MUAFAKAT NASIONAL WAJAR DENGAR SUARA AKAR UMBI

670
SHARES
3.9k
VIEWS

1. Kepimpinan tertinggi parti wajar memperhalusi dan mempertimbangkan suara hati akar umbi sebelum memuktamadkan penyertaan BERSATU ke dalam Muafakat Nasional.

2. Daripada maklum balas ahli-ahli akar umbi, sekurang-kurangnya ada 5 faktor utama yang memperlihatkan fenomena kemarahan dan keresahan ahli akar umbi. Antaranya:

Pertama, Bersatu hari ini ditanggapi oleh ramai pihak sebagai parti yang sebahagian besarnya didokongi oleh pemimpin-pemimpin yang ditanggapi sebagai mereka yang mengkhianati perjuangan. 15 Ahli Parlimen Bersatu merupakan Ahli Parlimen UMNO yang melompat sedangkan mereka menang atas penat lelah jentera parti di akar umbi.

Kedua, penubuhan Bersatu sendiri pada peringkat awal sebelum PRU-14 adalah serpihan UMNO yang menjadi punca perpecahan orang Melayu sehingga runtuhnya Kerajaan BN buat pertama kali dalam sejarah.

Ketiga, kenyataan-kenyataan berupa penghinaan terhadap UMNO oleh kepimpinan tertinggi Bersatu sendiri begitu dalam kesannya yang amat mengguris perasaan ahli akar umbi.

Keempat, kedudukan Bersatu yang dilihat berpecah kepada beberapa kumpulan mencetuskan persepsi ramai bahawa parti Bersatu hanya mahu menyelamatkan kepimpinan tertentu berbanding agenda penyatuan ummah dan perjuangan membela rakyat.

Kelima, berbanding dengan pembentukan kerjasama dengan PAS yang melalui proses yang panjang termasuk lebih 700 siri-siri ceramah penyatuan ummah di peringkat akar umbi sehinggalah dibawa ke peringkat Perhimpunan Agong UMNO untuk dibahaskan dan dipersetujukan bersama, penyertaan Bersatu ini dilihat ahli akar umbi semacam suatu yang terdesak dan terburu-buru!

3. Justeru, pandangan-pandangan ini perlu diperhalusi dan didengari oleh kepimpinan parti sebelum membuat keputusan menerima Bersatu ke dalam Muafakat Nasional. Saya khuatir penyertaan PBBM tanpa sokongan penuh ahli-ahli akar umbi akan meruntuhkan matlamat asal yang telah terbina dan terukir hasil satu muafakat yang utuh.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

19 Ogos 2020

#MuafakatNasional
#NilaiKesetiaan
#BangkitKembali
#PemudaTerasKebangkitan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts