KENYATAAN MEDIA GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
3 Mac 2020
GPMS menyambut baik komitmen yang dilaungkan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Md Yassin terhadap hal pendidikan dan ekonomi rakyat seperti yang terkandung dalam ucapan beliau dengan tajuk “Rayuan kepada rakyat Malaysia” semalam.
Dalam ucapannya itu, YAB Perdana Menteri telah berjanji untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara dan memastikan taraf pendidikan negara setanding dengan negara-negara maju. Dalam aspek ekonomi pula, YAB Perdana Menteri telah menyatakan komitmen beliau untuk meneruskan pelaksanaan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam usaha untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara seiring dengan usaha untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
Komitmen yang dilaungkan YAB Perdana Menteri ini jelas seiring dengan perjuangan GPMS selaku persatuan pelajar Melayu peringkat kebangsaan tertua di Malaysia dan bertepatan pula dengan prinsip 4 SEDAR yang dijulang ahli-ahli GPMS seluruh negara iaitu SEDAR atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa dan SEDAR bahawa maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa itu terletak di tangan kami.
GPMS sedar akan kedudukan semasa ekonomi orang Melayu yang masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum yang lain. Berdasarkan dokumen pengenalan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan pada bulan Oktober 2019 yang lalu, statistik jelas menunjukkan orang Melayu masih terkebelakang dalam segenap aspek ekonomi.
Sebagai contoh, pendapatan penengah bulanan isu rumah Melayu dan Bumiputera hanyalah RM4,846, kurang RM1,736 jika dibandingkan dengan etnik Cina. Pemilikan ekuiti sektor korporat Malaysia Melayu dan Bumiputera pula hanyalah 16.2 peratus setakat tahun 2015. Dalam aspek pekerjaan pula, orang Melayu dan Bumiputera ketinggalan dalam segenap bidang pekerjaan kecuali Doktor Gigi (51%) dan Juruukur (50%). Dalam bidang perakaunan, peratusan Akauntan Melayu dan Bumiputera hanyalah setakat 8 peratus.
Menyedari hubung kait langsung antara bidang pendidikan dan ekonomi keseluruhannya, GPMS tegar meneruskan perjuangan memperkasakan pendidikan anak bangsa agar di akhirnya orang Melayu dan Bumiputera boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain.
Sehubungan itu, GPMS yakin dan percaya YAB Perdana Menteri akan meneruskan serta menambahbaik dasar-dasar sedia ada dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan pertumbuhan ekonomi seiring dengan usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
GPMS menyarankan agar agensi-agensi pendidikan Melayu dan Bumiputera seperti UiTM, MARA dan Yayasan Peneraju terus diperkasakan kerana GPMS sedar akan peri penting pendidikan dalam meningkatkan ekonomi seterusnya merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
Kemelut yang membelenggu kelestarian PTPTN juga haruslah diurus segera agar badan itu akan terus dapat menjamin pendidikan tinggi untuk segenap rakyat Malaysia seterusnya menjamin bekalan tenaga mahir kepada sektor pekerjaan yang memacu ekonomi negara.
GPMS bersedia mengembleng segenap daya dan tenaga dalam usaha menyokong usaha YAB Perdana Menteri melaksanakan komitmen beliau meningkatkan kualiti pendidikan dan meneruskan agenda memacu ekonomi seperti yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Akhir kata, GPMS mendoakan usaha YAB Perdana Menteri dipermudahkan oleh-NYA serta negara Malaysia tercinta terus aman dan makmur di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri.
‘Belajar Terus Belajar’
Salam Hormat,
Mohd Alif Anas Haji Md Noor
Presiden
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung