LIMA SOALAN UNTUK MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN, TAN SRI ANNUAR MUSA

584
SHARES
3.4k
VIEWS

SURAT PEMBACA Apa yang digambarkan sebagai impak dan aura Tan Sri Annuar Musa ketika baru dilantik menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, tidak bertahan lama. 

Dalam tempoh dua bulan pertama Annuar kelihatan dapat memenangi hati orang ramai terutama warga kota Kuala Lumpur. Bagaimanapun selepas itu, imejnya susut hari demi hari lalu impak dan aura makin pudar.

Sebagai rakyat yang prihatin, saya mohon Tan Sri menjawab lima soalan ini;

1. Langkah mengatasi isu gelandangan seperti tidak berkesan walaupun Tan Sri menyatakan ia merupakan pendekatan baru dan terbaik. Jika Tan Sri berjalan kaki di sekitar Chow Kit, Jalan Raja Laut dan Jalan Raja Alang serta lorong-lorong belakang di kawasan itu, terdapat ramai gelandangan. Bukan itu sahaja, para penagih dadah turut berkeliaran. Apa sudah jadi dengan janji Tan Sri sebelum ini untuk membersihkan Kuala Lumpur daripada masalah gelandangan?

2. Ketika era Tan Sri Zulhasnan Rafiq dan Dato Seri Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, agenda untuk memperkasakan penduduk anak jati Kuala Lumpur begitu ketara. Ini meliputi pengambilan untuk mengisi jawatan di pelbagai peringkat termasuk Ahli Lembaga agensi-agensi di bawahnya dan peluang pekerjaan di DBKL. Begitu juga dengan kontrak-kontrak kecil dan peluang berniaga. Orang tempatan juga ramai yang diberi anugerah darjah kebesaran sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Kini di bawah Tan Sri, apakah sudah tiada lagi keutamaan kepada anak jati Kuala Lumpur? Walaupun warga kota yang lahir di Kuala Lumpur menyedari hakikat bahawa ibu negara adalah milik semua penduduk termasuk perantau, setidak-tidaknya 20 peratus peluang wajar diberikan kepada anak tempatan. Kuota itu agak rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menetapkan kouta (piagam tidak bertulis) iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus anak negeri bagi pelantikan dan pengisian jawatan di agensi-agensinya. Sekiranya benar anak-anak jati Kuala Lumpur makin terpinggir dan tiada lagi keistimewaan walaupun mempunyai merit, ia begitu menyedihkan.

3. Setakat ini belum ada dasar dan perancangan berhubung perumahan awam di ibu negara. Mana agenda untuk menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat terutama miskin bandar? Berapa lama lagi Tan Sri mahu menunggu untuk membentangkan perancangan kementerian? Kita berharap Tan Sri tidak sibuk melayan permintaan pemaju-pemaju swasta untuk menambah plot ratio kondominium dan menambah kediaman mewah di Kuala Lumpur yng sudahpun menjadi hutan batu.

Utamakanlah agenda membantu rakyat kerana itu adalah janji kerajaan. Adakah nanti akan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah terutama Bumiputera akan terhumban di pinggir Kuala Lumpur disebabkan kegagalan kerajaan menanganinya? Dengan harga rumah terus melambung, kerajaan khususnya kementerian perlu campur tangan melalui polisi yang terbaik.

4. Antara yang dinanti-nantikan warga kota adalah pelan induk pembangunan Kampung Baru. Sebelum ini, sejak April lagi Tan Sri membayangkan bahawa pelan itu dijangka siap sedikit masa lagi tetapi setakat ini tiada tanda-tanda ia akan diumumkan. Sedangkan isu tersebut sudah lama tertangguh sehingga kerajaan berdepan kompleksiti dan cabaran besar. Kementerian Wilayah Persekutuan perlu pro aktif dan mengambil formula-formula yang lebih berkesan. Apakah sebenarnya kekangan Tan Sri?

5. Apa sudah jadi dengan kualiti jalan di ibu negara Kuala Lumpur? Banyak jalan tidak diselenggara dengan baik. Permukaan yang rosak, berlubang dan penutup lubang jalan yang tidak rata adalah pemandangan biasa di Kuala Lumpur. Setakat ini Tan Sri tidak memberikan perhatian kepada masalah ini yang bukan sahaja mencemarkan imej ibu negara malah memberikan tekanan kepada para pengguna jalan raya termasuk dari segi keselamatan.

Adakah Tan Sri gagal melihat semua isu ini sebagai sesuatu yang amat serius?

Oleh Johari Bakar

Setiawangsa

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts