Para ahli agama seperti Mufti, ulamak, maulana, asatizah, ustaz atau apa jua gelaran bagi agamawan, wajar bersikap adil dan tidak memihak agar umat tidak berpecah belah.
Para agamawan apabila memihak maka percakapannya tertolak kerana beliau tidak akan bersikap adil dengan mereka yang tidak di pihaknya.
Mutakhir ini para agamawan digunakan untuk menghentikan atau ‘merosakkan’ satu perkara haq agar ia terlibat sebagai batil, atau menjadikan perkara batil terlihat sebagai haq.
Sebagai contoh apabila ada menteri terlibat dalam isu semburit atau hubungan jantina sesama jenis yang amat dilaknat Allah Taala, maka agamawan berlumba-lumba bertemu beliau untuk menzahirkan simpati, menasihat malah terus mengatakannya sebagai fitnah, walaupun jelas ada bukti video dan saksi serta pengakuan semburit tersebut.
Manakala apabila isu pihak lain pula sebagai contoh membuat sumpah laknat bagi membela dirinya sendiri yang difitnah, berlumba-lumba juga para agamawan mencari jalan untuk menampakkannya sebagai tidak betul ataupun batil.
Ironinya ulama yang sama akan meratapi keruntuhan moral dan akhlak umat tapi dalam masa yang sama merekalah yang sebenarnya menjadi punca apabila memihak, tidak berlaku adil dan malah mengatakan perkara yang haq sebagai batil dan perkara yang batil sebagai haq.
Justeru bermulalah keruntuhan umat apabila berlaku perkara sebegitu kerana para asatizah dan ulamak mereka membutakan matanya dengan memihak dan tidak berlaku adil kepada semua pihak tanpa mengira siapapun mereka.
Sedangkan mereka sepatutnya hanya memihak kepada perkara yang haq ataupun kebenaran dan menolak atau mencegah yang batil ataupun keburukan.
Setidak-tidaknya jika takut akan hilangnya jawatan, lebih baik berdiam diri dari dilihat para agamawan ini bersama menyokong perkara yang batil.
Wallahualam.