MTEM menyanjung kejayaan kerajaan membendung wabak Covid-19 dengan pelbagai tindakan yang tegas, dan pendekatan yang betul – dari PKP pertama hingga ke PKPP. Ini diselangi dengan pelbagai pakej rangsangan ekonomi daripada Prihatin hingga ke PENJANA.
Kita melihat kerajaan amat fokus dengan usaha menangani krisis wabak ini dan tidak terkesan dengan suasana politik terkini. Kita menyambut baik segala langkah-langkah “relief and recover” dalam Prihatin dan PENJANA – yang amat membantu rakyat serta peniaga-peniaga SME untuk menempuh cabaran ekonomi pasca Covid-19 ini.
Namun MTEM melihat pada jangka masa panjang. Kami berpendapat masalah sistemik yang membantutkan dan pembangunan ekonomi Melayu dan Bumiputera masih wujud seperti biasa dan belum ada tindakan konkrit oleh kerajaan ini. Demi kelestarian negara, usaha agenda Bumiputera perlu terus diperjuangkan untuk pastikan kemakmuran dan pembangunan dikecapi bersama secara saksama dan adil.
MTEM ingin menyatakan kesan wabak ini, dan kelembapan ekonomi yang menyusul akan mengakibatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara yang kaya dan miskin bertambah lebih dahsyat lagi malah orang Melayu dan Bumiputera yang akan paling terkesan. Oleh itu kita menyarankan Kerajaaan Perikatan Nasional yang ditunjangi semua parti utama Melayu dan Bumiputera untuk berani bertindak segera supaya keadaan ini tidak bertambah teruk! MTEM menolak pendapat pihak yang mahu kerajaan tidak mengambil peranan utama dalam ekonomi. MTEM berpendirian institusi kerajaan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara apatahlagi negara yang masih membangun dan mempunyai kesenjangan ekonomi antara kaum dan sebagainya. Wabak Covid-19 telah menzahirkan, bagaimana pentingnya kerajaan menggunakan kuasa yang ada untuk melakukan suatu usaha untuk mencapai impak yang maksima.
Hari ini terbukti Kerajaan Malaysia diiktiraf dunia berjaya mengawal wabak ini dengan cukup membanggakan. Kerajaan hari ini juga wajar mengambil sikap dan strategi yang sama dalam pembangunan ekonomi negara, dengan pembaharuan yang bermakna.
Pada pandangan MTEM, antara pencapaian bermakna yang diusahakan kerajaan sebelum ini dan ingin diteruskan oleh kerajaan hari ini, sejak DEB dimulakan, adalah pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mengambil maklum realiti masalah ekonomi dalam negara yang telah banyak berubah sejak 1970-an menjadi lebih mencabar apabila dunia sedang bersedia menuju era Revolusi Industri 4.0.
Selepas lebih tahun 50 tahun, pasca DEB, Kedudukan ekonomi Bumiputera masih belum boleh dibanggakan atau menjadi seperti yang diharapkan. Mengikut data terkini, kebanyakan daripada Bumiputera umumnya adalah hanya pekerja dan pengguna. Justeru, mereka umumnya bukan majikan atau penjana pekerjaan; bukan juga producers (pembuat) dan bukan penjana peluang-peluang hiliran untuk vendor dan SME.
Pendek kata, Bumiputera tidak banyak menghasilkan nilai tambah pada ekonomi Malaysia kecuali dalam bidang pekerjaan. Tidak banyak nilai tambah dalam sektor perniagaan dan pelaburan. Dari segi pendapatan kasar (GOS) perniagaan dan pelaburan, Bumiputera pada tahun 2014 menyumbang hanya RM124 billion sahaja – yang mana RM43 billion adalah datang dari peniaga-peniaga informal dan kecil-kecilan saperti Mak Cik Kiah (contoh dalam PRIHATIN). Untuk perspektif dan perbandingan, masyarakat bukan Bumiputera dalam perniagaan dan pelaburan pada tahun sama (2014) menyumbang sebanyak RM397 billion. Lebih tiga kali ganda nilai yang dijana oleh Bumiputera!
Dari segi KDNK per kapita: Bumiputera hanya mencapai RM18,350 manakala bukan Bumiputera mencapai RM61,180 atau 3.4 kali ganda lebih besar (sumber: SAM 2014, DOSM).
Dari segi pemilikan ekuiti (DEB): Pada tahun 2015, pemilikan ekuiti Bumiputera sektor korporat hanya tinggal 16 peratus jatuh dari 23 peratus pada tahun 2011 (sumber: WKB 2030).
Hakikatnya selepas DEB, tidak ada lagi program yang cukup berkesan dengan kadar yang luar biasa. Kekayaan hanya kekal berlegar di kalangan yang terpilih sekian lama. Dengan demikian, kita menaruh harapan pada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai usaha permulaan untuk mengenal pasti, di mana kita dan ke mana kita ingin tuju. Matlamat untuk mengurangkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum, antara bandar dan luar bandar dan daerah jelas dinyatakan namun ia kekal indah di baca dalam buku buku sejarah kalau bukan di brosur-brosur kalau tiada tindakan susulan yang bermakna.
Dengan wujudnya kerajaan baru. Sudah tiba masanya untuk kerajaan bertindak segera untuk memastikan WKB 2030 berjaya atau ia akan menjadi jadi sebuah lagi kempen slogan kosong yang tidak bermakna.
Kenyataan ini secara jelas menyeru kita untuk bertindak segera. Jangan dibiarkan strategi pemulihan yang diusahakan MOF tidak mengambil maklum tentang kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera dan tindakan itu mesti selari dengan matlamat WKB 2030.
Kita menyarankan kerajaan untuk mengambil langkah radikal berlandaskan WKB 2030 kalau benar mahu mengubah ekonomi negara dan pecapaian ekonomi orang melayu dan Bumiputra. Dengan tertubuhnya kerajaan yang didominasi orang Melayu dan Bumiputera, kita tidak ada lagi alasan. Masanya telah tiba untuk kita buktikan. Fasa ‘reform & revitalise’ yang dicanangkan oleh Kementerian Kewangan perlu digerakkan dengan naratif WKB2030. Kita tidak boleh tidak mensia-siakan peluang untuk kita kurangkan jurang kekayaan dan penguasaan ekonomi Bumiputera dengan yang lain dan pada masa yang sama dapat memastikan adanya pembangunan ekonomi yang pesat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan daerah.
Pada hemat kami, beberapa pekara dalam dokumen WKB 2030 sedia ada perlu dikemaskini kerana sasaran ekonomi Bumiputera adalah tidak lengkap atau belum cukup. Jika tidak diperhalusi, strategi ekonomi ini akan menjadi tidak bermakna malah menjadi sebuah retorik apatah lagi jika ia sepatutnya menjadi strategi utama untuk kepentingan ekonomi Melayu dan Bumiputera.
WKB 2030 akan hanya tinggal wawasan dan angan-angan kosong jika tidak diterjemahkan menjadi pelan-pelan tindakan di dalam program-program pelaksanaan termasuk RMK-12 dan RMK-13 lengkap dengan KPI-KPI boleh ukur dan sub-KPI – yang akan diperuntukan sumber secukup-cukupnya; dan kemudian dipantau, diukur pencapaiannya tiap-tiap suku tahun; di-‘problem-escalate’, diubahsuai strategi dan kalau perlu peraturan dan undang-undang. Kerajaan Perikatan Nasional juga perlu mengambil peluang untuk mengubah, menambahbaik dasar-dasar dan memperhebatkan pembangunan ekonomi strategik termasuk penghasilan RMK12 supaya lebih memberi kesan jangka panjang dan juga untuk impak jangka pendek kepada kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera. Kalau tidak ada kesungguhan yang luar biasa dan mengambil sikap yang benar benar-benar peduli, agenda ekonomi Bumiputera akan jadi alat politik semata-mata untuk taruhan setiap pilihan raya sahaja.
Kita menuntut kerajaan untuk mempunyai semangat dan keberanian untuk benar-benar memperjuangkan agenda ekonomi Melayu dan Bumiputera seperti waktu zaman Tun Abdul Razak dahulu pasca 13 Mei. Kaedah mungkin berbeza tapi semangat dan impak mesti sama atau lebih baik. In sya Allah, kami yakin kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan mengecewakan!
Ahmad Yazid Othman
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)