Seolah-olah masing-masing melepaskan geram apabila mutakhir ini kita melihat dan mendengar pelbagai rakaman suara yang dibuat secara sulit bagi mendedahkan aib dan kelemahan lawan.
Boleh dikatakan semuanya melibatkan pemimpin-pemimpin Bersatu, termasuk Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu masih menjawat jawatan Perdana Menteri.
Satu persatu dikeluarkan sesama sendiri dek kerana bertelagah di satu pihak kerana kemaruk ingin berkuasa dan di satu pihak lagi ingin mempertahankan kuasa.
Rakaman audio berdurasi lebih dua jam ketika berlangsungnya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di mana Mat Sabu ada menyuarakan lebih baik menjadi pembangkang sahaja dan ‘masin mulut’nya, di mana tidak berapa lama kemudian ia menjadi nyata. Tentu rakaman ini dirakam dan disebarkan oleh kem Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga hadir ketika itu kerana tidak mungkin pelakunya adalah Pakatan Harapan apabila intipati kandungan rakaman tersebut tidak menyebelahi mereka.
Kemudian tersebar pula rakaman suara Majlis Tertinggi Bersatu di mana Tun Mahathir telah bersetuju untuk Bersatu keluar Pakatan Harapan termasuk beliau mengkritik DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana rakaman ini juga disyaki dirakam dan disebarkan oleh pasukan Pro Muhyiddin. Pasukan pro Tun pastinya tidak ingin rakaman sebegini ditularkan kerana ia hanya mendedahkan sikap berdolak-dalik Tun Mahathir yang cakap-cakapnya sentiasa berubah-ubah.
Kemudian tular pula rakaman mirip suara Muhyiddin yang memberitahu mesyuarat supaya memberi mandat kepada Tun Mahathir Mohamad untuk memutuskan sama ada akan kekal atau meninggalkan Pakatan Harapan.
Selanjutnya pasukan pro Tun Mahathir mula membalas dengan menyebarkan audio rakaman suara yang dikatakan suara Muhyiddin memberi cadangan tawaran jawatan tertentu seperti Menteri dan Pengerusi GLC. Rakaman ini tentunya memberi mileage politik yang luas kepada pasukan pro Mahathir dan Pakatan Harapan kerana ketika ini sememangnya ramai pemimpin-pemimpin UMNO ditawarkan atau telahpun menjawat jawatan-jawatan tertentu seperti yang disebut dalam rakaman yang bocor itu.
Terkini Tan Sri Noh Omar dilantik Pengerusi MISC Berhad, juga menepati seperti apa yang terkandung dalam rakaman yang baru ditularkan.
Selepas ini rakaman apa pula agaknya yang akan tersebar? Janganlah pula rakaman video seperti insiden seks bebas bersemburit lelaki sesama lelaki seperti video Hotel Sandakan pula disebarkan selepas ini… Tentunya rakyat sudah tidak larat melihatnya apatah lagi kes sebelum inipun masih misteri dan belum selesai kerana pihak polis belum mengenali siapa pelaku utamanya.
Namun setidak-tidaknya rakaman-rakaman tersebut hanya berlegar dalam Pakatan Harapan ataupun dalaman sesama parti Bersatu sahaja, bukannya rakaman audio Datuk Seri Najib dan seorang Putera Arab yang lebih memalukan.
Bukan memalukan Najib tetapi memalukan negara kerana ia melibatkan kerahsiaan dan kedaulatan negara luar yang sepatutnya dihormati. Jika mempunyai nilai sebagai bukti di mahkamah sekalipun, ia sewajarnya dibuat secara tertutup untuk dinilai, bukannya untuk sesi pendengaran kepada pihak media.
Penyebarannya yang dibuat oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Letheefa Koya juga masih tidak disiasat, malah senyap sehingga kini. Beliau sepatutnya dikenakan tindakan di bawah OSA kerana selaku penjawat awam beliau tidak sewajarnya berbuat demikian. Bukan sahaja tidak beretika dan tidak profesional, malah melanggar undang-undang.
Sejak itu ia menjadi ‘trend‘ Pakatan Harapan, masing-masing berlumba-lumba membocorkan rakaman yang dibuat sebelum ini, tidak kira seteru atau rakan politik, semuanya dibocorkan.
Nampaknya semua pihak dalam Pakatan Harapan masing-masing tidak mempercayai sesama sendiri dan berhati-hati dengan membuat rakaman semua mesyuarat dan perjumpaan, untuk tujuan dan kegunaan di masa hadapan. Nampak sangat mereka ini langsung tiada kesepakatan dan saling mencurigai antara satu sama lain.
Mungkin nama Pakatan Harapan sepatutnya ditukar kepada “Pakatan Rakaman” adalah lebih sesuai.
Justeru, kita tunggu sahaja selepas ini, apa lagi rakaman audio atau video yang akan didedahkan oleh Pakatan Harapan. Cuma bagi sesiapa yang pernah bercakap perkara yang tidak sepatutnya semasa mesyuarat Pakatan Harapan perlu berhati-hati…
Anda mungkin mangsa seterusnya.