Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pihak kerajaan kerana tindakan pantas membatalkan kebenaran beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diberikan kepada Heineken semalam. Pembatalan telah dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan selaras dengan itu juga, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan surat pembatalan tersebut serta-merta.
2. Pihak kerajaan PN juga menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap kepentingan masyarakat dan bersedia serta tidak teragak-agak menarik balik apa-apa keputusan yang dilihat mendatangkan mudarat kepada negara.
3. Penularan pendemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyedarkan kita bahawa selama ini terdapat banyak makanan atau barangan yang tidak diperlukan bagi kegunaan seharian kita. Ia juga boleh dilihat sebagai suatu “eksperimen sosial” bahawa Malaysia mampu untuk hidup tanpa kewujudan “industri-industri dosa” seperti arak dan judi.
4. Justeru, MUAFAKAT memandang perkara ini masih belum selesai kerana menurut laporan FMT, sekurang-kurangnya terdapat sebuah lagi kilang bir utama yang diberikan pengecualian sama.
5. Jadi timbul berbagai persoalan, antaranya bagaimana dengan keputusan bagi kilang-kilang yang lain seperti Guinness Anchor dan Carlsberg, apakah juga memohon untuk beroperasi? Dan sekiranya kelulusan kepada Heineken sebelum ini diluluskan, adakah terdapat kemungkinan kilang-kilang lain yang menghasilkan arak turut diluluskan? Bagaimana dengan kriteria kelulusan dan siapakah yang meluluskannya?
6. Sekiranya Heineken memohon untuk beroperasi pada waktu begini, ini bermakna terdapat permintaan terhadap minuman keras tersebut. Secara umum terdapat 2 sahaja kemungkinan bagi bekalan ini diedarkan iaitu perniagaan runcit dan pusat-pusat hiburan.
7. Jika sekiranya permintaan datang daripada kedai runcit maka tauke-tauke perniagaan runcit perlu dipersoal berkaitan kesedaran moral dan sivik mereka menjual arak ketika barang-barang keperluan lain seperti makanan dan minuman asas adalah lebih layak untuk mendapat tempat di rak-rak kedai.
8. Dan jika bekalan adalah kepada pusat-pusat hiburan, maka adakah terdapat pusat-pusat hiburan yang dibuka secara haram pada ketika ini? Kesemua ini perlu dirungkaikan secara tuntas dan tidak cukup dengan hanya penarikan operasi satu kilang sahaja.
9. Sebagai NGO-I yang melihat sesuatu isu secara lebih holistik, MUAFAKAT tidak hanya melihat isu Heineken sebagai isu arak haram dan pemandu mabuk sahaja. MUAFAKAT memandang bahawa ia sebagai suatu akibat daripada kapitalisme dalam kerangka ekonomi negara.
10. MUAFAKAT dimaklumkan bahawa setakat 27 Mac 2020, MITI mengesahkan telah menerima sebanyak 9,290 permohonan daripada syarikat-syarikat pelbagai sektor pembuatan untuk meneruskan operasi sewaktu tempoh PKP.
11. Daripada jumlah tersebut, 2,794 permohonan atau 30.08 peratus telah ditolak. Di antara punca permohonan ditolak adalah kerana kebanyakan syarikat tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya termasuklah syarikat yang memohon bukan di dalam sektor yang penting dan kritikal.
12. Sektor-sektor kritikal adalah sektor-sektor yang mengeluarkan produk makanan dan minuman, barangan rumah (termasuk hand sanitiser), peralatan perlindungan peribadi (termasuk topeng muka), farmaseutikal, pembungkusan dan percetakan khususnya untuk industri pemakanan dan minuman, peranti perubatan dan pembedahan serta minyak dan gas.
13. Persoalan yang ingin dilontarkan adalah mengapa syarikat-syarikat sektor tidak kritikal ini tergamak untuk memohon? Adakah hanya kerana tauke-tauke kilang ini mengharapkan laba yang besar maka berani mempertaruhkan risiko keselamatan pekerja-pekerja bawahan sama ada tempatan atau pun asing terhadap COVID-19 sehingga berpotensi mewujudkan kluster baru jangkitan.
14. Pekerja-pekerja bawahan ini bukan golongan berada dan kemungkinan mempunyai pendapatan isi rumah yang rendah. Apakah yang akan terjadi sekiranya ada ahli keluarga yang dijangkiti COVID-19! Nasib-nasib tauke-tauke kilang tentunya berbeza dan terdedah kepada risiko yang lebih rendah.
15. Sehubungan itu, MUAFAKAT ingin memohon agar pihak kerajaan sama ada MITI atau KPDNHEP untuk mengeluarkan senarai syarikat-syarikat yang beroperasi sewaktu PKP mahupun yang tidak menepati kriteria sektor kritikal tetapi tetap memohon. Malaysia perlu melihat golongan kapitalis yang tidak mempedulikan nasib golongan bawahan.
16. Dan terbaru dalam media Harian Metro semalam, 6 April 2020, melaporkan, kerajaan hanya memberi kebenaran mengedarkan stok sedia ada dan bukannya kebenaran beroperasi. Kenyataan ini menimbulkan banyak tanda tanya sehingga banyak pula NGOi tertanya-tanya apakah ada skandal di sebalik pengeluaran arak di dalam negara ini?
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT