EZAM: DARI ANWAR BELIAU DATANG, KEPADA ANWAR BELIAU KEMBALI – BAHAGIAN 1

1k
SHARES
3.4k
VIEWS

1. Sejarah perjuangan manusia bernama Ezam hanyalah tentang Anwar Ibrahim sahaja.  Dari zaman pelajar, beliau aktif dan hanya berada dalam lingkungan Anwar. Bagi Anwar pula, beliau memang memberikan segala sokongan dan dokongan bagi Ezam menapak ke hadapan.

2. Bermula daripada zaman Ezam pelajar UIA, beliau aktif dengan Institut Kajian Dasar (IKD) yang diterajui Kamarudin Jaafar (kini Timbalan Menteri Pengangkutan) hinggalah menjadi Ketua Pemuda PKR, Ezam menikmati hamparan permaidani merah oleh Anwar. Sama sahaja seperti Azmin, cuma Azmin menikmati hamparan permaidani merah oleh Anwar dari sudut lain.

3. Apabila Ezam dipilih menjadi Setiausaha Politik Anwar di Kementerian Kewangan, beliau lebih menonjol berbanding seorang lagi Setiausaha Politik Anwar di Jabatan Perdana Menteri. Ezam dilihat ‘panglima’ Anwar yang lebih garang sehingga tidak segan-segan menyerang Dr. Mahathir pada tahun 1997 dan 1998. Orang-orang UMNO ketika itu tahu, Ezam adalah antara ‘batu api’ besar pertelagahan Mahathir-Anwar sehinggalah Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1998.

4. Selepas Anwar dipecat, Ezam turut sama kehilangan jawatan beliau di Kementerian Kewangan. Kemudian beliau membuat pilihan sendiri keluar dari Malaysia meninggalkan anak isteri dan teman-teman, konon untuk berjuang dari luar negara. Beliau tidak melarikan diri seperti yang dihebohkan kerana di saat rakan-rakan rapat Anwar ditangkap dan disoal siasat, nama Ezam tiada dalam senarai untuk ditangkap. Di luar negara, Ezam hidup agak mewah dengan kondo, kereta dan belanja harian. Jika pelarian, tentunya hidup beliau tidak semewah dan setenang ketika membuat keputusan keluar dari Malaysia.

5. Apakah hasil perjuangan Ezam dari luar negara? Jawapannya kosong. Tiada apa yang dapat dibanggakan. Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga memilih meletakkan jawatan secara sukarela. BN yang diketuai Mahathir tetap menjadi kerajaan. Ezam sahaja yang kononnya menjelajah dunia membela Anwar, hasilnya Anwar tetap merengkok di penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat.

6. Ezam sahaja yang syok sendiri berceramah mengatakan beliau membela Anwar hingga lari keluar negara. Apa yang Ezam buat di luar negara? Beliau bertemu dengan rakan-rakan Anwar di luar negara. Namun apakah yang rakan-rakan Anwar di luar negara mampu buat? Jika mahu memberi sokongan moral, boleh sahaja berhubung melalui medium komunikasi canggih sekarang ini. Bantuan kewangan? Lebih baik tanya sendiri dengan Ezam atau Ezam boleh sahaja mengumumkan tentang bantuan kewangan ini semasa ceramah-ceramah beliau.

7. Hendak lebih telus, sebagai kononnya anti korupsi dan penuh integriti, Ezam boleh menubuhkan jawatankuasa bebas antarabangsa bagi mengaudit segala bantuan yang telah diterima dari dalam atau luar negara semasa beliau tidak berada di Malaysia dahulu. Rakan-rakan Anwar yang masih hidup boleh dipanggil atas nama pengurusan kewangan telus dan bermoral.

Itupun jika Ezam masih hendak memetik nama orang lain dalam isu-isu politik sekarang. Sebelum menuduh orang lain itu dan ini, kita minta Ezam membersihkan dirinya dahulu… 

Oleh Paku Warren

(Bersambung ke Bahagian 2) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts