RANG UNDANG-UNDANG IPCMC PERLU DITANGGUHKAN

402
SHARES
2.2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PARTI PUTRA

Kerajaan Pakatan Harapan digesa supaya menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 di Dewan Rakyat pada minggu hadapan kerana ia bercanggah dan menyalahi Perlembagaan Malaysia.

Parti Bumiputera PERKASA Malaysia mengambil pendirian sedemikian berdasarkan dalam perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah sedia ada sebuah jabatan yang bertanggungjawab memantau tatatertib dan aduan orang awam mengenai sebarang bentuk salah laku yang membabitkan anggota PDRM.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah ditubuhkan pada 25 Julai 2014 dengan tujuan memperkasakan PDRM menerusi pemantapan integriti dan pematuhan standard dalam kalangan anggotanya.

Tentunya untuk menyemarakkan proses tersebut secara berkesan, ia wajar dilaksanakan secara dalaman menerusi latihan dan bimbingan.

PUTRA yakin dengan kawalan dalaman, pemantauan berterusan dan disiplin yang tinggi, JIPS mampu melaksanakannya berbanding dengan kawalan luaran menerusi undang-undang.

RUU IPCMC yang ditambah baik tidak akan menjadi satu bentuk kawalan yang berkesan kerana ia telah melangkaui peruntukan undang-undang asas negara, iaitu Perlembagaan Malaysia terutama Perkara 140 (1) yang tertera:

“Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Pasukan Polis yang bidang kuasanya hendaklah meliputi semua orang yang menjadi anggota pasukan polis dan yang, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada, hendaklah bertanggungjawab bagi pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis”.

Ini bermakna, RUU IPCMC yang bakal dicadangkan turut membabitkan pelantikan bukan dalam kalangan anggota PDRM dan bertentangan dengan undang-undang asas negara.

Bagi tujuan pemantauan, mekanisme pemantauan luar sedia ada dilihat sudah mencukupi.

Sudah ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes-kes yang berkaitan rasuah, salah laku dan seumpamanya manakala SUHAKAM adalah untuk melihat aduan-aduan yang berkaitan dengan perlanggaran hak asasi manusia dan kebebasan sebagaimana dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Dengan penubuhan IPCMC ia bukan sahaja membabitkan perbezaan nilai, tafsiran budaya bahkan boleh membabitkan ‘pembaziran’ apabila beberapa agensi melaksanakan penyiasatan secara bertindih.

Manakala di baris kedua Perkara 140 (1) menyebut: ‘Dengan syarat bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi penjalanan apa-apa kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana anggota pasukan polis mengikut apa-apa cara dan oleh mana-mana pihak berkuasa yang diperuntukkan dalam undang-undang itu, dan dalam keadaan yang sedemikian, bermaksud IPCMC hanya mengambil alih kawalan tatatertib sahaja dan ia adalah tindakan sentiasa dilakukan oleh JIPS.

Dalam perkara perkhidmatan, tindakan pembuangan anggota dan penurunan pangkat. Perkara 135 (1) menyebut:

Tiada seorangpun anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (b) hingga (h) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa yang rendah daripada pihak berkuasa yang, pada masa pembuangan kerja atau penurunan pangkat itu, mempunyai kuasa untuk melantik seseorang anggota perkhidmatan itu yang sama pangkatnya’.

Ini bermakna IPCMC tidak mempunyai kuasa berkenaan, maka penubuhannya adalah melampaui batas dan melanggar Perlembagaan Malaysia.

Ini kerana, anggota PDRM juga adalah orang awam.

IPCMC tidak diberikan kuasa melantik, maka IPCMC tidak mempunyai kuasa untuk ‘memecat’ atau ‘menurunkan pangkat’ seseorang anggota PDRM.

Jika RUU IPCMC dibentangkan juga dalam Dewan Rakyat pada minggu hadapan, ia bakal merupakan satu RUU yang pelik dan aneh.

Tindakan yang dikenakan menerusi peruntukan RUU IPCMC boleh dicabar di mahkamah untuk membatalkannya kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

PUTRA melihat ia sebagai RUU yang bukan sahaja aneh bahkan boleh menjejaskan imej negara sekiranya ia dibentangkan di Dewan Rakyat tanpa melihat keselarasannya dengan peruntukan-peruntukan yang sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Sepatutnya sesuatu undang-undang baharu digubal untuk memperkukuhkan asas yang sedia ada dalam Perlembagaan bukan berusaha meremehkannya.

Datuk Dr Aziz Jamaludian Muhd Tahir

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (PUTRA)

29 November 2019

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts