Semalam, posting saya ada sentuh sedikit mengenai KJ.
Akibatnya terdapat beberapa komen terhadap KJ. Elok saya perjelaskan.
Ini bukan nasihat saya kepada KJ. Saya tidak layak menasihati beliau. Kalau nasihatpun belum tentu dia dengar.
Sebab itu saya kata ini adalah kritikan. Maaf kerana tulis panjang sikit.
Tidak ada salahnya saya mengulas komen KJ terhadap Najib bila dia dihukum bersalah.
Jangan anggap ini sebagai perang sama sendiri atau perpecahan.
Ini politik terbuka. KJ suka politik terbuka. KJ kata ini cita rasa orang muda sekarang.
Tetapi jangan pula orang yang membuat komen awal dikatakan OK, manakala yang membalas komen dianggap pemecah belah.
Perbezaan pendapat OK, tetapi jangan berpecah sampai hilang kuasa. Perang Mahathir – Muhyiddin menyebabkan kerajaan PH tumbang.
Perang Anwar – Azmin juga menyebabkan PKR kehilangan kuasa dan jawatan Menteri. Anwar pula gagal lagi menjadi Perdana Menteri.
Ada tiga isu yang saya mahu sentuh terhadap komen KJ itu.
Pertama, walaupun KJ membuat kenyataan menyakitkan hati, Najib membalasnya dengan ucapan terima kasih tetapi sindiran tajam.
Beliau tidak menghentam KJ. Beliau mengucapkan tahniah kepada KJ kerana ‘bekerja kuat’ setiap hari sehingga tumbangnya kerajaan PH.
Sebab itu menurut Najib, KJ dapat ganjaran kerana dilantik Menteri oleh Muhyiddin.
Tetapi apakah KJ faham sindiran tajam dan pedas dari Najib itu.
Sejak BN kalah, KJ senyap menghilangkan diri. Dia jarang mengkritik pembohongan PH meggunakan Facebook dan Twitter beliau.
Kelibat KJ juga jarang nampak. Sedangkan Najib pusing seluruh negara menggunakan platform ‘Bossku’ untuk jumpa akar umbi.
KJ ada?
Kedua, KJ kata jangan taksub kepada individu. Kita kena move on.
Sebenarnya rakyat tidak taksub kepada Najib sebagai individu.
Mereka taksub kepada perjuangan dan jasanya. Beliau penunai janji. Mereka juga taksub kepada kesabaran dan kegigihannya.
Najib sudah tidak ada apa apa lagi untuk ditawarkan. Dia bukan Perdana Menteri. Dia bukan ada syarikat perniagaan yang besar.
Beliau banyak hutang. Hutang ikat jamin, hutang LHDN sampai RM1.69 bilion.
Ramai kawan-kawan rapat lari meninggalkannya. Tetapi rakyat biasa dan anak muda tidak lari. Mereka mengerumuni Najib diketika beliau sudah tidak ada apa-apa.
Itu petanda baik. Itu tanda mereka taksub kepada perjuangan Najib. Mereka ingat jasa Najib. Mereka melihat kebangkitan Najib setelah ‘dilanyak’ begitu teruk.
Cuba KJ bandingkan dengan diri sendiri. Setelah tidak lagi menjadi Menteri. Tidak ada jawatan dan tidak ada-apa yang ditawarkan adakah rakyat masih mengerumuni beliau?
Mereka suka KJ dahulu mungkin kerana taksub kepada penampilannya. Taksub kepada stokin merah yang dipakai bukan kerana perjuangannya. Populariti begitu cepat hilang.
Itu taksub individu namanya. Itu patut ditolak. Ia tidak menambah apa-apa kepada parti walaupun KJ jadi Ketua Pemuda dua penggal.
Ketiga, KJ kata jangan heret parti dengan keputusan mahkamah. Ini tuduhan kedua KJ kepada Najib.
Dahulu apabila Najib mula didakwa, KJ kata jangan jadikan UMNO sebagai perisai dan pembela.
Ia pantas dijawab oleh Najib bahawa beliau tidak akan menggunakan parti untuk membelanya. Beliau letak jawatan Presiden UMNO. Beliau ke mahkamah tanpa menganjurkan demonstrasi.
Kini KJ bangkitkan isu yang sama. Tahukah KJ, bila PH tumbang, ada usaha oleh Ketua-ketua Bahagian supaya kes Najib digugurkan? Najib menolak dan mahu terus melawan di mahkamah.
Justeru, taksub rakyat kepada Najib adalah taksub kepada perjuangannya. Itu melahirkan teman sejati. Teman dalam ‘perjuangan’.
Apakah KJ ada teman sejati seperti itu. Akan sampai masanya, bila tiada jawatan dan kuasa kita akan ditinggalkan keseorangan.
Sebab itu jangan jadi pemimpin populis. Parti tidak untung apa-apa.
Semoga Najib tabah dan Istiqamah. Kepada KJ, “Jangan hanya tahu erti mewarisi kepimpinan. tetapi tidak tahu erti mewarisi perjuangan”.
Maafkan saya. Selamat menyambut Hari Raya Korban.
Oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi