Oleh Isham Jalil
Esok Majlis Presiden PH akan bermesyuarat.
Agenda penting dalam mesyuarat esok adalah berkenaan peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir kepada Anwar Ibrahim.
Majlis Presiden PH terdiri daripada 22 orang ahli iaitu 6 daripada PPBM, 6 daripada DAP, 5 daripada PKR dan 5 daripada PAN.
Besar kemungkinan tidak ada perubahan yang signifikan akan berlaku esok.
Mesyuarat tentunya akan sebulat suara bersetuju dengan permintaan Mahathir untuk melepaskan kuasa kononnya selepas persidangan APEC pada bulan November 2020.
Sebenarnya, ini adalah kali ketiga Mahathir meminta tangguh untuk melepaskan kuasanya sebagai Perdana Menteri kepada Anwar.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Mahathir telah bersetuju untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim sebaik sahaja Anwar keluar dari penjara jika PH menang.
Namun selepas menang, Mahathir meminta tempoh daripada Majlis Presiden PH untuk menjadi Perdana Menteri untuk sekurang-kurangnya setahun selepas PRU-14.
Beberapa bulan kemudian, Mahathir sekali lagi meminta tempoh untuk menjadi Perdana Menteri selama dua tahun pula sebab tempoh setahun kononnya terlalu singkat.
Kali ini esok, dia akan meminta lagi kepada Majlis Presiden untuk melanjutkan lagi tempoh kuasanya kepada sekurang-kurangnya dua tahun setengah (sejak Mei 2018) iaitu sehingga selepas November 2020, dan Majlis Presiden akan sekali lagi bersetuju kerana mereka takut Mahathir akan lari dari PH jika mereka tidak bersetuju.
Kedua-dua pihak Mahathir dan pihak Anwar sibuk mencari sokongan Ahli-ahli Parlimen dan mendapatkan tandatangan “Statutory Declaration” sebagai bahan taruhan dan rundingan dalam PH untuk menjadi Perdana Menteri.
Sokongan ini tentunya datang dengan pelbagai janji dan tawaran sebagai timbal balas.
Jentera propaganda Mahathir sibuk menyebarkan ‘maklumat’ bahawa Mahathir telah mendapat kononnya sehingga 138 tandatangan Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya.
Apa yang tidak disebarkan adalah maklumat bahawa ada beberapa Ahli Parlimen dikatakan telah menandatangani dua Statutory Declaration untuk kedua-dua pihak iaitu satu menyokong Mahathir dan satu menyokong Anwar.
Sebab itu kedua-dua pihak tidak pasti berapa Ahli Parlimen yang sebenarnya menyokong mereka, dan sebab itu juga Mahathir tidak akan berani untuk membenarkan usul undi percaya kepadanya dibentangkan di Parlimen.
Jika Majlis Presiden bijak, mereka sepatutnya meminta Mahathir (atau Anwar) membuktikan tahap sokongan kepadanya tersebut dengan senarai tandatangan Ahli-ahli Parlimen yang dikatakan telah diperolehnya itu supaya mereka (Majlis Presiden PH) tidak terus terpedaya oleh helah Mahathir dan jentera propagandanya.
……..
Mahathir berkata dia akan melepaskan kuasanya selepas APEC (November 2020), tetapi dia tidak menyatakan secara spesifik bila:
Sama ada sebaik selepas, sebulan selepas, setahun selepas atau dua tiga tahun selepas APEC sehingga PRU-15; Mei 2023 juga adalah selepas APEC walaupun 3 tahun selepas itu.
November 2020 adalah sembilan bulan dari sekarang.
Dalam politik sembilan bulan adalah masa yang panjang, macam-macam boleh berlaku dalam tempoh sembilan bulan.
Sembilan bulan juga adalah masa yang cukup untuk Mahathir “mengenakan” Anwar lagi.
Mahathir bukannya ikhlas atau serius untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar, dia (Mahathir) hanya membeli masa dan umpama bermain-main dengan Anwar dan Majlis Presiden.
Namun setelah ditipu berkali-kali oleh Mahathir, Anwar masih tidak boleh berbuat apa-apa dan seolah mati akal dan buntu.
……..
Anwar adalah seorang pejuang jalanan, sehingga kini dia masih kalah dengan helah Mahathir.
Apa yang dia (Anwar) mampu buat hanyalah menunggu dengan pasrah.
Jika Anwar Ibrahim, Presiden parti yang mempunyai Ahli Parlimen yang paling ramai iaitu 50 orang masih tidak mampu untuk melawan Mahathir yang mempunyai 26 orang Ahli Parlimen dalam partinya, sememangnya dia (Anwar) tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri.
Dalam keadaan sekritikal sekarang, Malaysia tidak boleh ber-Perdana Menterikan orang yang berakal pendek mahupun yang sudah tumpul akalnya.
Dan jika Mahathir boleh menipu Anwar iaitu Presiden parti terbesar dalam PH, siapakah yang masih percaya yang Mahathir tidak akan menipu mereka juga?
Kepada Anwar Ibrahim: Anda bukan lagi muda untuk berguling-guling di jalanan untuk menuntut Mahathir undur dari jawatan Perdana Menteri seperti dua puluh tahun dahulu.
Mahathir hanya boleh dikalahkan dengan akal dan bukan di jalanan, ingatlah sejarah.
Kepada Tun Dr. Mahathir: Sampai bila Tun ingin menongkat langit sambil membiarkan harta negara habis terjual dan ekonomi negara hancur berkecai?
Penyokong Tun kata Tun kononnya akan bantu mereka selamatkan negara dari DAP, tetapi sebenarnya Tunlah yang telah memberikan kuasa kepada DAP dan sehingga kini tidak mampu buat apa-apa kepada DAP termasuk dalam isu Tabung Haji.
Jika Tun tidak mahu Anwar, ada ramai pemimpin lain yang boleh dipertimbangkan untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.
20 Februari 2020
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/658389881583206/?vh=e&d=n