1. Agak memeranjatkan juga apabila Farouk Musa pantas memberi respons apabila beliau dicuit sedikit, sedangkan itulah kebenarannya, dan setelah sepintas membaca tulisan beliau itu, yang pastinya, masih tidak menjawab perkara yang saya ketengahkan mengenai ahli bidang yang mahir dalam isu paling pokok yang menjadi permaslahatan kita kalangan Ahlissunnah dengan pegangan akidah Syiah, dan keperluan bersemuka dengan JAIS bagi menjernihkan salah faham beliau mengenai firqah Syiah.
2. Saya tertanya-tanya adakah dakwaan kata-kata kasar Farouk itu sekadar helah untuk melontar persepsi? Sepertimana dakwaan beliau mengenai kenyataan JAIS yang kononnya aib dan menjijikkan, saya sendiri membaca teks tersebut dan mendapati tiada apa-apa masalah. Saya pula ingin mengesyorkan agar Farouk mempelajari Hak-hak Asasi Manusia 001 mengikut Al-Quran dan as-Sunnah sepertimana yang diterjemahkan dalam Deklarasi Cairo sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan hal ini.
3. Beliau tidak perlu beretorik mengenai hak minoriti kerana itu adalah tuntutan Islam, hanya yang menjadi fokus di sini adalah kesalahan fundamental iaitu integriti dalam menyampaikan risalah dan bersikap ekstrim. Kenapa aspek ini tidak disentuh? Adakah membohongi masyarakat dikira halal atau bersikap takfir diterima oleh Farouk?
4. Persoalan utama sekarang adakah mereka (golongan Syiah) yang ‘merasa’ ditindas atau diperlakukan kejam itu (yang masih perlu pembuktian) benar-benar memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Negeri? Apakah ‘ignorance of the law’ boleh dianggap satu keuzuran atau satu kebiadapan?
5. Kita diminta untuk mencintai keluarga Saidina Rasulullah SAW, maka tulisan Farouk mengenai aspek ini adalah redundant. Saya mohon Farouk fokus kepada isu yang dibincangkan.
6. Apa yang diperlukan kini adalah Muslim yang mengamalkan asas-asas ajaran Islam serta menghormati kearifan lokal, bukan yang terikat dengan liberalisme yang berkiblatkan kepada nafsu serta humanisme yang bersifat ‘keakuan’ sehingga mengabaikan aspek kehambaan kepada Illahi.
7. Ini pada saya permulaan untuk umat Islam menjadi agung semula. Kalau tidak, kita hanya beretorik bersandarkan kepada fatamorgana. Atau kita ingin tergolong seperti Muslim yang hanya mengamalkan sudut-sudut tertentu dalam Islam yang sesuai dengan hawa nafsu masing-masing.
Mahmud Hishamuddin
Setiausaha Agung MUAFAKAT