‘DOUBLE STANDARD’ MUFTI WILAYAH DALAM KES AZMIN DAN NAJIB?

354
SHARES
1.1k
VIEWS

Dalam isu kes semburit Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Azmin Ali, beriya Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri pergi bertemu beliau memberi nasihat kepada Azmin mengenai ‘fitnah’ tersebut.

Sedangkan ketika itu dengan jelas Dr. Zulkifli telah mendahului mahkamah dengan mengatakan video semburit itu sebagai fitnah, sedangkan sehingga kini belumpun selesai disiasat. 

Nasihat yang wajar beliau berikan ketika itu sepatutnya ialah dengan menasihati rakyat Malaysia agar jangan membuka dan menyebar aib.

Serta menasihati jika benar Azmin bersemburit, maka apa jua aib tersebut wajib ditutup, bukan beliau terus memihak dan menghadirkan kesimpulan perlakuan semburit itu sebagai fitnah.

Apatah lagi selepas itu Ketua Polis Negara sendiri iaitu Tan Sri Hamid Bador telah mengesahkan video tersebut sebagai tulen, maka jelas bertentangan dengan apa yang Dr. Zulkifli katakan ketika berjumpa Azmin. 

Manakala dalam isu sumpah laknat yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula, Dr. Zulkifli tidak pula hadir bertemu Najib untuk menasihatinya sedangkan beliau telah membuat sumpah laknat mengikut cara yang Rasulullah pernah lakukan.

Apa yang dikesalkan beliau malah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung hal ini yang dilihat tidak wajar dan kandungannya juga tidak tepat.

Pertama, jika Azmin yang terlibat dalam video semburit itu walaupun mempunyai bukti video serta pengakuan saksi pelaku bersama Azmin, Mufti Wilayah masih boleh ‘bersangka baik’ dan malah menyifatkannya sebagai fitnah, kenapa tidak boleh memberi layanan yang sama dalam kes Najib yang berusaha sendiri menegakkan kebenaran?

Malah Najib hanya melakukan apa yang menjadi haknya sebagai seorang Islam yang ingin membersihkan namanya dengan bersumpah laknat, cara yang pernah Baginda Rasulullah SAW lakukan?

Kedua, jika beliau kata perkara sumpah laknat ini “tiada dalam perundangan Islam”, ini tidak perlu kerana Najib membuat sumpah laknat bukan untuk berdalih tidak ingin ke mahkamah dan malah sumpah laknat itu tidak boleh mengatasi undang-undang negara sekalipun.

Apa yang Najib lakukan adalah mengikut apa yang Rasulullah SAW pernah lakukan dan apa sahaja yang Baginda lakukan adalah agama, kerana Nabi SAW itu sendiri adalah contoh bagi sekalian umat sehingga hari Kiamat.

Ketiga, sesiapa yang berani bersumpah laknat seperti mana sunnah Baginda SAW, maka beliau sewajarnya dipuji, bukannya dijadikan polemik seolah-olah ada pihak yang begitu takut laknat terkena atas mereka dan mencari jalan memperlekehkannya.

Selain itu, kes sumpah laknat yang dibuat ini bukan isu tertakluk dalam perundangan Islam ataupun tidak kerana jelas kes Altantuya dibunuh tersebut telah disiasat sejak 13 tahun yang lepas dan 2 tertuduh telahpun dijatuhkan hukuman mati sebelum ini.

Keempat, isu sumpah tersebut tidak mengatasi undang-undang itu tidak sepatutnya Dr. Zulkifli timbulkan, kerana jelas Najib buat bukan kerana hendak terlepas dari siasatan ataupun dibicarakan, malah pegawai Najib sendiri pernah diarahkan oleh beliau untuk membuat laporan polis.

Selain itu, ini bukan kali pertama bahkan kali ketiga Najib bersumpah, di mana Dr. Zulkifli sepatutnya lebih maklum sekiranya membuat semakan awal.

Kelima, saranan Dr Zulkifli untuk Najib bersumpah laknat di mahkamah amatlah ganjil kerana beliau sendiri dari awal mengatakan sumpah laknat ini tidak mengatasi undang-undang dan bukanlah bukti seseorang itu bersalah ataupun tidak bersalah.

Selaku agamawan yang dihormati, malah bertaraf Mufti pula, beliau sepatutnya membuat sedikit kajian atau setidak-tidaknya mengarahkan pegawainya untuk menyelidik, bukannya semberono mengatakan lebih baik sumpah dibuat di mahkamah.

Selaku Mufti, jika dalam kes Azmin beliau terus ‘jump to conclusion‘ dan mengatakannya sebagai fitnah untuk membantu Azmin, kenapakah dalam kes Najib dituduh mengarahkan Azilah membunuh Altantuya beliau tidak boleh katakan sebagai fitnah?

Adakah kerana Azmin berjawatan menteri dan Najib pula tidak mempunyai apa-apa jawatan?

Atau sekurang-kurangnya Dr. Zulkifli bersangka baik dan meminta orang ramai ‘bertabayyun’, menyemak kesahihan berita terlebih dahulu apatah lagi ketika ini fitnah berleluasa di negara ini.

Tidak cukupkah pelbagai bukti fitnah dan kemungkaran yang berlaku depan mata beliau sendiri yang boleh dijadikan iktibar?

Semoga Dr. Zulkifli yang memegang jawatan yang dihormati selaku Mufti dapat membezakan yang mana haq dan yang mana batil serta janganlah memihak kepada mana-mana pihak semata-mata kerana mereka berkuasa.

Masyarakat perlukan pandangan dan nasihat para Mufti dan agamawan yang tulus berkhidmat demi agama dalam menegakkan agama Allah dengan cara sunnah Rasulullah SAW dan bukannya mereka yang hanya baik dengan individu yang masih berkuasa dan yang tidak berkuasa pula disisihkan walaupun pernah berjasa.

Wallahualam.

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts