TOLAK ISU POLITIK, MPPK SARAN KERAJAAN KEKAL FOKUS PASCA COVID-19 DEMI RAKYAT DAN NEGARA

1.2k
SHARES
3.7k
VIEWS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi dengan ketentuan-NYA, negara kita hampir berjaya untuk menewaskan wabak COVID-19 setelah beberapa bulan berjuang dan berkorban dalam peperangan menentang virus yang tidak terlihat oleh mata kasar ini, namun ancamannya mampu menumbangkan kelangsungan pembangunan sesebuah negara.

Pertama sekali, MPPK ingin menzahirkan rasa berterima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama berjuang melawan wabak COVID-19 yang berleluasa merebak di seluruh dunia.

Terutamanya kepada petugas barisan hadapan dan juga pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta lain-lain pihak tidak kira agama, bangsa, kaum mahupun pegangan politik yang berjaya mengetepikan perbezaan tersebut demi menentang musuh di hadapan demi negara tercinta.

Namun begitu, kita masih belum menang dalam perjuangan melawan wabak COVID-19 ini. Sehingga kini, wabak ini masih menular di seluruh dunia. Vaksin pulak dijangka hanya boleh ditemui dalam jangka masa setahun atau mungkin lebih. Oleh itu, usaha untuk melawan wabak ini harus kita semua tingkatkan lagi secara berterusan.

Seterusnya, kita dapat melihat sejak akhir-akhir ini, situasi politik Malaysia kembali rancak. Perebutan kuasa, adegan lompat-melompat, inilah yang sedang kita lihat sekarang. Ahli politik mesti ingat, mandat yang diberi kepada mereka oleh rakyat adalah untuk mereka terus berkhidmat kepada rakyat. Bukan hanya sibuk menjadi rakus berebut kuasa. Jangan lupa kalian telah diamanahkan dan diangkat oleh rakyat untuk membela nasib rakyat.

Rakyat juga ternyata sudah mula muak dengan drama politik Malaysia ini. Rakyat sudah mulai bosan. Rakyat juga mula marah. Drama politik yang berlaku sejak akhir-akhir ini hanya akan menyusahkan rakyat di kemudian hari. Semua ahli politik sepatutnya kembali kepada landasan yang asal, iaitu membantu dan memperjuangkan nasib hidup rakyat.

MPPK akan terus menyokong usaha kerajaan untuk sentiasa mendahulukan perkara yang lebih penting dan utama demi rakyat dan negara. MPPK juga menyarankan kerajaan untuk kekal memberi fokus dan perhatian kepada pelan perancangan dan tindakan Pasca COVID-19 untuk kelangsungan negara tercinta ini.

Akhir sekali, MPPK menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa mahupun ideologi politik kita perlu bersatu padu dan mainkan peranan masing-masing untuk kita memenangi peperangan ini agar rangkaian wabak COVID-19 dapat diputuskan dan negara dapat dipulihkan.

Sekian, terima kasih.

#KitaMestiMenang

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan – MPPK

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts