SELEPAS NEGARA BERJAYA ‘DIBUMI-HANGUSKAN’, APA SETERUSNYA?

466
SHARES
2.7k
VIEWS

1. Belajar dari punca kegagalan Reformasi 1998 di Indonesia

Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah ditanya oleh seorang pelajar Indonesia dalam satu forum yang diadakan khusus beberapa hari selepas beliau dibebaskan daripada penjara pada 2 September 2004, mengenai persoalan mengapakah Reformasi 1998 Indonesia yang berjaya menumbangkan Suharto, tetapi tetap diistilahkan sebagai gagal.

Pogram tersebut dihadiri oleh ramai pelajar-pelajar dan reformis muda ketika itu, yang diadakan di suatu tempat di hadapan Amcarp Mall, bersebelahan dengan Restoran A&W yang cukup terkenal pada suatu ketika dahulu.

Anwar memberi pandangan, kegagalan reformasi di Indonesia berlaku kerana tidak mempunyai pelan khusus apa yang hendak dilakukan oleh pemerintah Indonesia selepas kerajaan Suharto berjaya ditumbangkan.

2. Indonesia tidak jangka, tidak bersedia

Pendek kata, Indonesia tidak bersedia dan tidak mempunyai sebarang perancangan rapi yang saksama apabila tumbangnya kerajaan Suharto yang sudah lama memerintah, bagi menghadapi masalah-masalah seterusnya yang dihadapi oleh sesebuah kerajaan baru. 

Dunia kemudiannya menyaksikan Indonesia kembali kepada cara lama pemerintahan yang dipenuhi dengan ‘KKN’ iaitu “Korupsi, Koluni dan Nepotisme” dan kerana gagal mencerna formula kesinambungan selepas kejatuhan Suharto, maka kerana itulah Reformasi 1998 Indonesia diistilahkan sebagai ‘gagal’, walaupun hasrat menumbangkan Suharto tercapai.

3. Sama seperti keadaan yang berlaku di Malaysia

Kerajaan yang mengambil alih mengaku tidak bersedia dan tidak sangka mereka akan menang.

Apa yang berbeza, Malaysia ketika itu berada pada landasannya, di mana hutang negara terkawal, rizab negara tertinggi  serta syarikat-syarikat GLC pula berada dalam keadaan terbaik. 

Dalam masa yang sama, hubungan diplomatik yang sangat baik dengan negara luar yang membuatkan pelaburan sangat rancak dan negara menjana perolehan yang tinggi sebelum PRU-14.

4. Natijah dibayar dengan harga yang mahal

Oleh kerana itu, negara ketika ini menghadapi natijahnya apabila kekurangan menteri dan pemimpin yang berkebolehan, malah ramai dalam kalangan mereka yang tidak layak dan amat lemah menerajui pelbagai kementerian.

Ditambah dengan kelemahan  mereka menerajui negara tanpa perancangan rapi dan pelan kesinambungan yang berkesan, malah dilihat terlalu angkuh untuk meneruskan dasar-dasar lama yang baik dan menguntungkan negara. 

Maka Pakatan Harapan juga bakal menemui kegagalan kerana menjana ekonomi negara hanya melalui penjualan entiti perniagaan dan aset-aset strategik dengan pengamalan “dasar bumi hangus” mereka, yang pasti akan mencapai batasannya tidak lama lagi. 

4. Dasar Bumi Hangus

Terminalogi bagi strategi ketenteraan yang dinamakan sebagai “Dasar Bumi Hangus” ini dipopularkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong suatu ketika dahulu bagi menggambarkan permulaan kerjasama antara PAS dan UMNO.

Sedangkan dasar ini adalah amalan parti DAP sejak sekian lama yang bukan sahaja berfungsi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, namun masih berlanjutan sehingga sekarang. 

5. Dasar “membumi-hanguskan” negara

Strategi ini diamalkan untuk suatu jangka masa yang tidak mempunyai had, sekurang-kurangnya berkuatkuasa dalam tempoh pemerintahan sepenggal, yang tidak akan berhenti selagi mereka masih memerintah.

Melainkan segala sumber atau aset strategik yang ada telah berjaya di’hangus’kan, yakni berjaya dijarah dan diagih-agihkan keluar kepada pihak-pihak tertentu.

Dalam masa dua tahun pemerintahan sahaja, negara menyaksikan betapa banyaknya aset-aset strategik dan utama negara ‘dipindahmilik’, dijual ataupun diagih-agih kepada kelompok tertentu. 

Sebahagian projek ataupun perniagaan yang masih berjalan, akan diberhentikan sementara dan kemudiannya diberikan kepada entiti lain yang rapat dengan kerajaan semasa. 

6. Alasan klise digunakan

Alasan yang biasa digunakan untuk menjustifikasi atau menghalalkan dasar bumi hangus ini adalah seperti;

-Pemilikan yang tidak menguntungkan

-Penjualan menjana untung sedikit tetapi jika disimpan akan rugi besar

-Tidak melibatkan aset strategik

-Hanya ‘dipindahmilik’ sahaja tetapi bukan dijual

-Bagi menjana pendapatan seterusnya

Serta pelbagai alasan yang hanya bermatlamat “niat menghalalkan cara”.

7. Apabila tahu mengenai kekayaan negara

Setelah mengambilalih kerajaan dan ‘terbuka mata’ mengenai hakikat kekayaan negara yang sebenar, disokong pula dengan kekuatan rizab negara yang paling tinggi dibandingjan dengan tahun-tahun sebelumnya, serta jumlah hutang yang paling rendah dan terkawal, maka satu persatu harta dan aset negara berpotensi, mula dijarah. 

Ibaratnya tuding jari sahaja ke atas mana-mana aset yang disukai, maka akan diusahakan bagaimana sekalipun agar akan ada pihak yang memperoleh hasilnya.

8. Perniagaan dan aset merugikan tetapi sangat mudah dijual

Jika benar perniagaan dan aset-aset  yang ingin dijual tersebut merugikan,  kenapa dengan sebegitu mudah ia dijual atau dipindahmilik?

Serta kenapa sebarang cadangan terhadap kerajaan agar dilakukan Suruhanjaya Diraja (RCI), tidak disambut baik oleh mereka?

Tidak mungkin ada pihak atau syarikat yang sangat baik hati untuk membeli aset dan perniagaan yang merugikan jika tiada keuntungan yang menanti hasil dari pelaburan mereka membelinya. 

Ditambah malang apabila ia turut dijual kepada negara asing seperti Jepun dan Singapura. 

9. Konsep ‘offset‘ atau timbal balas Pakatan Harapan 

Selain projek, perniagaan ataupun aset, perkhidmatan juga galak disalurkan keuntungannya keluar negara dan ‘keuntungan’ tersebut bukan sahaja berbentuk wang tunai tetapi data peribadi. 

Sebagai contoh, pengendali projek mySalam iaitu Great Eastern Singapura mendapat berjuta maklumat peribadi rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan B40 melalui pelindungan insurans yang ditawarkan.

Apa yang menghairankan, syarikat insurans Great Eastern yang dilantik ini tidak mematuhi syarat-syarat had pemilikan asing Bank Negara Malaysia (BNM).

Pasti syarikat Singapura ini tersenyum lebar apabila bukan sahaja data peribadi rakyat Malaysia secara percuma yang mereka dapat, malah jumlah pembayaran insurans yang dituntut bagi 2019 juga teramat rendah iaitu sekitar RM13.7 juta atau 3.4 peratus daripada jumlah RM400 juta yang diperuntukkan oleh mySalam.

Hanya sejumlah kecil yang berjaya dimanfaatkan oleh pesakit B40 pada tahun 2019 kerana syarat tuntutannya yang ganjil dan menyukarkan.

Rujuk berita “mySalam Gagal Beri Perlindungan Insurans Kepada Golongan B40” di pautan;

https://editormalaysia.com/13229/

Syarikat Singapura mendapat sebegitu banyak keuntungan, namun apa keuntungan ‘win-win‘ yang diperolehi oleh Malaysia dari perjanjian ini?

10. Selepas berjaya ‘menghanguskan’ negara, apa langkah seterusnya?

Akhirnya apa yang boleh dan hendak dijual pasti akan menemui hadnya, pasti akan habis dijarah suatu ketika nanti. 

Jika ia berlaku dalam masa lagi setahun Pakatan Harapan memerintah, bermakna Malaysia bakal menjadi sebuah negara ‘failed state‘ sebelum PRU-15.

Ketika itu yang memperolehi laba dan keuntungan dari “Dasar Membumi-hanguskan Negara” ini pasti akan bersedia dengan penuh bergaya kerana mempunyai sumber yang jauh lebih daripada cukup.

Namun ketika itu sudah tiada gunanya kerana kantung hutang negara sudah mencapai paras tertinggi, sudah mengatasi jumlah hutang sebenar iaitu 1 trilion ringgit dan bukan lagi sekadar menipu dengan menyeleweng fakta kewangan.

11. Ketika itu hutang 1 trilion ringgit sudah menjadi realiti

Bukan lagi bermain dengan angka-angka apabila Menteri Kewangan mencampurkan hutang langsung, jaminan kerajaan, pembayaran pajakan dan pembayaran projek PPP, tidak seperti pengiraan hutang negara-negara lain di seluruh dunia yang hanya menggunakan  hutang langsung sebagai hutang negara.

Juga bukan lagi menipu wang GST 19 bilion ringgit yang dikatakan dirompak oleh kerajaan Barisan Nasional. 

Namun ketika itu, negara benar-benar mempunyai hutang sebegitu tinggi, yang ditambah buruk apabila negara tidak lagi mempunyai aset-aset strategik untuk menjana pendapatan tambahan.

12. Rizab negara semakin berkurangan 

Ketika itu rizab negara juga menurun drastik kerana habis diguna dan disalurkan tanpa ada formula untuk menambah kembali rizab tersebut.

Manakala syarikat-syarikat GLC sedia ada yang selama ini menguntungkan, tidak lagi mampu membayar cukai kerana menyusutnya keuntungan dalam perolehan mereka.

Lebih parah apabila pelabur-pelabur juga sudah tiada untuk menyumbang kepada pendapatan tambahan negara.

Komoditi serta dagangan industri utama negara tidak lagi mampu menarik minat negara luar yang telah beralih ke negara jiran, sekaligus semakin menggelapkan masa depan negara. 

13. Apa lagi pilihan yang berbaki ketika itu? 

Justeru, ketika itu rakyat perlu bertanya kepada kerajaan Pakatan Harapan, apa lagi yang boleh mereka lakukan ketika Malaysia sudahpun ‘rentung’ terbakar oleh Dasar Bumi Hangus ini?

Apa lagi pilihan yang ada ketika itu, sama ada berlakunya kerajaan perpaduan, atau menanti sekiranya Perdana Menteri sempat membubarkan Parlimen? 

Apa yang pasti rakyat sedang menanti dengan penuh debaran untuk melihat bagaimanakah pengakhiran episod gelap bagi negara ini yang sudah ‘terbakar hangus’ , yang akan menemui penghujungnya tidak lama lagi.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts