KENYATAAN MEDIA DATO’ SERI MAHDZIR KHALID MENGENAI PPSMI

230
SHARES
742
VIEWS

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

Pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kembali menjadi isu yang hangat ketika ini.

Jika pada tahun 2008, PPSMI pernah dilaksanakan tetapi dimansuhkan secara berperingkat pada tahun 2012 ekoran bantahan daripada pelbagai pihak.

Pandangan saya sebagai mantan Menteri Pendidikan, walaupun telah dibuat kajian demi kajian, pihak Kementerian Pendidikan perlulah mendedahkan dapatan kajian tersebut agar semua pemegang taruh seperti ibu bapa dapat menilai serta memberi pandangan yang rasional sebelum ia dilaksanakan. Itupun selepas semua pihak dapat mencapai kata sepakat untuk bersetuju.

Keduanya, Dual Language Program atau DLP yang diperkenalkan pada tahun 2016 sewajarnya diperkasakan terlebih dahulu. Ini kerana pelaksanaan DLP adalah satu pilihan yang ditentukan oleh ibu bapa pelajar itu sendiri. Tiada paksaan.

Banyak faktor lain yang menjadi cabaran kepada pelaksanaan pengajaran dua subjek tersebut dalam Bahasa Inggeris.

Salah satunya, kesiapsiagaan para pendidik dalam aspek penguasaan Bahasa Inggeris dalam dua subjek itu antara perkara yang perlu diberi keutamaan serius. Jika pendidik tidak bersedia, kesannya sudah pasti merugikan generasi pelajar itu sendiri.

Belum lagi disentuh usaha-usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan, bahasa rasmi yang semakin pudar ketika ini. Demikian juga, sudah lama tidak mendengar kempen atau usaha-usaha Program Imersif Tinggi (HIP) berkaitan dasar MBMMBI.

Saya berharap pihak kerajaan tidak membuat keputusan yang tergesa-gesa dalam soal pelaksanaan dasar-dasar berkaitan pendidikan.

Sekian.

DATO’ SERI MAHDZIR KHALID

Naib Presiden UMNO

2 Februari 2020

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts