Oleh Ab Jalil Backer
1. Pagi tadi Pakatan Harapan membuat keputusan mengejut mencalonkan semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ke-8.
2. Keputusan ini adalah ‘jenaka gelap’ yang sukar difahami rakyat biasa. Segala krisis ini bermula kerana ada usaha menggantikan Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini mereka mahu mengangkat Dr Mahathir semula.
3. Apabila Bersatu dan kumpulan Azmin Ali keluar PH, Dr Mahathir meletak jawatan hingga menyebabkan seluruh kerajaan pentadbiran PH jatuh.
4. Maka Dr Mahathir dituduh oleh PH sebagai pengkhianat, mungkir janji dan tidak berprinsip.
5. Beberapa pihak mula mencaturkan kepimpinan negara yang baharu. Dr Mahathir pula mengambil sikap mahu menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Beliau dituduh sebagai diktator oleh pemimpin PH.
6. Oleh kerana tiada pemimpin utama mendapat sokongan majoriti dalam undi sulit Ahli Parlimen, YDP Agong memutuskan untuk berbincang secara berkumpulan.
7. YDP Agong dan Majlis Raja-Raja lebih cenderung ke arah pembentukan kerajaan baharu berbanding mengadakan ‘snap election’.
8. PH mencadangkan Anwar Ibrahim, manakala blok satu lagi mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ketika Muhyiddin jelas mempunyai sokongan yang mencukupi, Pakatan Harapan membuat u-turn saat akhir mencadangkan semula Dr Mahathir sebagai calon PM.
9. Tidak ada satu logikpun untuk PH mengambil keputusan mencalonkan semula Dr Mahathir kecuali jalan terakhir untuk terus berkuasa.
10. Dengan mencalonkan orang yang dalam beberapa hari lalu mereka tuduh munafik, diktator dan mungkir janji, maka apapun keputusan YDP Agong nanti adalah ‘tali gantung’ buat PH.
11. Rakyat melihat mereka sebagai parti politik yang tiada langsung prinsip pertanggungjawaban. Demi kuasa mereka sanggup mencalonkan semula orang yang menjadi punca krisis politik ini.
12. Matlamat Dr Mahathir mahu menghalang Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri tetap berjaya walau siapapun yang dipilih oleh YDP Agong sama ada PH mahupun gabungan di bawah Muhyiddin.
13. Justeru apa sahaja keputusan YDP Agong nanti jelas PH dan Anwar Ibrahim telah dimatikan karisma politik mereka oleh Dr Mahathir.
14. Rakyat juga boleh melihat betapa pemimpin PH sanggup mengorbankan semua prinsip mereka hanya untuk kekal menjadi kerajaan.
15. Pagi ini Dr Mahathir telah memberitahu seluruh dunia bahawa DAP, PKR dan Amanah bukanlah parti yang ada maruah, prinsip dan harga diri seperti yang cuba mereka gambarkan selama ini.
Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan;
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=194462345236237&id=111526340196505