PILIHAN-PILIHAN POLITIK BUAT BERSATU DAN TAN SRI MUHYIDDIN (TERMASUK KEMBALI SEMULA KEPADA PH)

2.1k
SHARES
12.6k
VIEWS

(Dan sebab Bersatu ingin masuk Muafakat Nasional)

Oleh Isham Jalil

Meneliti kenyataan Presiden UMNO sebentar tadi, UMNO tidak akan sertai PN untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

Namun setakat hari ini, UMNO masih boleh sokong kerajaan sedia ada, oleh itu kita tidak perlu membubarkan Parlimen hari ini juga.

Cuma kini UMNO (dan MN) boleh sokong dari luar dan bukan dari dalam PN, oleh itu UMNO dan MN akan ada lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini.

Ini adalah satu langkah politik yang bijak oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

……..

Ada orang bertanya saya: Bagaimana sekiranya Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin kembali bertaut bersama PH dengan PKR dan DAP dan membentuk kerajaan PH kembali?

Jawapan saya ialah mereka boleh berbuat demikian.

Namun jika ini berlaku Anwar tentunya ingin jadi Perdana Menteri, dan amatlah tidak cerdik jika Anwar beri laluan lagi kepada orang lain untuk jadi Perdana Menteri dalam PH terutama kepada orang yang mereka gelar pengkhianat sebelum ini.

Saya juga tidak rasa yang Anwar, PKR, PAN dan DAP akan boleh percaya lagi kepada Azmin setelah apa yang Azmin buat kepada mereka sebelum ini.

Jika Anwar dan PH ingin terima Azmin dan rakan-rakannya semula hanya kerana mereka gila kuasa untuk membentuk kerajaan PH semula, silakanlah.

Oleh itu kedudukan Tan Sri Muhyiddin dan orang-orang Bersatu dalam PH adalah tidak ketentuan jika mereka (Bersatu) memilih pilihan ini.

Dan jika mereka memilih langkah ini, rakyat juga akan marah dan mengecam mereka kerana mereka dilihat sebagai oportunis politik yang melompat-lompat kerana gila kuasa.

Dan perkara ini tidak akan berhenti dan malah ketidakstabilan politik akan terus berpanjangan.

Oleh itu, pilihan ini bukanlah pilihan yang bijak atau praktikal untuk Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu.

……..

Pilihan yang optimum dan paling kurang mudarat untuk Bersatu kini adalah untuk mereka berbaik-baik dengan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional.

Saya pasti Tan Sri Muhyiddin tahu akan hal ini kerana saya yakin beliau adalah seorang ahli politik yang amat berpengalaman dan bijak.

Sebab itu semalam Tan Sri Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk beliau dan partinya Bersatu masuk Muafakat Nasional.

Kepimpinan Muafakat Nasional akan pertimbangkan permohonan Bersatu ini.

Namun untuk permohonan ini diterima oleh Muafakat Nasional dan akar umbi UMNO dan PAS, pemimpin-pemimpin Bersatu yang tidak ada banyak akar umbi perlu menerima realiti ini dan tidak boleh mendesak pelbagai tuntutan seperti sebelum ini terutama dalam pembahagian kerusi.

Ini kerana, UMNO dan PAS mempunyai sokongan akar umbi dan jentera yang terbesar dalam politik Malaysia, terutama di kalangan orang-orang Melayu.

Sekiranya akar umbi dan penyokong-penyokong UMNO dan PAS tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi terutama kepada Bersatu, ini akan menjejaskan tahap sokongan kepada MN dalam pilihan raya.

Dan Bersatu kini tidak lagi boleh mengharapkan sokongan pengundi-pengundi Cina dan penyokong-penyokong PKR seperti yang mereka dapat semasa PRU-14 yang lepas.

Sebab itu pada hemat saya, pilihan yang terbaik buat Bersatu kini adalah untuk membubarkan parti mereka dan masuk UMNO atau PAS.

Mereka boleh bertanding dalam pilihan raya di bawah MN sekiranya akar umbi UMNO dan PAS menerima mereka.

Jika tidak, mereka perlu akur dengan kemahuan akar umbi dan tidak memaksa untuk bertanding juga yang akan membawa mudarat kepada Muafakat Nasional.

……..

Apa-apapun pilihan raya umum akan berlaku tidak lama lagi.

Dalam menghadapi situasi ekonomi negara dan dunia yang semakin teruk, kita tidak ada banyak pilihan lain.

Pilihan raya perlu dibuat segera agar kestabilan politik dapat dicapai supaya kerajaan yang dibentuk akan dapat fokus dan menumpukan lebih perhatian kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat dengan secepat mungkin.

ISHAM JALIL

30 Julai 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/772601030162090/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts