MENYINGKAP KEMELUT POLITIK TANAHAIR: KEMBALI KE ASAS KENEGARAAN

590
SHARES
3k
VIEWS

1. Tujuan manusia diciptakan di dunia ini adalah untuk mengenal, beriman dan menyembah Allah Taala. Para utusan-NYA dihantar silih berganti untuk maksud ini, bermula dengan para Nabi dan Rasul, manakala Rasulullah SAW sebagai ‘khatamul anbiya’, yang melengkapkan syariat Allah Taala di muka bumi ini. Selepas Baginda, akan sentiasa wujud pewaris dari kalangan alim ulama bersanad yang menyambung tugas tersebut, termasuk para mujaddid sebagai pembaharu agama, yakni memurni serta mengembalikan esensi serta hakikat agama dalam bentuk yang mengikuti ciri peredaran dan perubahan zaman. Manakala ummah diwajibkan mengambil anutan mereka dalam mengharungi kehidupan di dunia sebagai hamba Allah.

2. Tujuan sebuah negara diwujud dan dibangunkan adalah untuk menghimpun kerjasama, kekuatan serta daya kreativiti secara berjemaah dalam sistem yang berstruktur, berorganisasi dan berinstitusi, demi kelangsungan hidup manusia yang bertamadun, serta mengurus fitrah kemanusiaan yang terhimpun padanya pelbagai ragam dan karenah, selain sifat kehaiwanan termasuk peringkat-peringkat nafsu yang perlu dikawal, dijinakkan dan diurus atur.

3. Bagi umat Islam, tujuan lain pembangunan negara adalah untuk menjaga agama serta mengurus keagamaan masyarakat secara teratur dan bersistem, agama perlu dihidup dan dimakmurkan di kalangan warga negara, negara maslahah perlu dibangunkan yang menghimpun kebaikan dan mencegah kemudaratan, kerana dunia adalah ladang yang perlu dibenihi dengan amal baik, dibajai dan disuburi supaya hasil yang baik dapat dituai di negara akhirat yang berkekalan nanti, dengan harapan mendapat keredaan Allah.

4. Dalam sebuah negara Islam, pembangunan organisasi dan institusi bertujuan menghidup, membangun serta mengembangkan nilai-nilai serta perisian daripada peradaban Islam, yang diseragamkan melalui sistem dan mekanisme adat budaya, bahasa dan hukum-hakam atau perundangan. Tujuan negara juga adalah untuk membangunkan ‘KOSMOS PERADABAN’, iaitu menyusun, mengurus, menyantuni serta mengambil manfaat daripada kelompok-kelompok manusia dalam posisi masing-masing sesuai kadar ilmu, pengalaman dan lain-lain kelayakan mereka, seperti golongan raja dan bangsawan, alim-ulama, pemikir dan cendekiawan, para hakim, pentadbir, akademik, hulubalang atau ketenteraan, ahli-ahli sastera dan budaya, warga watan dan warga luar, muslim dan non muslim dan sebagainya.

5. Bagi sebuah negara Islam yang berdaulat, Ketua Negara sebagai punca kuasa tertinggi, posisinya adalah sebagai Khalifah Allah, bertanggungjawab menjaga amanah kedaulatan watan yang mana pemilik sebenar kuasa tersebut adalah Allah Taala. Dalam konteks negara Malaysia, Yang Di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara dan Ketua Agama, bertanggungjawab secara langsung dengan Allah pada Hari Hisab nanti atas posisi amanah yang besar ini. Mengikut peruntukan syariat dan Perlembagaan negara, baginda mendelegat sebahagian kuasa dengan maksud mengurus dan melaksana urusan pentadbiran negara dan rakyat, pada golongan pentadbir dan penjawat awam. Dalam Islam, rakyat perlu taat kepada pemerintah selagi mana mereka tidak disuruh berbuat maksiat – contohnya perkara yang ditegah oleh Allah Taala.

Begitu juga dengan Raja-Raja Melayu yang memegang amanah kedaulatan sebagai Ketua Negeri dan Ketua Agama di negeri baginda masing-masing, yang masing-masing mempunyai sistem pentadbiran negeri, manakala rakyat perlu patuh pada Raja di negeri masing-masing.

6. Bermakna TIDAK TERPISAH POLITIK DARI ISLAM, kerana kekuasaan, kekuatan perundangan dan aspek-aspek kenegaraan dalam bingkai tadbir urus yang baik, atau ‘good governance‘, adalah perlu demi keselamatan, keadilan dan kesejahteraan umat Islam sekaligus atas maksud membangunkan negara atas NILAI-NILAI KETAUHIDAN DAN KEMANUSIAAN. Malahan, warga negara yang bukan Islam juga tetap akan menikmati kebaikan ini dalam lingkungan hak-hak mereka yang tersemat dalam Perlembagaan negara.

7. Negara Malaysia bukan sebuah negara yang baru lahir dalam tahun 1957, ia bukan bermula dari vakum. Ia terbentuk dari persetujuan 9 Raja-Raja Melayu untuk “bergabung dengan Bersyarat” membentuk sebuah Persekutuan, baginda sekalian mewarisi kesultanan-kesultanan Tanah Melayu yang bertali-temali semenjak beratus-ratus tahun dengan ketamadunan dan peradaban Islam dalam wajah Melayu, serta sistem-sistem pentadbiran negara yang matang dan diiktiraf seantero dunia. Buktinya adalah hubungan diplomatik, ketenteraan dan perdagangan yang maju dan makmur di antara kerajaan-kerajaan Tanah Melayu dengan kerajaan-kerajaan timur dan barat. Rujuk pada manuskrip dan persuratan warkah Melayu yang disimpan kemas di Arkib Negara Malaysia, Perpustakaan Negara, hatta di pusat-pusat simpanan manuskrip di pelbagai tempat di seluruh dunia, merujuk umur kesultanan Melayu yang lama dan cemerlang.

8. Kesultanan-kesultanan tanah air juga telah melalui pelbagai bentuk cabaran terhadap kuasa, kedaulatan, politik, perundangan dan sosio-budaya sehingga mencetuskan perang seperti dengan Portugis, Siam, Belanda, British dan Jepun, hatta perang saudara. Namun, cabaran-cabaran yang menggugah pelbagai sisi watan Tanah Melayu setakat ini masih belum mampu menghancurkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, walaupun pernah wujud era campur tangan kuasa British yang agak parah, sehingga memberi kesan pada wilayah dan urusan pentadbiran, perundangan dan agama di Tanah Melayu.

9. Bagaimanapun, satu agenda kuasa British dalam era campur tangan mereka di abad ke 18-20 yang telah memberi kesan yang buruk adalah menggalakkan anak-anak bangsawan Melayu mengambil sistem pendidikan Barat dan memencilkan sistem pendidikan FARDHU AIN dan KEARIFAN WATANIAH, sehingga akhirnya wujud beberapa kerat golongan pemerintah dan birokrasi yang lebih selesa dengan nilai-nilai, budaya dan peradaban Barat. Di tangan golongan inilah perkembangan ketamadunan dan peradaban Melayu Islam mulai terbantut, yang kelak akan memberikan kesan yang dahsyat dalam era perjuangan kemerdekaan seterusnya modenisasi Tanah Melayu.

10. Apabila British meninggalkan Tanah Melayu, antara dasar mereka adalah untuk tidak mengambil kembali golongan buruh dari warga asing seperti kaum India dan China yang mereka bawa ke Tanah Melayu untuk mengurus ekonomi British di sini. Maka dipaksakan kaum pendatang untuk diterima oleh Raja-Raja Melayu dan golongan pentadbir sebagai warga negara dengan jumlah yang besar, lalu dipersetujui hal ini DENGAN BERSYARAT, yang mana syarat ini dipahat kukuh dalam Perlembagaan Malaysia.

Apa yang lebih menggusarkan, adalah apabila kaum pendatang ini diberi hak yang sama sepertimana kaum pribumi Tanah Melayu, apabila mereka diizin untuk mengambil bahagian dalam sistem Pilihan Raya Umum yang mula diperkenalkan dalam akhir hayat kuasa British di Tanah Melayu. Dua pukulan sekali harung: Mendapat status warga negara, dan mendapat hak mengundi, bermulalah era tarik tali di antara kaum pribumi dengan kaum pendatang yang kini menjadi keluarga sebumbung, walau dengan adat, bahasa dan agama yang berbeza sama sekali.

11. Manakala sistem pembesar tradisional kesultanan Melayu yang berhasil dijarah habis oleh kuasa British dan menaikkan sistem Residen dan Penasihat Inggeris pada abad ke-19 Masihi, telah digantikan dengan sistem DEMOKRASI BERPARLIMEN ACUAN BARAT.

12. Berbanding dengan sistem pemilihan pembesar tradisional kesultanan Melayu yang mengambil panduan daripada hukum Fiqh Siyasi, termasuk adat Melayu bersendi kitabullah, kaedah pemilihan golongan pentadbir pasca Merdeka yang akan duduk dalam posisi eksekutif dan legislatif melalui sistem pilihan raya berteraskan demokrasi sekular mempunyai beberapa kelemahan yang kritikal, antaranya:

i. Kelayakan calon PRU yang terlalu longgar

ii. Kelayakan pengundi yang terlalu longgar, termasuk hak kaum lain untuk mengundi dengan syarat yang sama dengan warga pribumi asal

iii. Mengambil perspektif prinsip ‘kedaulatan rakyat’ menggantikan Kedaulatan Raja Melayu sebagai pemegang amanah Khalifah Allah

13. Melalui kelemahan daripada sistem ini, telah mewujudkan golongan pentadbir yang gagal membangunkan negara atas ASAS KETAUHIDAN DAN PERADABAN WATANIAH BERTERASKAN NILAI-NILAI ISLAM YANG HAKIKI.

14. Sistem yang bukan fitrah kepada watan Tanah Melayu ini, yang merupakan ‘kuda trojan’ tinggalan kuasa British, kini menjadi kanser yang memamah secara perlahan-lahan sehingga kritikal pada tahap merbahaya yang mampu mengancam kelangsungan agama dan budaya warga watan yang telah diwarisi dari para pejuang Tanah Melayu semenjak berabad-abad lamanya.

Ia telah mula menjelmakan bentuk seperti yang diimpikan oleh ejen-ejen Dajjal dalam semua negara Islam, khususnya yang pernah mewarisi sistem Beraja Islam sebagaimana yang tertera dalam Protokol Cendekiawan Zionisme Nombor Satu, terkait membangunkan negara Republik berteraskan sistem Politik Demokrasi Sekular:

“….Anda akan dapat melihat kemudiannya bahawa ini akan membantu kemenangan kita; Ia akan memberikan kita suatu kemungkinan untuk mendapatkan KAD INDUK (MASTER CARD), (iaitu) pembinasaan golongan bangsawan warisan (genealogical aristrocracy) yang merupakan satu-satunya golongan yang menjadi pertahanan semulajadi bangsa-bangsa dan negara-negara dari serangan kita. Dari pembinasaan kelas bangsawan warisan (institusi raja-raja) yang bersifat fitrah itu kita telah membina golongan ‘bangsawan meritrokrasi’ (ahli-ahli politik) yang diketuai oleh golongan ‘bangsawan berduit’ (kapitalis dan oligarki).”

15. Apakah kita sudah terlambat untuk memperbetulkan keadaan? Rasulullah SAW bersabda “Tanamlah benih pokok walaupun kamu tahu esok akan Kiamat“, kita ambil iktibar dari petunjuk Baginda. KEMBALI PADA ASAS; PERLEMBAGAAN MALAYSIA. Pemikiran warisan watan atau NARATIF MELAYU yang sebenar, iaitu yang berteraskan FAHAM KONTINUM; memahami ‘diri’ Perlembagaan Malaysia adalah “Islam” dan masih “Islam”. Hakikatnya ‘by default’, nilai-nilai Islam dalam kedaulatan watan Tanah Melayu telah tersemat kukuh sepertimana wujud dalam peruntukan-peruntukan perlembagaan. Maka hakikatnya ‘diri’ Perlembagaan Malaysia berteraskan kerangka watan adalah umpama seorang yang telah Muslim dan masih Muslim yang hidup membesar dalam suasana adat budaya di Alam Melayu.

16. Bagaimanapun disebabkan wujudnya kelemahan kaedah pemilihan pentadbir kerajaan Yang Di-Pertuan Agong, sebagai legasi era campur tangan British, yang menggunakan sistem demokrasi sekular barat, telah mewujudkan ramai watak-watak eksekutif dan legislatif yang kurang ‘wibawa’ (kurang arif, kurang warak, kurang bijak, kurang tegas) sebagai pemegang manah dan pelaksana dalam mengurus serta menyingkap perubahan sosio politik semasa, malahan wujud pula golongan “duri dalam daging” dan “gunting dalam lipatan” dari kalangan mereka, menyebabkan Perlembagaan kita semakin menjadi seperti seorang Muslim yang tidak soleh, lemah iman bahkan seolah-olah sudah kufur walau hakikatnya masih Muslim.

17. Ditambah kesan yang berpanjangan dari legasi “serangan pemikiran” pada generasi penyambung obor-obor anak-anak didik kuasa British, menjadi faktor kelemahan “nilai Islam” dalam pendiri kedaulatan watan, yang jelas terpamer dalam dasar, prinsip dan pembangunan sistem-sistem kenegaraan Malaysia seperti politik, pendidikan, kehakiman, ekonomi dan sosio budaya. Namun kita masih bernasib baik, kerana setakat ini, masih belum ada mana-mana pihakpun yang telah berjaya memadamkan ROH ISLAM dalam ‘diri’ Perlembagaan.

18. Justeru “Diri Perlembagaan” yang hakikatnya Muslim terpaksa menghadapi cabaran berikut:

i. Golongan yang seolah-olah menganggap Perlembagaan ini telah menjadi kafir. Mereka menggunakan politik untuk menukar atau meminda Perlembagaan Islam.

ii. Pengamal undang-undang sivil yang juga menganggap Perlembagaan ini sudah kafir, cuba menggantikan Perlembagaan kesultanan-kesultanan tradisi pra merdeka yang Islam.

iii. Pengamal undang-undang syariah yang berusaha menyediakan perundangan alternatif syariah yang dianggap pilihan memenuhi tuntutan Islam, walhal tiada keperluan jika prinsip Perlembagaan yang sebenar berteraskan kerangka watan mampu difahami dan dicermati.

19. Melangkah ke hadapan; “Diri Perlembagaan Malaysia” yang fitrahnya adalah Muslim atas takdir Allah, perlu dikembalikan identiti, JATI diri dan wibawanya sebagai Muslim yang sebenar. Hakikatnya, selama ini warga tanah air telah hidup di atas Kedaulatan Islam dalam kerangka wataniah warisan nenek moyang kita yang tidak pernah putus selepas kemerdekaan Malaysia dari campur tangan kuasa British tahun 1957. Akar dan dan tali asasnya wujud dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan. Apa yang diperlukan adalah menguatkan ROH AGAMA dan PRINSIP ISLAM yang sebenar, melalui pemilihan watak-watak PEMEGANG AMANAH DAN PELAKSANA yang lebih berkelayakan, berwibawa, berintegriti dan sempurna, in sya Allah Malaysia akan lebih makmur, sejahtera bahkan berpotensi menjadi model kedaulatan watan yang anggun di dunia.

20. Bagi mencapai hasrat ini, wujud keperluan terhadap dokongan, kerjasama dan penggemblengan tokoh-tokoh sejarah, reformis, ‘think tank’, aktivis, akademik, ahli agama, pengamal undang-undang serta pemegang taruh yang lain di negara ini.

Moga pertolongan Allah Taala bersama dalam ikhtiar ini, Amin ya Rabbal Alamin. 

Tun Suzana@ Suzana Hj Othman

Pengerusi

Pertubuhan Kesedaran Melayu & Islam
(KEMUDI)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts