COVID-19: GPMS SEDIA BANTU KEMENTERIAN PENDIDIKAN

366
SHARES
2.2k
VIEWS

Kenyataan Media GPMS

4 April 2020

GPMS menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon berkenaan saranan agar masa yang terluang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan oleh para pelajar dengan aktiviti pendidikan.

Sebagai sebuah NGO berteraskan pendidikan kebangsaan tertua di Malaysia, GPMS berbesar hati mendengar komitmen yang dilaungkan YB Senator Timbalan Menteri berkenaan persiapan Kementerian Pendidikan dalam menyediakan bahan-bahan pengajaran untuk digunakan sepanjang tempoh PKP.

GPMS mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menyediakan satu portal atas talian khusus yang boleh diakses oleh semua pihak termasuk warga pendidik dan pelajar dalam mendapatkan bahan-bahan pengajaran yang disediakan Kementerian Pendidikan. Buat waktu ini, GPMS bersedia untuk membantu Kementerian Pendidikan dalam menyebarkan sebarang bahan pembelajaran seperti video tutorial kepada para pelajar menerusi medium-medium yang GPMS ada.

Seperti mana Kementerian Pendidikan, GPMS juga percaya proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tidak seharusnya terhenti kerana pelaksanaan PKP ini. GPMS terharu melihat komitmen yang ditunjukkan para guru di Malaysia yang telah bertungkus-lumus meneruskan sesi PdP menerusi kaedah atas talian. Pelbagai medium telah digunakan warga pendidik dalam mengajar secara atas talian seperti Google Hangouts Meet, Google Classroom mahupun Zoom. GPMS berpendapat usaha meneruskan PdP sebegini sangat penting dalam memastikan proses para pelajar menimba ilmu tidak terbantut sepanjang tempoh PKP.

Walaubagaimanapun, GPMS sedar terdapat beberapa kekangan yang dihadapi warga pendidik dan juga para pelajar seperti ketiadaan komputer atau gajet elektronik, ketiadaan atau kelembapan talian internet mahupun masalah keberkesanan penyampaian yang dibataskan faktor-faktor tertentu. Justeru, GPMS merasakan terdapat keperluan untuk Kementerian Pendidikan mengkaji semula takwim peperiksaan utama negara seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Hal ini penting bagi memastikan keputusan para pelajar tidak terkesan natijah daripada PKP ini.

Selaras dengan prinsip 4 SEDAR yang dipegang GPMS, “SEDAR atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa”, GPMS bersedia membantu Kementerian Pendidikan dalam memberikan buah pandangan yang diperlukan termasuk menggerakkan ahli-ahli GPMS di seluruh negara bagi menyokong sebarang dasar dan usaha kementerian mengangkat martabat pendidikan di Malaysia.

Mohd Alif Anas Haji Md Noor

Presiden

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts