Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
23 Februari 2020 l 29 Jumadal Akhirah 1441
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mendesak agar Peguam Negara dilucutkan jawatan kerana keputusannya yang membebaskan 12 tertuduh dalam kes mempunyai kaitan dengan kumpulan militan, LTTE berkuatkuasa pada 21 Februari 2020.
2. Keputusan Peguam Negara tersebut sangat mengejutkan semua pihak dan turut mendapat reaksi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan media yang ditularkan pada 22 Februari 2020, semalam. Jelas KDN bertegas dalam isu LTTE ini dengan menyatakan:
i. LTTE masih disenaraikan sebagai kumpulan pengganas sehingga kini.
ii. Penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan bawah undang-undang.
iii. Peguam Negara tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan dan bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.
iv. LTTE dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan awam dan keselamatan negara.
v. Penahanan 12 tertuduh sebelum ini berdasarkan maklumat bahawa mereka terlibat memberi sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE.
3. Jelas, keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara adalah melampaui bidang tugasnya dan ia bakal membawa implikasi negatif dalam bidang kuasa pentadbiran berdasarkan perjawatan yang berbeza. Ini membuktikan Peguam Negara sedia ada ini tidak profesional dan tidak berwibawa dalam menjalankan tugasannya yang berada di posisi penting iaitu selaku Penasihat Undang-undang Utama kepada Kerajaan Malaysia.
4. Pembebasan 12 tertuduh dalam isu LTTE ini juga membawa kebimbangan kerana bukti penahanan ke atas mereka adalah jelas dan sewajarnya diheret ke dalam perbicaraan mahkamah terlebih dahulu. Sekaligus, Malaysia bakal menjadi sarang merekrut pengganas yang mengimport ideologi ekstrim dari luar iaitu Sri Lanka jika tiada bantahan dan bangkangan terhadap keputusan pembebasan tersebut.
5. Bahayanya ideologi ekstrim LTTE ini bakal mengancam keselamatan individu, masyarakat malah negara. Perkara ini bukan remeh tapi besar kerana isu merekrut pengganas dan membiarkan kumpulan pengganas yang disenaraikan oleh KDN adalah satu perkara besar lagi merbahaya yang menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.
6. DPPNS juga mendesak agar Tommy Thomas segera dilucutkan jawatan dan diganti dengan individu yang lebih berwibawa lagi layak menjawat Peguam Negara agar perjalanan pentadbiran kerajaan Malaysia lebih baik serta keadilan sesuatu kes dapat ditegakkan. Rekod sebelum ini juga, Peguam Negara sedia ada gagal membawa keadilan bagi Allahyarham Muhammad Adib, seorang anggota bomba dan penyelamat dalam rusuhan kuil dan sehingga kini kes ini masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
7. Kini dalam isu LTTE, Peguam Negara mencabar kuasa KDN serta meremehkan pihak polis dan agensi keselamatan yang berkaitan apabila begitu mudah ‘membakul sampahkan’ segala maklumat dalam 34 pendakwaan ke atas 12 tertuduh dengan memberhentikan prosiding seterus membebaskan mereka tanpa dibawa ke perbicaraan di mahkamah.
Demi Islam
Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah
Ustaz Hanafi Zulkapli
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan;
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3123217137729570&id=225685927482720