ANWAR DAKWA MAJORITI MELAYU ISLAM MENYOKONG, NURUL IZZAH INGATKAN DAP JANGAN LANGGAR SETIAKAWAN

17.9k
SHARES
57.6k
VIEWS

Apa maksud di sebalik kenyataan Nurul Izzah yang disiarkan di media Sinar Harian bertarikh 19 September, apabila mengingatkan Presiden DAP, Lim Guan Eng supaya jangan langgar perjanjian ‘setiakawan’? Tetapi dalam masa yang sama bapa beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim pula membuat pengumuman disiarkan secara langsung oleh TV Astro pada 23 September dengan mendakwa sudah mempunyai cukup kerusi majoriti sokongan daripada wakil rakyat yang terdiri daripada Melayu Islam. Tanpa perlu sokongan daripada Sarawak dan Sabah yang baru sahaja mengumumkan kemenangan di pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kemenangan majoriti 38 daripada 73 kerusi ADUN yang dipertandingkan pada 25 September, 2020.

Rujuk kenyataan Nurul Izzah di pautan:
https://www.sinarharian.com.my/article/101771/BERITA/Politik/Nurul-Izzah-ingatkan-Guan-Eng-jangan-langgar-semangat-setiakawan

2. Tidakkah dua kenyataan ini memberi maksud seolah-olah mahu memberitahu kepada rakyat bahawa akan berlaku pembentukan kerajaan baru yang terdiri daripada gabungan antara majoriti Melayu sebagaimana dakwaan Anwar dan dengan DAP yang akan turut bersama bersandarkan kepada teguran Nurul Izzah kepada Guan Eng, iaitu gabungan dari kumpulan majoriti yang menyokong Anwar Ibrahim dan DAP yang diminta supaya kekal setiakawan bersama PKR? Dan jika dikatakan gabungan bakal dibuat oleh Anwar tanpa DAP, maka bagaimana boleh anak sulungnya Nurul Izzah membuat kenyataan sedemikian kepada Lim Guan Eng?

3. Menyentuh sedikit mengenai kemenangan GRS di Sabah, senarionya mengimbas kembali catatan sejarah mengenai bagaimana para wakil rakyat era ini sudah biasa dengan budaya lompat-melompat dari satu parti ke parti yang lain. Sebagai contoh; sekalipun saat sedang meraikan kemenangan parti GRS yang bakal menerajui Sabah esok atau lusa, tetapi sejarah pernah mencatatkan dengan muslihat yang licik kelompok yang kalah itu (WARISAN) masih boleh menang semula apabila calon daripada pihak menang (GRS) lompat ke kelompok yang kalah itu.

Rujuk pengumuman kemenangan GRS di pautan:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/735196/langsung-pengundian-dan-keputusan-prn-sabah

4. Tidak mustahil jika dalam tempoh seminggu dua dari sekarang akan ada calon wakil rakyat yang menang (GRS), melompat keluar daripada kelompok yang menang dan memberi kemenangan kepada kelompok yang kalah. Keadaan seperti ini sudah menjadi budaya biasa di Sabah dan sudahpun merebak hingga ke Semenanjung. Malah ada yang mengatakan ia bermula di Sabah di era zaman 80-an lagi.

5. Khabarnya, ada juga yang tidak puas hati apabila mendapati parti yang kalah (WARISAN), tetapi menang dari segi bilangan pengundi secara keseluruhannya. Iaitu jika dikira secara adil bilangan penduduk yang keluar mengundi statistik menunjukkan WARISAN menang majoriti, pengundinya lebih ramai daripada GRS. Maknanya GRS menang kerusi bukannya menang dengan bilangan penduduk yang menyokong. Kes ini sama dengan apa yang dirasai oleh BN pada PRU-14 yang lalu. Memang ramai Melayu Islam pilih UMNO dan PAS, bukannya memilih PKR atau PPBM atau PAN tetapi yang menang menurut bilangan kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan majoriti daripada bilangan 222 kerusi Parlimen semuanya.

6. Beginilah sistem pemilihan pemimpin yang diamalkan di negara iaitu sistem demokrasi yang ternyata tidak adil dan gagal. Ia dikatakan gagal kerana mudah dimanipulasi, mudah disalahgunakan, dan tidak adil secara keseluruhannya. Kemenangan boleh diperolehi melalui manipulasi, tipu dan fitnah, rasuah dan kroni daripada ‘warlord‘ yang menguasai kawasan setempat. Kemenangan yang dikecapi oleh GRS tidak mustahil bertukar kepada WARISAN dalam masa seminggu dua akan datang. Tambah lagi calon wakil rakyat Sabah memang terkenal dengan ‘lompat-melompat’, bila-bila masa para ‘katak’ itu boleh melompat jika habuannya memuaskan dan tiada siapa boleh menghalang.

7. Terbaru dikatakan pula GRS adalah gabungan parti antara BN-PN-PBS yang tidak berdaftar menang 38 kerusi dan jumlah ini terlalu genting untuk dipertahankan apabila dibandingkan dengan WARISAN yang dari awal lagi telah mendaftar pembentukan gabungan parti-parti sesama mereka; Warisan 29, PKR 2 dan UPKO 1 menjadikan 32 kerusi dan jika 3 bebas bersama akan menjadikan jumlah 35, dan jumlah ini boleh bertambah pada bila-bila masa jika dedak yang disediakan memuaskan nafsu katak-katak bersiap sedia melompat.

8. Apapun kita tunggu dan lihat kesudahan drama politik negara yang tiada kesudahannya. Adakah kerana semangat patriotik sudah luntur dan semangat mengejar pangkat dan kedudukan menjadi keutamaan? Dan adakah kita sekarang sudah masuk ke era menjadi wakil rakyat itu adalah suatu perniagaan yang lumayan?

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts