MALAYSIA PERLU DEMOKRASI ACUAN SENDIRI, BUKAN MENIRU BARAT ‘BULAT-BULAT’

394
SHARES
2.3k
VIEWS

Baru-baru ini, saya ada menulis mengenai cadangan untuk meningkatkan kuasa Raja-Raja terutamanya Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan ‘loophole‘ sistem politik yang kita amalkan hari ini di mana jawatan Menteri dan Senator menjadi ‘barang dagangan’ yang boleh direbut-rebut dan ditawar-menawar antara Ahli Parlimen dalam membentuk sebuah kerajaan.

Saya telah mencadangkan agar YDP Agong diberikan kuasa yang lebih untuk melantik menteri-menteri dari kalangan bukan Ahli Parlimen. Kita sendiri dapat lihat hari ini apabila Menteri Kewangan dan Menteri Agama dilantik dari kalangan teknokrat dan pakar bidang, maka prestasinya cemerlang malah jauh sekali menjadi bahan politicking.

Maka, mereka dapat berkhidmat dengan sangat baik dan aman. Alangkah baiknya jawatan-jawatan menteri yang lain dilakukan sebegini rupa. Biarlah Ahli-ahli Parlimen menjadi penggubal undang-undang dan polisi-polisi negara melalui sistem Parlimen dan mereka juga dapat fokus untuk berkhidmat untuk rakyat yang diwakili masing-masing.

Oleh itu, tidaklah salah jika kita cuba pertimbangkan agar sistem politik negara mengamalkan sistem ‘semi-demokrasi’ mengikut acuan ketimuran dan watan Malaysia. Ini kerana memang jelas bahawa dengan mengikut demokrasi Barat secara bulat-bulat dan membuta tuli akan akhirnya merugikan negara kerana terbukti tidaklah sempurnapun.

Malah, sesuai juga dengan wujudnya sistem Raja Berpelembagaan yang terbukti menjadi pengimbang dan penjamin kepada kestabilan politik Malaysia.

Semalam, keluar kenyataan oleh Yang Dipertua Dewan Negara iaitu Tan Sri S.A. Vigneswaran mengenai gesaan beliau kepada kerajaan supaya menarik balik pindaan kontroversi 1993 yang disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pindaan tersebut dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan telah mengurangkan kuasa Raja Melayu maka kedaulatan Institusi Diraja harus dikembalikan. Malah, beliau menegaskan bahawa kuasa Raja-Raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik negara.

Saya sangat bersetuju dengan gesaan beliau ini kerana memang jelas kita telah saksikan bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri menjadi ‘penyelamat’ kepada kecamukan kemelut politik negara yang berlaku sebelum ini. Maka, seharusnya segala kuasa yang telah dihakis sebelum ini dikembalikan dan dipertingkatkan supaya peranan Raja-Raja dapat diperkasakan lagi. Kita tidak tahu apa kerosakan yang politikus-politikus akan lakukan pada masa akan datang yang dapat diselamatkan oleh kuasa Raja-Raja.

Diharapkan agar semua pihak terutamanya ahli-ahli akademik supaya memperhangatkan lagi untuk membincangkan mengenai hal ini. Jika benar ahli-ahli politik sayangkan negara, pasti mereka akan bersama kita semua dalam isu ini. Saya tidak menolak bahawa ada kemungkinan ada yang menentang kuat agenda mempertingkatkan kuasa Raja-Raja ini kerana lontaran idea (belum huraian lagi) saya mengenai hal inipun ada yang melaporkan kepada pihak polis kononnya saya cuba mencabar dan melemahkan sistem demokrasi negara.

Malaysia perlukan acuan sendiri. Bukan tiru bulat-bulat sistem Barat.

Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

23 Jun 2020

Rujukan: https://www.sinarharian.com.my/article/88934/BERITA/Nasional/Kembalikan-kuasa-Raja-Melayu-tarik-balik-Pindaan-1993

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts