MENEPUK AIR DI DULANG – TUN MAHATHIR – DR. RAMALAN YUNUS 

357
SHARES
2.1k
VIEWS

Saya mengikuti dengan penuh minta sidang media Tun Mahathir pada hari Jumaat 18 Ogos 2023. Sidang media tersebut merupakan satu lagi siri serangan terhadap Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga turut menyerang Tan Sri Apandi Ali mantan Peguam Negara di zaman Dato’ Seri Najib berkaitan dengan isu 1MDB. Mungkin serangan itu dilakukan kerana mantan Gabenor BNM Tan Sri Zeti Aziz telah dibawa masuk ke mahkamah.

Ada beberapa kata kunci yang digunakan oleh Tun Mahathir pada sidang media beliau kali ini. Kata kunci tersebut ialah, “dictator, police state, oppressive government and media control” untuk menggambarkan suasana di Malaysia di bawah pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

Satu ilustrasi yang saya kira agak keterlaluan dan jauh menyimpang dari realiti sebenar. Mana mungkin seorang Perdana Menteri dan kerajaannya yang belumpun berusia setahun sudah menjadi seperti yang beliau gambarkan itu?

Bagi saya, apabila beliau menggunakan beberapa kata kunci tersebut saya melihat Tun Mahathir seolah-olah seperti menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Bukankah itulah istilah-istilah yang digunakan oleh para pemimpin pembangkang untuk menggambarkan siapa beliau dan bagaimana bentuk kerajaannya sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun?

Saya bersetuju dengan Tun Mahathir apabila beliau menyatakan bahawa Dato’ Seri Anwar bukan Perdana Menteri pilihan rakyat. Benar, bukan demokrasi atau kuasa rakyat yang meletakkan beliau di kerusi Perdana Menteri Malaysia. Kuasa DYMM Tuanku Agong yang telah meletakkan Dato’ Seri Anwar di kerusi tersebut.

Beliau diletakkan di kerusi itu sebagai solusi dari Istana Negara kepada konflik politik dan krisis ekonomi yang sedang berlaku di negara ini. Ini kerana politik dan demokrasi atau kuasa rakyat sudah gagal untuk membentuk sebuah kerajaan politik.

Atas dasar itu memang seharusnya Dato’ Seri Anwar bersikap seperti seorang diktator demi menyelamatkan rakyat dan negara dari ancaman golongan seperti Tun Mahathir yang tidak mahu akur dengan titah Tuanku.

Pada masa ini demi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi rakyat, sebuah pentadbiran yang bersifat ‘authoritarian‘ atas nama Istana Negara amat diperlukan.

Ini bukan zaman demokrasi atau kuasa rakyat. Ini zaman Sistem Raja Berperlembagaan. Raja atau YDP Agong melalui Perdana Menterinya wajar melakukan apa sahaja demi memastikan kestabilan politik itu wujud dan kemakmuran ekonomi rakyat itu dapat dicapai.

Ini kerana negara sedang tenat dan nazak akibat diserang oleh gejala ekstremisme 3R oleh golongan yang menyokong Gerakan Proklamasi Melayu dan Perikatan Nasional.

Sewaktu Tun Mahathir beraksi dan berprestasi seperti seorang diktator, menjadikan negara ini seperti negara polis dengan menekan rakyat menggunakan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri, itu tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana beliau dipilih oleh demokrasi atau kuasa rakyat. Maka tidak ada kewajaran beliau menekan rakyat dan membungkam kebebasan bersuara pada waktu itu.

Hari ini beliau mahu bercerita tentang Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Persekutuan Tanah Melayu. Kenapa baru sekarang? Kenapa tidak semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun dahulu?

Kenapa hari ini baru Tun Mahathir mahu menyatakan bahawa Tanah Melayu adalah untuk orang Melayu? Hari ini baru beliau mahu bercakap tentang apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Kenapa sekarang? Kenapa tidak suatu masa dahulu semasa beliau sedang berkuasa?

Adakah dengan mencabut imuniti Raja-raja Melayu pada tahun 93-94 itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan? Benarkah Parlimen atau rakyat mempunyai kuasa untuk menarik hak keistimewaan Raja-raja Melayu?

Hari ini Tun Mahathir mengadu kepada pihak media bahawa kebebasan bersuaranya untuk bercakap soal 3R disekat. Bagaimana pula dengan kebebasan bersuara kami yang disekat oleh beliau suatu masa dahulu?

Bagaimana pula dengan dengan cerita beliau mengarahkan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan UMNO sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 bulan? Adakah itu bukan bermakna bahawa beliau ingin membungkam kebebasan bersuara hampir 4 juta ahli UMNO?

Saya hairan, kenapa Tun Mahathir begitu bersungguh-sungguh mahu membubarkan UMNO. Apa sebenarnya rahsia yang mahu disembunyikan dari pengetahuan rakyat Malaysia? Adakah ini berkaitan dengan aset-aset UMNO yang bernilai ratusan bilion ringgit yang mungkin disembunyikan oleh beliau?

Jadi soalan saya, apa jenis kebebasan bersuara yang ingin dipromosikan oleh Tun Mahathir ini? Mungkin kebebasan bersuara versinya ialah beliau sahaja yang boleh bercakap apa sahaja sedangkan orang lain tidak boleh.

Kesimpulan saya, pertama, Tun Mahathir tidak layak bercakap mengenai soal kebebasan bersuara. Ini kerana track record beliau dalam soal kebebasan bersuara terlalu buruk.

Kedua, saya melihat sejak beliau melancarkan Proklamasi Melayu, beliau sebenarnya sedang menempelak dirinya sendiri di hadapan seluruh rakyat Malaysia.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts