APABILA WAKIL RAKYAT JAHIL ERTI KESOPANAN DAN KESUSILAAN

179
SHARES
576
VIEWS

‘Wakil Rakyat’ merupakan mereka yang dipilih sebagai wakil kepada sebilangan rakyat di kawasan setempat sama ada untuk mewakili rakyat ke Parlimen, Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri menerusi sistem pilihan raya yang diadakan 5 tahun sekali.
 
2. Apakah harapan rakyat terhadap para perwakilan rakyat ini? Secara umumnya terdapat tiga fungsi utama wakil rakyat. Pertamanya, sebagai mekanisme bagi menyampai pendapat, pandangan, dan kehendak rakyat termasuk keluhan dan tuntutannya sekali; Kedua, sebagai pembuat atau penggubal undang-undang termasuk menghapuskan mana-mana perkara dalam Perlembagaan itu yang didapati tidak releven lagi dan ketiga, sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas kuasa-kuasa eksekutif terutamanya dalam perkara korupsi seperti rasuah, nepotisme, kronisme dan salah guna kuasa.
 
3. Wakil rakyat itu bukan sahaja sebagai “wakil kepada rakyat” tapi ia juga adalah wakil kepada parti yang diwakilinya.
 
4. Sidang Dewan Rakyat hari ini disiarkan secara langsung kepada orang ramai daripada pelbagai peringkat, pelbagai mata yang melihatnya, sama ada dalam negara atau luar negara. Sama ada negara sahabat atau musuh.
 
5. Amat mendukacitakan apabila setiap hari bersidang, seringkali akhlak buruk dipaparkan bagai mengalahkan siamang di dalam hutan. Terjerit-jerit tanpa segan-silu seolah-olah menggambarkan beginilah akhlak seorang Wakil Rakyat! Sedar ataupun tidak, setiap patah perkataan yang dilafazkan di dalam Dewan diteliti oleh setiap orang. Setiap peringkat orang menjadi hakim untuk menilai seorang wakil rakyat yang baik atau buruk, menunaikan amanah rakyat atau sebaliknya dan bukannya sekadar ‘melalak’ di dalam Dewan tanpa ada sebarang perbahasan bermanfaat yang boleh diambil iktibar.
 
6. Di Dewan Rakyat, setiap perkataan yang dilafazkan di dalamnya dicatat untuk menjadi bahan bukti kenapa sesuatu undang-undang atau sesuatu keputusan itu dibuat. Sekaligus ia menjadi bahan sejarah untuk rujukan bagi generasi akan datang. Berbaloikah kita apabila dicatatkan suatu yang buruk mengenai diri kita di dalam buku besar itu?
 
7. Islam menyediakan panduan terbaik dalam berinteraksi sesama manusia sebagaimana tersebut dalam Al-Quran mengenai Adab Dalam Berbahas;
 
a. Untuk berbahas atau berbicara dengan orang bawahan, maka yang dipakai adalah ‘Qaulan Layyinan’ (kata-kata yang lemah-lembut) yang ada di dalam Surah Taha ayat 44: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.
 
b. Cara berbicara terakhir adalah ‘Qaulan Ma‘rufan’ yang ada dalam Surah Al-Baqarah ayat 235, An-Nisa ayat 5 dan 8, dan Al-Ahzab ayat 32. Qaulan Ma‘rufan adalah berbicara dengan baik dan tidak menyakiti ketika berhadapan dengan musuh. Qaulan Ma’rufan digunakan juga saat Nabi Musa AS bertemu dengan Firaun, perkataannya lembut dan tidak kasar.
 
8. Diharapkan wakil-wakil rakyat juga mampu mengamalkan empat adab berbicara dalam Islam. Sebab Islam melarang umatnya untuk berkata tidak baik dan merendahkan orang lain. Tidak menghina pihak yang diajak berbincang, apatah lagi merendahkan, mengejek dan mentertawakan dirinya. Biar dia berasa yakin dan selamat bahawa tujuan perbahasan bukan untuk mencari kemenangan dalam berhujah, sebaliknya mencari kebenaran yang wajar difahami demi maslahat ramai.

9. Matlamat perbincangan bukan menaikkan nama seseorang individu dan menjatuhkan nama yang lain. Sebaliknya, menyerlahkan kebenaran yang sudah sedia menjadi fitrah manusia. Kebenaran itu tetap disanjung meskipun terbit daripada mulut lawan.
 
10. Dalam perbahasan tidak perlu menimbulkan rasa kalah atau menang antara semua pihak yang terbabit. Sepatutnya, ia menimbulkan rasa manfaat yang tidak ternilai hasil perbincangan itu. Perlu untuk menjaga hati pihak lawan serta tidak mengejek pandangan mereka. Juga, saling bermaafan dan berdamai sehingga pihak lawan tidak berasa tercabar. Akhirnya, perlu memasang niat untuk mengakhiri perbahasan tanpa pergaduhan dan perbalahan.
 
11. Pimpinan harus menjadi contoh dan suri teladan terbaik kepada anak buah masing-masing sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun: “Orang ramai mengikut agama pemimpin-pemimpin mereka.
 
12. Bidalan ini menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya pemimpin, maka sudah tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dan orang bawahannya.
 
13. Ketahuilah, kalian akan dipersoalkan tanggungjawab ini di akhirat kelak. Maka, berkatalah yang baik-baik seperti firman Allah SWT: “…katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..” (Surah Al-Baqarah: 83).
 
Kredit: Muhamad Asri Hj Abdullah

Salinan dan ubah suai oleh Hj. Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts