ISU ANJING: KEWAJARAN UPM BENAR DILAKUKAN SECARA TERBUKA

371
SHARES
2.2k
VIEWS

Pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai penularan video oleh netizen sebelum ini yang mengundang persepsi negatif masyarakat.

Pihak UPM mempertahankan kewajaran latihan tersebut walaupun mengetahui mengenai anjing dan babi yang diharamkan disentuh oleh umat Islam.

Sewajarnya selaku universiti awam, UPM perlu peka dengan sensitiviti umat Islam di negara ini apatah lagi Islam adalah agama rasmi negara.

Masyarakat tidak mempersoalkan syarat keperluan pengajaran dan pembelajaran program Doktor Perubatan Veterinar (DPV) tersebut namun pihak UPM perlu memaklumkan organisasi ataupun persatuan yang terlibat agar tidak menjalankannya secara terbuka.

Tidak timbul isu mengenai penyediaan kemudahan menyamak seperti yang diterangkan oleh pihak UPM untuk kebajikan pelajar mereka tetapi lebih kepada apa perlunya ia dilakukan di tempat awam.

Perkara ini bukan mengenai ketidakterbukaan umat Islam terhadap perubatan veterinar namun cara UPM mengendalikannya yang dipersoalkan kerana boleh memberi implikasi negatif terhadap umat Islam seluruhnya serta mencetus kekeliruan di kalangan bukan Islam apabila terlihat di tempat awam.

Apabila masyarakat Islam bahkan yang bukan Islam sendiri berasa gusar dan terganggu, sewajarnya jalan penyelesaian kepada masalah ini diusahakan oleh oleh pihak UPM dan pihak Kementerian Pengajian wajar memastikan ia dipatuhi oleh seluruh universiti di Malaysia.

Berikut adalah kenyataan media oleh Prof. Dr. Nor Kamariah Noordin, Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi UPM mengenai isu ini.

KENYATAAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia (UPM) ingin merujuk video yang ditularkan di Facebook pada 2 Julai 2018.

Tiga (3) orang wanita yang sedang membawa tiga (3) ekor anjing di dalam video tersebut adalah merupakan pelajar Doktor Perubatan Veterinar (DPV) UPM tahun pertama pengajian yang sedang menjalani latihan praktikal luar kampus selama seminggu mulai 2 hingga 8 Julai 2018 di PAWS Animal Welfare Society, Subang Selangor.

Latihan praktikal luar kampus ini adalah merupakan sebahagian daripada syarat keperluan pengajaran dan pembelajaran program DPV. Sepanjang lima (5) tahun pengajian program DPV di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UPM pelajar akan mengikuti kuliah, amali, amalan klinikal dan makmal di Hospital Pengajaran Veterinar Universiti (UVH), Makmal Diagnosis dan Taman Pertanian Universiti (TPU) di kampus UPM Serdang. Pelajar juga akan terlibat dengan latihan praktikal luar kampus semasa cuti semester pengajian seawal tahun pertama pengajian samada di dalam mahupun di luar negara.

Ini bagi memastikan graduan DPV UPM berpengetahuan, kompeten dan mempunyai kemahiran insaniah yang cemerlang dalam memastikan kebajikan dan kesihatan haiwan, merawat, mengawal dan mencegah merebaknya penyakit pada haiwan dan manusia serta memastikan kecukupan makanan negara berasaskan sumber haiwan. Ianya melibatkan semua spesis haiwan samada yang kecil atau besar seperti kucing, anjing, babi, burung, ayam, lembu, rusa, ikan, gajah dan lain-lain haiwan. Keperluan ini adalah merupakan syarat bergraduat program DPV yang dikawal oleh Majlis Veterinar Malaysia.

Pelajar yang beragama Islam tidak terkecuali untuk mengendalikan pelbagai spesis haiwan tersebut. Pihak universiti sentiasa memastikan kebajikan para pelajar terpelihara termasuk menyediakan kemudahan menyamak setiap kali selesai sesi latihan.

Sehubungan itu, paparan video tersebut bukan menggambarkan secara keseluruhan dakwaan orang ramai (netizen) mengenai isu menyentuh anjing oleh orang Islam yang ditularkan.

Prof. Dr. Nor Kamariah Noordin,
Pengarah,
Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia
3 Julai 2018

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts