Agak susah membaca fikiran Mahathir yang ‘flip-flop‘ dalam tindakan politiknya. Berubah-ubah, ‘corner‘ baring, pusingan ‘U’ dan brek mengejut cukup sinonim dengan Mahathir. Sama ada ia langkah taktikal atau Mahathir berpegang prinsip Machiavelli, hanya tuhan saja yang tahu.
Baru 2-3 hari lepas Mahathir menempelak Muhyiddin di Langkawi. Sebelum itu juga Mahathir membayangkan Muhyiddin adalah pengkhianat besar di dalam Pakatan Harapan. Mahathir seolah-olah memberikan harapan besar kepada penyokong tegar PH untuk melawan kerajaan baru ini.
Begitu juga dengan jawatan ketua kepada PH. Setelah meletakkan jawatan dalam BERSATU, automatik jawatan dalam PH pun gugur. Lalu ada rombongan memujuk Mahathir untuk kembali sebagai ketua PH. Mahathir terima. Penyokong tegar PH bersorak gembira dan bersemangat kembali.
PH merancang siri jelajah penerangan untuk menghentam kerajaan baru. Tentunya Mahathir yang mahu dijaja sebagai ‘pelaris’ siri jelajah tersebut. Malangnya Mahathir tidak hadir semasa PH mengadakan program tersebut di Pusat Konvensyen Sime Darby. Penyokong tegar PH kebingungan.
PH bersilat memberi pelbagai alasan ketidakhadiran Mahathir ke program itu. Mahathir hanya diam, tiada sebarang kenyataan darinya. Lantas dikirim delegasi PAN berjumpa Mahathir. Misi memujuk barangkali. Mungkin juga DAP yang mengirim PAN untuk misi tersebut? Berkokoklah PAN mengatakan Mahathir setuju untuk ‘kembali’ memimpin PH.
Mahathir sendiri masih tidak memberi apa-apa kenyataan tentang ini. Yang diulas Mahathir ialah kedudukan Muhyiddin semakin kuat. Mahathir menambah lagi, ada kemungkinan PH akan gagal jika cuba membuat undi tidak percaya semasa sesi Parlimen Mei nanti. Tentunya penyokong PH bingung lagi. Demi menjaga air muka mereka, maka dikatakan itu adalah strategi Mahathir.
Mungkin benar itu strategi Mahathir. Mungkin Mahathir sedang ‘mengintai’ peluang buat anaknya Mukriz menyertai kabinet Muhyiddin. Mahathir bermain tarik tali mengintai setiap ruang dan peluang yang ada. Mungkin juga jawatan Menteri Kanan Pelajaran sedang disediakan untuk Mukriz kembali ke pusat sebagai menteri.
Sehingga hari ini, sekutu-sekutu Mahathir dalam PPBM tidak diusik langsung oleh Muhyiddin. Sedangkan jika faktor disiplin diambil kira, tentunya mereka mesti dipecat. Akan tetapi ini tidak berlaku. Mahathir, Mukriz dan dua tiga orang sekutunya bebas menghentam Muhyiddin. Muhyiddin hanya membisu dalam isu ini sebaliknya masih mahu berjumpa dengan Mahathir.
Mengambil kira penyandang jawatan Menteri Kanan Pelajaran iaitu Dr. Radzi Jidin, tidak mustahil beliau akan dikorbankan bila tiba waktunya nanti. Dr. Radzi masih baru dan amat kurang sokongan akar umbi. Dr. Radzi masih hijau dalam politik dan senang diatur cara. Lagipun siapa Dr. Radzi mahu membantah Mahathir dan Muhyiddin. Senario ini sama seperti yang berlaku kepada Dr. Maszlee Malik dahulu.
Akhirnya penyokong juga yang menjadi mangsa. Dalam konteks ini, tentunya para penyokong tegar PH. Perkara ini tidak mustahil bagi Mahathir. Bagi Mahathir beliau hanya mengambil keuntungan buat diri dan keluarganya sahaja. Pedulikan para penyokong. Jika perlu ditipu, Mahathir akan menipu. Konon tidak mahu bersama pemimpin UMNO yang rasuah, dengan Lim Guan yang nyata punya kes rasuah, boleh pula bersama.
Jika perlu menangis menagih simpati, Mahathir akan menangis. Jika perlu marah untuk kelihatan tegas, Mahathir tidak segan-segan berbuat demikian. Jika perlu bergurau untuk mengalihkan isu, beliau turut boleh melakukannya.
Contoh klasik situasi ini ialah Anwar Ibrahim. Di saat sokongan Anwar diperlukan, Mahathir mencari Anwar. Bila tidak diperlukan lagi, macam-macam dikata kepada Anwar, dihumbannya ke penjara. Bila mahu sokongan Anwar kembali, tanpa sedikitpun rasa malu, terhegeh-hegeh mencari Anwar di mahkamah. Sekarang, bila kehilangan kuasa sekali lagi, Anwar pula dikatakan “gila-gila nak jadi PM”
Inilah Mahathir, ahli politik oportunis yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan dirinya. Bagi Mahathir, politik adalah serba kemungkinan. Semuanya dibolehkan asal saja memberi keuntungan kepadanya.
Jangan terkejut jika dalam masa terdekat ini, kabinet yang masih setahun jagung, terpaksa dirombak bagi memenuhi kehendak Mahathir…
Paku Warren