulil Amri bagi negara ini ataupun bukan.

Jika Majlis Ulama PAS gagal berbuat demikian maka jelas PAS bukan parti yang memperjuangkan Islam tetapi parti yang menggunakan Islam untuk mengelirukan rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

Kepada Menteri Besar Kelantan mohon batalkan hujah-hujah saya secara bertulis. Kalau tidak mampu lebih baik letak jawatan.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts