ISHAM JALIL DILANTIK KETUA PENERANGAN BARISAN NASIONAL SELANGOR

941
SHARES
5.5k
VIEWS

Bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri keenam iaitu saudara Isham Jalil yang sebelum ini begitu lantang dan konsisten menyuarakan kepincangan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan, kini dilantik sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor.

Lantikan tersebut bertepatan dengan situasi negara terkini yang sangat memerlukan suara dan tenaga anak muda, bukan sahaja sebagai pelapis masa hadapan tetapi demi membawakan idea dan aspirasi segar, relevan serta berfakta.

Selain itu imej bersih, mudah didekati dan tidak dibayangi oleh mana-mana isu juga memainkan peranan penting dalam situasi politik terkini yang berdepan dengan pelbagai cabaran semasa termasuk teknologi tanpa sempadan yang kerap disalah gunakan oleh Pakatan Harapan sebagai alat menyebarkan pelbagai fitnah dan penipuan. 

Sebagai rekod, sebelum ini beliau antara yang paling awal mempertahankan bekas bos beliau iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak walaupun ketika itu Barisan Nasional baru sahaja tumbang dan berdepan dengan pelbagai tohmahan dan hinaan termasuk pelbagai ancaman seperti dibekukan akaun, diancam akan diharamkan serta aset-aset bakal dirampas atau dipindah milikkan. 

Alhamdulillah, kemudiannya Barisan Nasional bangkit kembali setelah rakyat dan penyokong-penyokong Pakatan Harapan sendiri melihat penipuan dan fitnah kerajaan Pakatan Harapan sangat tidak kompeten dan cacamarba serta dilanda perebutan kuasa sesama sendiri yang akhirnya menjadi penyebab kepada tumbangnya kerajaan setelah hanya 22 bulan memerintah.

Berikut ialah pengesahan mengenai lantikan tersebut yang dipetik daripada laman Facebook beliau:

“Saya telah mendapat maklum melalui satu surat pelantikan bahawa kepimpinan BN Negeri Selangor telah melantik saya sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional Negeri Selangor.” 

“Saya terima lantikan ini dengan hati yang terbuka, ia adalah suatu amanah yang akan saya galas demi perjuangan untuk rakyat dan negara.” 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional Negeri Selangor kerana telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk memikul tugas ini, terutama kepada Pengerusi Barisan Nasional Negeri Selangor merangkap Ketua Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar, Pengerusi MCA dan MIC Negeri Selangor, dan juga Ketua-ketua Bahagian UMNO, MCA dan MIC Selangor serta rakan-rakan seperjuangan di akar umbi dan di UMNO Bahagian Sungai Buloh dan UMNO Cawangan Pekan Sungai Pelong, Paya Jaras ke atas pelantikan ini dan ke atas sokongan dan dorongan kepada saya selama ini.”

“Tidak lupa juga kepada ibu bapa, keluarga dan para sahabat, serta pemimpin-pemimpin yang saya hormati yang telah banyak memberikan dorongan, galakan, nasihat dan tunjuk ajar dalam politik kepada saya selama ini terutamanya Dato’ Seri Najib Tun Razak.” 

“Dengan izin Allah saya akan melaksanakan tugas yang diberikan ini dengan amanah, ikhlas dan sepenuh hati.” 

“Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita semua.”

Salam,

Isham Jalil

31 Mei 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/729361741152686/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts