KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)
Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah
Naib PRESIDEN merangkap Ahli Dewan Tertinggi PERKASA
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (BIHALIM)
15 Januari 2020 (RABU)
Bersamaan 19 Jamadilawwal 1441H
1. PERKASA merujuk kepada laporan akhbar dalam talian, Malaysiakini.com bertajuk “Pesta Ponggal bukan perayaan agama, kata Kula” bertarikh 15 Januari 2020.
2. PERKASA meminta Kulasegaran agar memahami dan mematuhi pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia yang memaklumkan bahawa JAKIM telah memutuskan orang Islam diharamkan menyertai Pesta Ponggal yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Adzman Talib.
3. PERKASA meminta agar Kulasegaran jangan cepat melatah dan menjadi salah faham dalam isu sambutan Pesta Ponggal ini. Ini adalah kerana terdapat fatwa yang dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2017 pada 18-19 April 2017 yang jelas menyatakan bahawa;
“Orang Islam dilarang daripada menyertai atau menganjurkan perayaan Ponggal… kerana ia mempunyai unsur-unsur khurafat, pemujaan dan penyembahan sepertimana yang diharamkan oleh agama Islam”.
Fatwa ini jelas melarang mana-mana orang Islam daripada menyertai atau menganjurkan perayaan Ponggal.
4. PERKASA meminta agar Kulasegaran membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan yang bertentangan dengan mana-mana fatwa dalam negara ini.
Jangan campur tangan dalam urusan umat Islam. Jika Pesta Ponggal ingin dianjurkan atau disertai oleh mana-mana penganut agama Hindu, PERKASA tidak akan campur tangan dalam perkara tersebut.
5. PERKASA juga memberi amaran keras agar Kulasegaran tidak mencampuri urusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM memetik keputusan mesyuarat Panel Pakar Syariah (PPS) JAKIM ke-100 yang bersidang pada 8 dan 9 April 2019 yang memutuskan orang Islam haram menyertai Pesta Ponggal.
6. Orang Islam yang tidak menyertai Pesta Ponggal bukanlah anti sosial atau anti perpaduan, tetapi mereka yang mengkritik mana-mana fatwa Islami adalah mereka yang sebenarnya anti perpaduan dalam negara ini.
Sekian, terima kasih.