Dato’ Seri Amirudin Bin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor
Pejabat Menteri Besar Selangor,
Tingkat 21,
Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40503 Shah Alam, Selangor
YB Tuan Hee Loy Sian
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau Dan Hal Ehwal Pengguna
Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
Tingkat 2, Bangunan SSAAS,
40503 Shah Alam, Selangor
YBhg. Tuan Haji Mohd Ridzuwan Bin Endot
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
Tingkat 3, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
40660 Shah Alam
Selangor
Salam YAB Dato’ / YB Dato’ / YBhg. Tuan
BANTAHAN CADANGAN PENYAHWARTAAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA (HSKLU)
Kami rakyat Selangor membantah cadangan penyahwartaan 930.93 hektar dari 957.63 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan pembangunan bercampur sepertimana yang dimaklumkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melalui penyiaran notis penyiasatan awam dalam media akhbar tempatan pada 5 Februari 2020.
Cadangan penyahwartaan HSKLU adalah tidak selari dengan perancangan Kerajaan Negeri Selangor (sila rujuk pada Peta 1) di dalam Rancangan Struktur Negeri 2035 untuk mengekalkan 32 peratus kawasan hutan di Negeri Selangor.
Selain itu, cadangan penyahwartaan ini juga adalah tidak selari dengan:-
• Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) (Akta 313);
• Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (2011 – 2020);
• Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025);
• Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN-3);
• Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030; dan
• Akta Pemuliharaan Tanah 1960 (Akta 385) yang berkaitan dengan pemuliharaan dan perlindungan sumber alam semulajadi, termasuk lain-lain obligasi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Cadangan penyahwartaan juga tidak selari dengan matlamat dan objektif Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sebagaimana untuk mewartakan atau mengekalkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia sebanyak 5 juta hektar menjelang tahun 2020.
Di samping itu, cadangan penyahwartaan HSKLU adalah bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Persekutuan semasa pembentangan belanjawan tahun 2019.
Semua Kerajaan Negeri sepatutnya mengambil langkah untuk mengekalkan dan melindungi kawasan perlindungan sedia ada termasuk menambah kawasan perlindungan baru.
Pada 1hb November 2019, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dalam ucapannya bagi pembentangan belanjawan 2020, menyatakan secara jelas Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Selangor wajar dikekalkan dan diperluaskan sehingga 32 peratus keluasan negeri Selangor.
Daerah Kuala Langat meliputi 85,770 hektar yang menampung bilangan penduduk berjumlah 322,400 orang. Hanya 9 peratus keluasan di kawasan Daerah Kuala Langat adalah kawasan berhutan termasuk HSKLU (sila rujuk pada Peta 2).
Memandangkan Kerajaan Negeri Selangor komited untuk meluaskan lagi kawasan HSK, maka HSKLU wajar dikekalkan. HSKLU adalah sumber khazanah yang penting kepada lebih dari 2,000 masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan yang masih bergantung dengannya.
APAKAH KESAN PENYAHWARTAAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA (HSKLU)?
1. Penyahwartaan HSKLU akan mengabaikan hak masyarakat Orang Asli yang telah tinggal lebih dari 134 tahun (sekurang-kurangnya sejak tahun 1886). Kerajaan Negeri perlu adil dan saksama bagi melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan;
2. Pembukaan kawasan hutan bagi tujuan pembangunan bercampur akan menjejaskan rangkaian ekologi, mengakibatkan kehilangan habitat hidupan liar termasuk flora, dan kepupusan akuatik;
3. Meningkatkan risiko kebakaran tanah gambut di HSKLU dan kawasan sekitarnya;
4. Meningkatkan risiko penurunan paras tanah dan banjir di kawasan tersebut;
5. Meningkatkan risiko banjir atau kekurangan air. Ini akan memusnahkan tanaman kelapa sawit yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli;
6. Gangguan ekologi kepada lembangan Sungai Langat dan Sungai Klang;
7. Pembangunan di kawasan HSKLU (termasuk penebangan pokok, pengorekan tanah gambut dan pembinaan saliran) membawa kepada pelepasan 5.5 juta tan karbon dioksida (CO2) yang menyumbang kepada pemanasan tempatan dan global serta masalah perubahan iklim;
8. Tiada lagi kawasan penting untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan sebagaimana satu hub kepentingan sosio-ekonomi setempat.
Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada masa kini dilitupi 958 hektar dirian Hutan Paya Gambut (HPG) dan hutan tanah pamah serta merupakan baki HSK yang dahulu di mana sebahagian besarnya telah dinyahwarta dan ditukar guna tanahnya bagi tujuan pembangunan sejak lebih 50 tahun.
HSKLU adalah kawasan penting bagi tujuan pemuliharaan kepelbagaian biologi dengan menyokong beberapa kehidupan spesies jarang ditemui seperti Beruang Matahari (Helarctos malayanus), Tupai Terbang Terkecil Selangor (Petaurillus kinlochii) dan Ikan Laga Merah Langat (Betta livida).
Selain itu, HSKLU juga berperanan sebagai habitat kepada beberapa spesies Dipterokarp yang mempunyai status “Terancam Kritikal” dan “Terancam” (terdapat pada Senarai Merah Tumbuhan Terancam di Malaysia) seperti Meranti Bunga (Shorea teysmanniana), Meranti Bakau (Shorea uliginosa) dan Mersawa Paya (Anisoptera marginata).
PERUBAHAN IKLIM – KEPENTINGAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA (HSKLU)
Hampir keseluruhan kawasan HSKLU adalah kawasan tanah gambut yang dicirikan oleh paras air tanah yang tinggi. Tanah gambut seperti HSKLU amat berharga dari segi fungsinya sebagai tapak takungan karbon semulajadi kerana bahan organik pada hutan tersebut telah terkumpul lebih daripada ribuan tahun.
Kini stok takungan karbon tersebut berada pada lapisan bawah bahan organik yang terbentuk mencecah beberapa meter kedalaman di HSKLU. Pembukaan dan pembinaan saliran di HSKLU boleh menyebabkan berlakunya pengoksidaan bahan organik tersebut dan berlakunya pelepasan karbon dioksida ke atmosfera.
Hutan Paya Gambut (HPG) juga berupaya menyimpan 10 kali ganda jumlah karbon pada satu-satu masa bagi setiap hektar berbanding lain-lain jenis hutan tropika.
Nilai konservasi pada HSKLU termasuklah berfungsi sebagai tapak takungan karbon semulajadi dan pengawalaturan komposisi karbon dioksida dalam atmosfera. Kemusnahan HPG menjadi punca terbesar pelepasan gas rumah hijau di dalam atmosfera dan menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim global.
HSKLU mempunyai keupayaan penyimpanan karbon sehingga 1,600 tan karbon setiap hektar (tan C/ha).
Jumlah stok karbon tersimpan di HSKLU pula hampir mencecah 1.5 juta tan karbon. Dianggarkan 5.5 juta tan pelepasan karbon dioksida (CO2) dapat dibendung sekiranya HSKLU dikekalkan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Pengekalan HSKLU sebagai HSK:
• Melindungi ekosistem dan kepelbagaian biologi termasuk spesies flora dan fauna yang terancam kritikal;
• Melindungi hak dan kepentingan masyarakat terhadap persekitaran hidup yang sihat; menghasilkan sumber yang lestari;
• Melindungi identiti kebudayaan populasi yang bergantung kepada hutan; dan
• Mengekalkan perkhidmatan ekosistem secara percuma. Ini termasuklah pengekalan kepelbagaian biologi, penghasilan hujan, penyimpanan karbon, kestabilan tanah dan sebagainya.
Kami rakyat Selangor, menyeru Kerajaan Negeri untuk menghentikan dan membatalkan cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan melindunginya demi kelestarian Selangor dan dunia sejagat.
Sekian, terima kasih.
Kami Rakyat Selangor