PERKEMBANGAN KES MAHKAMAH BAGI MENCABAR KEABSAHAN SJK CINA DAN TAMIL

1.3k
SHARES
5.3k
VIEWS

9 Mac 2020

1. Pagi tadi (9 Mac 2020), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendengar permohonan 14 pencelah untuk menjadi pencelah ke dalam tindakan saman yang dimulakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM).

2. Tindakan tersebut adalah berhubung saman yang difailkan oleh GPMS dan MAPPIM selaku Plaintif, terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia hujung tahun lalu, untuk mengisytiharkan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama, adalah bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan mesti digunakan untuk semua kegunaan rasmi.

3. 14 pihak yang memohon untuk menjadi pencelah adalah (1) Parti Gerakan; (2) Parti MCA; (3) Parti MIC; (4) Majlis Bahasa Cina Malaysia; (5) Persatuan Tamil Neri; (6) Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil;(7) Jiao Zong; (8) Dong Zong; (9) Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur; (10) Gabungan Penulis Nasional; (11) Persatuan Thamizar Malaysia; (12) Persatuan Tamilar Thirunal Perak; (13) Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil Malaysia; dan (14) Parti Putra.

4. Diwakili oleh barisan Peguam Tuan Haji Haniff Khatri, Malcolm Fernandez, Abi Mursyidin dan Aidil Khalid, kedua-dua GPMS dan MAPPIM telah mengambil pendirian untuk tidak membantah pihak-pihak yang tersebut itu untuk mencelah dalam tindakan ini, tertakluk kepada syarat bahawa mereka hendaklah dinamakan sebagai Pencelah-pencelah, dan bukan dinamakan sebagai Defendan-defendan. GPMS dan MAPPIM mengambil pendirian yang sedemikian itu (untuk tidak membantah), kerana berpandangan bahawa isu yang diutarakan dalam kes ini adalah berkepentingan awam dan melibatkan persoalan Perlembagaan berkenaan bahasa dan perpaduan, justeru penglibatan mana-mana pihak yang merasakan dirinya turut berkepentingan, adalah dialu-alukan.

5. Mahkamah telah menetapkan 21 Mei 2020 jam 2.30 petang untuk mendengar hujahan lanjut oleh kesemua pihak, berkenaan permohonan para pencelah tersebut.

6. Dalam masa yang sama, Mahkamah juga telah dimaklumkan bahawa dua lagi saman yang difailkan oleh (1) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA); dan (2) Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), berkenaan klausa tindakan dan isu yang sama, akan dipohon untuk dicantumkan ke dalam kes hari ini, agar dapat didengar dan dihujahkan secara bersama. Ini adalah bagi memastikan supaya kesemua pihak dapat bergabung dalam satu tindakan, tanpa perlu kes-kes yang sama dibicarakan secara terpisah-pisah.

7. Kes ini didengar di hadapan Yang Arif Dato Indera Mohd Sofian Abd Razak.

8. Bagi pihak Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia selaku Defendan pula, kedua-duanya telah diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Narkunavathy Sundareson.

9. Manakala selaku Plaintif, GPMS dan MAPPIM menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea, dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa tersebut sebagai satu mata pelajaran, tetapi menolak mana-mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil

Peguamcara bagi GPMS dan MAPPIM

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts