UMNO PERLU UBAH STRATEGI DAN BINA NARATIF POLITIK BAHARU – AB JALIL BACKER

363
SHARES
1.2k
VIEWS

Saya ahli UMNO tapi bukan berada dalam mana-mana hierarki atau kepentingan strategik UMNO. Justeru tulisan saya tidak terikat dengan kepentingan UMNO atau menjadi lidah UMNO seperti mana yang disalah tanggap oleh sebahagian orang.

Sebagai penulis saya memberi pendapat berdasarkan pemahaman dan pengetahuan saya, tidak semestinya pro-UMNO.

Dalam konteks kerajaan Perikatan Nasional beberapa kali saya tegaskan jika UMNO tidak boleh bersetuju dengan Muhyiddin, kita mesti beritahu secara jelas apa yang tidak dipersetujui dan buat keputusan keluar kerajaan.

Ini kerana kelangsungan politik UMNO bergantung kepada 15 juta pengundi yang hampir 65 peratus adalah non-partisan – yakni mereka mempunyai pendapat yang berubah-ubah.

Tidak boleh kerana ada suara mendesak kita keluar PN maka kita membuat ugut untuk keluar. Alasan mesti ada dan mencukupi untuk memberi kesedaran kepada rakyat realiti sebenar.

Ada yang marah-marah sebab kita tidak dapat jawatan Ketua Menteri Sabah. Namun seperti yang didedahkan oleh SUA BN bahawa jawatan tersebut ditawarkan kepada kita sebelum PRN tetapi tidak diambil kerana kononnya kita ada strategi lain.

Secara peribadi saya seorang yang nostalgik kepada sejarah dan berharap BN akan kembali kuat. Saya tidak pernah ‘favour‘ kepada penubuhan PN mahupun penubuhan rasmi Muafakat Nasional.

Ini kerana kita berebut kerusi yang sama. Apabila mempunyai banyak parti Melayu, orang Melayu akan rugi. Apabila mempunyai satu sahaja parti Melayu, orang Melayu akan rugi juga kerana pemimpin saling menjaga kepentingan masing-masing.

Justeru orang Melayu memerlukan dua parti besar UMNO dan PAS untuk menjadi pasukan semak dan imbang. Penubuhan MN secara rasmi hanya menutup ruang semak dan imbang kalangan orang Melayu.

MN seharusnya menjadi ikatan longgar buat sementara waktu bagi menjaga kepentingan Melayu dan Islam tidak dihakis oleh orang lain.

Secara peribadi saya berharap PRU akan datang BN bertanding semua kerusi Parlimen. Namun untuk bertanding semua kerusi Parlimen, BN memerlukan:

(i). Barisan kepimpinan yang pelbagai latar belakang dan, diterima majoriti rakyat

(ii). Mempunyai naratif baharu dalam membangunkan negara

(iii). Mempunyai kemampuan kewangan menjalankan kempen PRU

Kita tidak ada ketiga-tiga elemen ini secara jitu dan mantap kerana:

1. Pemimpin dan penyokong masing-masing merasakan boss mereka sahaja hebat justeru tidak mahu bertolak ansur dan bekerjasama secara ikhlas.

2. UMNO lebih mementingkan pandangan dan hasrat dalam parti berbanding kehendak rakyat.

3. Kewangan kita memang tidak sekuat dulu. Jika BN tidak dilihat mampu menang, tiada orang akan memberi sumbangan dana politik.

Inilah juga antara punca BN Sabah gagal mempamerkan prestasi memuaskan dalam PRN lepas.

Kita tidak lagi berpengaruh dalam kalangan majoriti pengundi. Atas sebab itu, terpaksalah kita bekerjasama dengan terlalu banyak pihak yang merebut kerusi yang sama.

PRN Sabah sepatutnya membuka mata semua pihak dalam UMNO bahawa suara-suara radikal dalam UMNO semata-mata tidak akan menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya.

Untuk menang, BN dan UMNO memerlukan strategi yang luar dari keadaan sedia ada; dan naratif politik yang meyakinkan rakyat.

Strategi

Benar Bersatu sedang membunuh UMNO. Oleh kerana PAS telah cenderung kepada Bersatu, apa usaha pemimpin menguatkan parti?

Kita ada banyak Menteri tapi apakah mereka menggunakan kedudukan mereka untuk mengukuhkan parti atau mengukuhkan diri?

Misalnya mengapa PN boleh menarik ADUN bebas Sabah menyertai mereka, namun kita tidak berbuat apa-apa untuk mengukuhkan parti sedangkan kita pun ada kuasa dan jawatan.

Dalam PRN Sabah baharu ini, berapa Menteri yang ditugaskan secara khusus menjaga DUN-DUN BN yang kelabu? Dan apa pencapaian mereka?

Atau tiada koordinasi langsung dan semua hadir sekadar memenuhi acara sahaja?

Satu-satunya pihak yang yakin BN akan menang 25-27 kerusi dalam PRN Sabah lepas ialah hierarki UMNO. Orang di luar hierarki UMNO melihat dengan hairan keyakinan UMNO itu.

Seminggu sebelum pengundian saya bercakap dengan dua pihak luar dari hierarki UMNO. Seorang pemimpin politik berpengalaman di Sabah menganggar BN akan menang maksimum 18-20 kerusi sahaja.

Satu pasukan penyelidik luar yang pro-UMNO pula berpendapat BN hanya akan menang antara 14-15 kerusi sahaja.

Apabila keputusan keluar, jelas kaji selidik yang dibuat oleh UMNO bertaraf ‘tepi longkang’ sahaja – sama seperti apa yang berlaku dalam PRU lepas.

Jadi jika kita mahu jadi kuat, parti harus berani membuat perubahan strategi dan membina naratif politik yang baharu.

Jika tidak menang sorak memaki hamun sesama kawan-kawan dalam media sosial sahaja lah.

Oleh Ab Jalil Backer

Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan; https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10224078776897573&id=1244194023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts