ADAKAH MAHATHIR DAN MUKRIZ KEBAL DI DALAM BERSATU?

2.3k
SHARES
7.3k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Mesyuarat BERSATU esok dijangka menarik. Semua ahli MPT BERSATU telah menerima surat jemputan menghadiri mesyuarat tersebut. Namun Pengerusi dan Timbalan Presiden BERSATU tidak menerima surat jemputan mesyuarat. Dengan kata lain, apabila tiada jemputan, dua beranak ini, Mahathir dan Mukriz tidak dikehendaki dalam mesyuarat tersebut!

2. Memang menarik direnungkan, mengapa ini berlaku? Mahathir adalah satu-satunya pengerusi sebuah parti yang punya kuasa eksekutif di dalam parti politik di Malaysia. Parti politik yang lain hanya ada Presiden yang berkuasa eksekutif ke atas parti mereka.

Pengerusi parti BERSATU juga berada dalam struktur rasmi parti. Dalam struktur BERSATU, Pengerusi adalah lebih tinggi dari Presiden. Secara hierarki, Presiden perlu melapor kepada Pengerusi. Tradisi BERSATU sebelum ini, Pengerusi akan mempengerusi mesyuarat MPT parti.

3. Kali ini Pengerusi tidak dijemput. Secara hierarkinya, maka Presiden yang akan mempengerusikan mesyuarat. Barangkali ada satu keputusan besar yang perlu dibuat sehingga Pengerusi yang selama mempengerusikan mesyuarat tidak dijemput. Adakah keputusan yang perlu dibuat bakal melibatkan pengerusi? Kerana inikah pengerusi tidak dijemput hadir?

4. Bagi Timbalan Presiden, dikhabarkan oleh sumber dalaman BERSATU tidaklah menghairankan. Menurut sumber dalaman tersebut, ada atau tidak Timbalan Presiden tersebut tidak membawa impak besar kepada mesyuarat. Diberitakan Timbalan Presiden tersebut lebih banyak diam jikapun hadir. Kehadirannya dilihat hanya menyokong Presiden dalam setiap keputusan yang dibuat.

5. Atas kertas, di sebalik suhu panas politik Malaysia terkini, seharusnya ada keputusan besar yang perlu dibuat dalam mesyuarat MPT BERSATU esok. Seperti bekas rakan sekutu BERSATU iaitu PKR, BERSATU boleh mengikut jejak langkah PKR sama ada menggantung atau memecat ahli-ahli yang bertindak bertentangan dengan dasar parti.

6. Logiknya, Mahathir dan Mukriz telah bertindak bertentangan dengan dasar parti BERSATU. Kebanyakan kenyataan mereka berdua bertentangan dengan dasar BERSATU yang mengetuai kerajaan PN GPS walaupun tidak mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan. Ia terang lagi bersuluh apabila Mahathir sendiri telah membuat usul tidak percaya kepada TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

7. Kita menantikan adakah segala tindakan Mahathir dan Mukriz ada impaknya. Tentunya ahli BERSATU bingung memikirkan bagaimana Mahathir dan Mukriz bebas mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan parti dibiarkan lepas dan bebas. Ini melanggar disiplin parti.

Adakah keistimewaan insan dua beranak ini? Jika ahli biasa yang melanggar disiplin parti, pasti akan ada hukuman dari tindakan mereka itu.

8. Terkini, diberitakan mesyuarat yang sepatutnya berlangsung esok, telah ditunda ke satu lain yang akan dimaklumkan kemudian. Adakah ini petanda Mahathir dan Mukriz akan bebas mengkritik dan terus mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan parti BERSATU?

Selaku Presiden BERSATU yang kini menerajui negara, TS Muhyiddin perlu berani membuat keputusan segera terhadap kemelut yang melanda partinya kini. Sepertimana TS Muhyiddin berani membuat keputusan membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi menyelamatkan rakyat, tentunya rakyat juga mahu beliau bertegas dalam hal melibatkan Mahathir dan Mukriz.

Jika kemelut BERSATU berterusan, tentunya kerajaan PN GPS akan menerima kesannya, dan akhir sekali tentu juga rakyat bakal bingung dan menerima kesan akan krisis ini.

Adakah TS Muhyiddin mahu melihat saja Mahathir dan Mukriz berbuat sesuka hati mereka atas nama konon mereka perintis parti BERSATU. Berapa lama lagi rakyat mahu melihat drama politik yang seakan tiada kesudahan ini?

Sama-sama kita tunggu dan lihat…

Dipetik dari laman blog “Anuar Shaari Menulis” di pautan; http://anuar-shaari.blogspot.com/2020/05/apakah-mahathir-dan-mukriz-kebal-di.html?m=1

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts