Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengambil maklum tentang keputusan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu mengekalkan pelajar yang berada di lokasi masing-masing sehingga arahan baru dikeluarkan dari semasa ke semasa.
MPPK menyeru kepada semua pelajar untuk turut akur dengan keputusan yang dikeluarkan demi kebaikan semua pihak. MPPK juga menuntut semua pelajar untuk kekal tenang dan rasional sementara menunggu arahan baru dikeluarkan.
MPPK juga yakin dan percaya bahawa keputusan ini bukanlah bersifat untuk menekan rakan-rakan semua, bahkan ia diputuskan selepas KPT mendapatkan pandangan dan penjelasan terperinci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang semestinya telah menimbang tara pelbagai kemungkinan dan risiko dalam cadangan terbabit.
Oleh itu, sekali lagi kami ingin menyeru rakan-rakan mahasiswa dan pelajar supaya tenang dan akur demi memastikan wabak COVID-19 ini dapat kita banteras sekaligus dapat memastikan PKP dilonggarkan yang akan membolehkan kalian semua pulang ke pangkuan keluarga masing-masing nanti.
MPPK juga ingin menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada KPT, MKN dan KKM serta jentera-jentera kerajaan yang lain kerana telah mengambil kira dan mempertimbangkan cadangan kami sebelum ini.
Selain itu, kami juga ingin memohon kepada semua ibu bapa dan ahli keluarga rakan-rakan kami untuk memberi semangat dan sokongan moral kepada anak-anak di kampus serta jangan khuatir atau bimbang kerana segala aspek keperluan dan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan oleh pihak universiti. Sebagai pelajar kita perlu berkorban buat masa ini kerana ia untuk masa depan negara yang lebih baik dan terjaga.
MPPK yakin golongan pelajar adalah generasi yang tabah, sentiasa bersemangat dan rela berkorban demi negara serta bersedia membantu negara dengan akur dan patuh akan PKP yang sedang berjalan sehingga kini agar rangkaian wabak COVID-19 dapat diputuskan.
Terima kasih YBM Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Kementerian Pengajian Tinggi, terima kasih Majlis Keselamatan Negara, terima kasih KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA, terima kasih juga pada petugas-petugas barisan hadapan yang gigih berusaha melawan wabak pandemik COVID-19 ini. Dari belakang kami hulurkan semangat dan kami hulurkan tinta penghargaan kami kepada kalian semua.
Sekian, terima kasih.
MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI
PRESIDEN
MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN
#KitaMestiMenang