Oleh Datuk Dr Wee Ka Siong
MCA sangat bimbang dengan kenyataan Menteri Kewangan semalam yang mengatakan bahawa Malaysia bebas daripada sebarang risiko kemelesetan ekonomi pada masa kita sedang menghadapi ancaman kecemasan global wabak novel coronavirus (nCov2019).
Kami maklum bahawa penularan wabak ini pastinya memberi kesan besar kepada Malaysia akibat ekonomi global terjejas berikutan sekatan-sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang membabitkan kuasa ekonomi terbesar dunia, China.
Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa ekonomi Malaysia semakin teruk sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, malah prestasi pasaran saham Malaysia juga diberi gelaran sebagai pasaran saham terburuk di dunia pada tahun lepas.
Sekarang, ekonomi negara kita yang sudahpun teruk ini berdepan pula dengan cabaran yang lebih besar lagi yang menjejaskan hampir kesemua industri dan sektor ekonomi negara.
Ramai penganalisis ekonomi dan pemimpin-pemimpin utama di negara lain telah memberi amaran bahawa kesan ekonomi daripada penularan wabak nCov2019 ini akan jauh lebih besar berbanding wabak SARS yang berlaku sekitar tahun 2002 – 2003.
Di dalam laporan media baru-baru ini, Menteri Kewangan kata kerajaan mungkin akan mengitar semula pakej rangsangan ekonomi yang pada awalnya dirancang bagi tujuan berdepan perang dagang antara AS-China.
Kami menolak pendekatan ini kerana sebab-sebab dan kesan daripada kecemasan global jauh berbeza daripada perang perdagangan.
Lain penyakit, lain ubatnya.
Kementerian Kewangan sepatutnya memastikan bahawa apa jua bentuk rangsangan ekonomi Malaysia mestilah dibuat secara khusus dan mantap bagi berdepan ancaman dan masalah ekonomi yang tidak pernah berlaku akibat wabak virus ini.
Usahlah cuba menyedapkan hati rakyat Malaysia yang ketika ini sudahpun hilang keyakinan terhadap cara pengurusan ekonomi kerajaan PH.
Dipetik dari laman Facebook beliau di:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1505665712934261&id=1002345083266329&ref=page_internal