KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA MENGENAI BUDAYA LOMPAT PARTI

331
SHARES
1.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA, DATO DR IBRAHIM ALI

1 Ogos 2020

1. PUTRA mengusul dan mencadangkan pindaan kepada AKTA PILIHAN RAYA bagi mencegah budaya lompat tukar parti yang menjadi-jadi di mana memudaratkan beban kewangan negara serta boleh mengancam keselamatan rakyat dan kestabilan politik.

2. Dahulu bertukar parti tidak menjadi seburuk seperti hari ini hingga boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan. Saya pernah bertukar parti atas sebab-sebab peribadi dan disingkir tetapi secara individu yang langsung tidak mengugat kerajaan yang dipilih rakyat. Saya digelar ‘katak’ dan dicemuh manakala kini bukan lagi ‘lompat katak’ tetapi ‘lompat beruk’ mencari buah dari pokok ke pokok. Pelik tetapi benar.

3. Mereka yang pernah menghina saya lompat parti mutakhir ini bertukar parti atau melompat lebih dua tiga parti tanpa segan silu ibarat “mengata dulang paku serpih”. “Takhta Raja Katak” kini menjadi rebutan begitu hebat sekali.

4. Terkini LOMPAT PARTI BERLAKU SECARA BERJEMAAH yang meruntuhkan kerajaan yang dipilih rakyat melalui PRU. Ia berlaku di Semenanjung dan terbaru berlaku di Sabah.

5. Budaya LOMPAT BERJEMAAH ini amat bahaya kepada sistem amalan demokrasi kerana ia melibatkan perubahan kerajaan. Pasti majoriti rakyat tidak senang dengan perkembangan ini. Ia bukan setakat bertukar kerajaan tetapi DUN dan DEWAN RAKYAT boleh dibubar untuk Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum. Jika kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya belumpun cukup 3 tahun terpaksa dibubar atas mainan politik lompat, cuba bayangkan kos kewangan yang terlibat apabila PRN atau PRU diadakan secara tiba-tiba dan jarak PRN dan PRU dahulu belum matang. Ia pembaziran yang sia-sia dan boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat.

6. Bagi mengatasi budaya “gila lompat parti” yang menjadi-jadi malah secara berjemaah, PUTRA mengusul dan mencadangkan AKTA PILIHAN RAYA dipinda di mana setiap Wakil Rakyat yang dipilih melalui pilihan raya tidak boleh melompat atau berpindah parti. Jika ada mana-mana wakil rakyat bertukar parti dari parti asal mereka dipilih, maka secara automatik mereka terlucut hak sebagai wakil rakyat dan parti berkenaan boleh menamakan wakil baru tanpa diadakan Pilihan Raya Kecil. Peraturan ini bagi Wakil Rakyat yang sudah dipilih melalui PRU dan tidak terlibat dengan ahli-ahli biasa yang mahu bertukar parti. Inilah sahaja cara supaya tidak akan berlaku “beli-membeli” wakil rakyat setelah dipilih.

7. Perlu ditegaskan landskap politik negara sudah berubah dan tidak ada lagi parti dominan yang akan menang majoriti selesa. Maka perbezaan kecil atau ‘marginal’ akan menjuruskan kepada lobi-melobi atau beli-membeli wakil rakyat yang pasti menodai amalan demokrasi, membazir wang negara dan mewujudkan ketidaksetabilan politik negara serta boleh mengancam pembangunan ekonomi rakyat.

8. PUTRA menyeru semua pihak terutama NGO-NGO supaya menyokong cadangan PINDAAN AKTA PILIHAN RAYA bagi menamatkan budaya lompat parti yang boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Sebelum ini ada berbagai cadangan seperti mewujudkan ANTI LOMPAT PARTI dan sebagainya. Tetapi cadangan PUTRA ini bagi membatalkan keahlian mana-mana wakil rakyat secara automatik yang bertukar parti dan diganti dengan wakil parti yang menang adalah terbaik demi membendung berlakunya rasuah politik dan diharap mendapat sokongan semua pihak bagi menjamin kelangsungan sistem demokrasi yang bermaruah.

Terima kasih. 

PUTRA PERKASA NEGARA

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts