10 HARAPAN DAN CABARAN KABINET MUHYIDDIN

3.1k
SHARES
10.1k
VIEWS

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan barisan kabinetnya semalam dan buat pertama kalinya jawatan Timbalan Perdana Menteri ditiadakan.

Berdasarkan ucapan Muhyiddin ketika mengumumkan senarai kabinet, dapat disimpulkan beberapa perkara yang ingin dicapai dan menjadi cabarannya iaitu;

Harapan dan cabaran 1: Janji menyelesaikan masalah rakyat dan memacu kejayaan negara 

Maka, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri untuk membentuk sebuah kabinet yang mampu menyelesaikan permasalahan rakyat dan membawa negara kita ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.

Dengan kekangan kewangan yang ada, dibebani dengan jumlah hutang yang tinggi, kekurangan perolehan daripada aset-aset strategik serta entiti perniagaan dan pelaburan yang telah banyak dijual, kabinet Muhyiddin berdepan dengan tugasan yang amat mencabar. 

Selain itu, dengan kekurangan pendapatan yang diperolehi melalui SST serta kehilangan pelaburan asing dan negara luar turut menghentikan pengimportan hasil negara, memberi kesan langsung kepada pelaksanaan dan pencapaian yang diharapkan. 

Ditambah dengan kekangan akibat daripada penularan wabak coronavirus atau COVID-19 yang melanda dunia, kabinet Muhyiddin memerlukan formula yang tepat untuk meletakkan kembali negara ke landasan yang sepatutnya.

Puluhan ribu rakyat yang kehilangan kerja terutamanya golongan B40 juga tidak boleh dilupakan.

Negara kini diibaratkan seperti sebuah keretapi rosak akibat tergelincir daripada landasan, di mana ia perlu diletakkan kembali dan dibaikpulih.

Kemudian barulah keretapi tersebut boleh memulakan kembali perjalanan menuju destinasi yang ditetapkan. 

Harapan dan cabaran 2: Membentuk kabinet yang lebih baik

“Justeru, saya akan membentuk sebuah kabinet yang memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berfokus dan berkesan, cekap, peduli rakyat, telus dan berintegriti dengan struktur yang lebih mantap.” 

Muhyiddin berharap melalui barisan kabinetnya dapat melakukan sesuatu yang lebih baik buat negara dan rakyat.

Harapan besar beliau juga tentunya berdepan dengan cabaran yang lebih besar kerana beberapa ‘muka-muka lama’ kabinet Pakatan Harapan turut membarisi Kabinet Muhyiddin.

Cara kerja dan sikap mereka pasti tidak akan boleh berubah sekelip mata dan ini merupakan cabaran terbesar buat mereka yang sebelum ini turut dikecam oleh rakyat dan kini masih menjawat jawatan Menteri atau Timbalan Menteri.

Isu meratifikasi ICERD, isu dakwaan semburit, idea ‘inovasi’ kereta terbang, isu kartel dan pelbagai lagi yang semuanya ketika ini berada dalam barisan kabinet Muhyiddin sendiri. 

Harapan dan cabaran 3: Dianggotai pelbagai latar belakang dan kepakaran 

“Barisan kabinet saya akan dianggotai oleh tokoh-tokoh politik yang berpengalaman, teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.”

Kepelbagaian yang ingin ditonjolkan antara ahli politik berpengalaman, teknokrat dan lain-lain perlu seiring dengan keserasian sesama anggota kabinet.

Keserasian ini akan membentuk pemerintahan dan kerajaan yang baik dan berkesan serta dilihat tersusun. 

Jika sebelum ini boleh dilihat bagaimana setiap kementerian kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah tiada komunikasi berkesan antara satu sama lain.

Melalui kegagalan berkomunikasi dan  tidak berupaya mewujudkan keserasian dan sinergi antara kementerian, mengakibatkan sesama sendiri keliru dan membuat kenyataan berbeza. 

Harapan dan cabaran 4: Kabinet berintegriti dan ‘bersih’ 

Untuk memastikan kabinet yang akan terbentuk adalah kabinet yang berintegriti, semua anggota kabinet yang akan saya umumkan sebentar lagi telah melepasi tapisan oleh pihak SPRM dan PDRM.

Jika integriti yang ditekankan, maka amat jelas Datuk Seri Azmin Ali yang masih terpalit dengan siasatan kes semburit yang menggemparkan negara tidak layak dilantik ke sebarang jawatan menteri kabinet, apatah lagi sebagai Menteri Kanan. 

Beliau juga tidak menyaman individu yang menuduhnya dan sehingga kini masih belum membuat sumpah laknat, cuma bertemu dan berbual dengan Mufti Wilayah Persekutuan yang meyakini beliau ‘difitnah’.

Sedangkan Ketua Polis Negara sendiri mengesahkan ketulenan video, ditambah dengan penemuan bukti CCTV serta wujud pengakuan pasangan Azmin dan laporan pakar forensik video luar negara yang turut mengesahkan butiran pelakunya. 

Ini bermakna Azmin sendiri tidak melepasi ‘piawaian’ yang ditetapkan oleh Muhyiddin dan ‘kabinet integriti’ ini mungkin hanya satu khayalan.

Ini baru satu contoh yang digunapakai untuk menunjukkan betapa vulnerable-nya senarai kabinet yang diumumkan akibat pemilihan ‘tema’ yang tidak bersesuaian.

Kabinet Muhyiddin perlu bersedia berdepan dengan kemelut ini sepanjang masa. 

Harapan dan cabaran 5: Kesilapan memilih ‘tema’ “berintegriti dan bersih” bagi Menteri Kabinet

Kesilapan utama Muhyiddin adalah apabila ‘mencanangkan’ kabinet beliau ini sebagai kabinet yang berintegriti, yang melepasi tapisan SPRM dan PDRM, tidak mempunyai kes rasuah dan jenayah.

Bayangkan jika ada yang ‘tidak kena’ dengan senarai kabinet beliau, maka rakyat akan berasa sangsi dengan ketelusan ‘tapisan’ SPRM dan PDRM yang dibuat terhadap Ahli-ahli Parlimen.

Sepatutnya cukup dengan mengatakan kabinet beliau ini dipercayai penuh olehnya bagi menggalas tugas-tugas yang mencabar dan memerlukan fokus serta sinergi antara kementerian. 

Gunakanlah retorik-retorik apapun, asalkan bukan “kabinet berintegriti dan melepasi tapisan”, yang hanya memberi ruang dan ‘peluru percuma’ buat pembangkang, sekiranya mereka dapat menghidu ada antara menteri yang ‘tidak bersih’ kelak.

Ia juga memberi gambaran buruk seolah-olah mereka yang tidak dilantik terpalit dengan isu jenayah ataupun rasuah dan ‘sangkut’ saringan SPRM dan PDRM.

Sebagai contoh tidak mungkin Azmin lebih bersih daripada Ku Li dan Haji Hadi yang tidak dilantik ke sebarang jawatan kabinet.

Isunya bukan KENAPA mereka ini tidak dilantik, tetapi isunya apabila Muhyiddin mencanangkan kabinet yang berintegriti dan bersih kerana telah disaring, maka ia meninggalkan persepsi buruk bahawa sesiapa yang tidak terlantik itu semuanya tidak berintegriti dan tidak bersih. 

Namun apapun, Azmin pasti menjadi antara fokus utama serangan Pakatan Harapan selepas ini. 

Harapan dan cabaran 6: Memastikan kabinet benar-benar berfungsi

Saya juga akan memastikan kabinet saya adalah sebuah kabinet yang berfungsi (functional cabinet) serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus.

Muhyiddin mengidamkan satu barisan “kabinet yang berfungsi” dan lebih fokus dalam berkhidmat untuk rakyat. 

Berfungsi ataupun tidak sesuatu kabinet itu hanya boleh dinilai selepas kerajaan melaksanakan apa yang dijanjikan, bagi memastikan negara berada pada landasan yang tepat, walau berdepan dengan cabaran-cabaran sukar.

Ini kerana pihak pembangkang akan mencari jalan menunjukkan ‘kegagalan’ Kabinet Muhyiddin dan berterusan meremehkannya. 

Apatah lagi terdapat beberapa lantikan dalam kabinet Muhyiddin ini melibatkan bekas Menteri dan Timbalan Menteri yang kontroversi dan tidakpun berfungsi sebelum ini di kementerian masing-masing semasa mereka bersama kerajaan Pakatan Harapan.

Harapan rakyat cuma satu iaitu “walk the talk“.

Jika tidak, bukan sahaja pembangkang Pakatan Harapan malah rakyat sendiri akan mempertikai kabinet Muhyiddin.

Harapan dan cabaran 7: Ketiadaan Timbalan Perdana Menteri, ‘diganti’ oleh empat Menteri Kanan

Untuk itu, saya akan melantik empat (4) orang Menteri Kanan (Senior Ministers) yang akan membantu saya menyelaras hal ehwal kabinet yang berkaitan dengan bidang-bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

“…Dengan adanya Menteri-Menteri Kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik.” 

Dalam kabinet Muhyiddin, beliau telah melantik empat Menteri yang digelar sebagai ‘Menteri Kanan’ atau (Senior Ministers) yang akan membantu beliau menyelaras hal ehwal kabinet yang berkaitan dengan bidang-bidang tertentu yang dinyatakan.

Menteri-menteri Kanan tersebut ialah;

1. Menteri Kanan – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
2. Menteri Kanan – Menteri Pertahanan
YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob
3. Menteri Kanan – Menteri Kerja Raya
YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof
4. Menteri Kanan – Menteri Pendidikan
YB Dr Mohd Radzi Md Jidin

Perdana Menteri amat mengharapkan empat Menteri Kanan ini dapat membantu beliau mentadbir negara dengan berkesan termasuk urusan kabinet yang berkaitan.

Adakah peranan empat Menteri Kanan yang seumpama menggantikan Timbalan Perdana Menteri ini lebih baik ataupun tidak, akan dapat diketahui tidak lama lagi.

Namun pihak pembangkang Pakatan Harapan akan mengambil kesempatan  ‘mencucuk’ atas ketiadaan Timbalan Perdana Menteri ini, dengan tujuan melaga-lagakan antara pemimpin parti dalam kerajaan. 

Harapan dan cabaran 8: Ada Menteri Kanan kurang berpengalaman

Pelantikan Menteri-Menteri Kanan ini akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang yang saya sebutkan tadi dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan.

Harapan yang tinggi diletakkan oleh Perdana Menteri atas Menteri Kanannya tetapi agak janggal apabila ada yang tidak berpengalaman sebagai Menteri penuh juga dilantik ke jawatan ‘Senior Minister‘ tersebut.

Azmin juga kurang berpengalaman di peringkat kabinet, berbanding Ismail Sabri dan Fadillah yang sebelum ini mempunyai lebih kurang 10 tahun pengalaman berada dalam kabinet. 

Malah Azmin sendiri dilihat gagal ketika menerajui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kerana ketika di bawah beliaulah ekonomi negara menguncup sebegitu rupa.

Walaupun ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor, tetapi tiada pelan jelas yang beliau bentangkan sebelum ini bagi mengatasi masalah tersebut. 

Begitu juga Mohd Radzi yang merupakan Timbalan kepada Azmin sebelum ini dan hanya menjawat jawatan tersebut tidak sampaipun 2 tahun.

Beliau dilhat terlalu ‘mentah’ untuk menjawat jawatan paling kanan dalam kerajaan melainkan Muhyiddin mempunyai definasi lain terhadap ‘Senior Minister‘ yang dimaksudkannya.

Atau mungkin juga Mohd Radzi mempunyai pencapaian memberangsangkan sebelum ini tetapi tidak diketahui umum, menyebabkan beliau disegani oleh Muhyiddin dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap beliau sebagai Menteri Kanan.

Namun apa piawaian dan kriteria utama yang diambil kira oleh Muhyiddin dalam melantik dua Menteri Kanan yang kurang berpengalaman ini?

Harapan dan cabaran 9: Bagaimana Menteri Kanan mendepani cabaran semasa

Menteri-Menteri Kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat kabinet di waktu ketiadaan saya dalam negara.”

Tanggungjawab Menteri Kanan ini juga amat besar dan berat termasuk mempengerusikan mesyuarat kabinet, bagi menggantikan Perdana Menteri di waktu ketiadaannya di dalam negara. 

Ini bermakna semasa ketiadaan Perdana Menteri maka empat Menteri Kanan inilah yang akan memainkan peranan yang penting dalam negara. 

Salah seorang daripada Menteri Kanan  yang berempat ini akan memainkan peranan utama mempengerusikan mesyuarat kabinet, namun terlalu awal jika ingin mengatakan ia sebagai ‘signal‘ siapa Perdana Menteri seterusnya. 

Cabaran besar menanti mereka untuk merealisasikan apa yang Perdana Menteri harapkan.

Cabaran 10: Mewujudkan kabinet yang berkhidmat kepada rakyat

Ringkasnya, saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat – a cabinet that delivers.” 

Ini intipati yang ingin Muhyiddin sampaikan, beliau benar-benar ingin mewujudkan kerajaan yang berfungsi dan berkhidmat untuk rakyat.

Seluruh barisan kabinet beliau perlu bekerja keras dari hari pertama mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia di depan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kerana ketika ini bukan sahaja Malaysia, malah perhatian dunia kini tertumpu kepada mereka untuk melihat – a cabinet that delivers. 

Jika tidak, nescaya apa yang ingin dilakukan oleh Muhyiddin akan tergendala di tengah jalan kerana kegagalan menteri-menterinya menterjemahkan apa yang beliau harapkan. 

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts