WAJARKAH MUHYIDDIN CADANGKAN DARURAT?

584
SHARES
1.9k
VIEWS

1. Seluruh rakyat ternanti-nanti sejak semalam namun sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang pengumuman yang dibuat mengenai situasi ‘darurat’ negara. 

2. Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong tentunya memerlukan masa meneliti dan memperhalusi sedalam-dalamnya cadangan darurat tersebut yang baru sahaja dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada baginda semalam.

3. Kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara memaklumkan mengenai perundingan yang akan diadakan oleh Baginda Tuanku Al-Sultan Abdullah bersama Majlis Raja-raja Melayu dalam waktu terdekat dan dikhabarkan pada hari Ahad ini. 

4. Dalam masa yang sama baginda memohon seluruh rakyat agar bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini sementara menunggu keputusan Majlis Raja-raja Melayu mengenai cadangan tersebut.

5. Walaupun cadangan ‘darurat’ Muhyiddin tersebut bukan dalam konteks pelaksanaan ‘martial law‘ dan lebih kepada pelaksanaan ekonomi, pentadbiran dan kesihatan, namun apabila mendengar sahaja mengenai ‘darurat’, rakyat mula panik dan tertanya-tanya apakah tujuan dan justifikasi ia akan dilakukan?

5.1. PERTAMA, adakah situasi Covid-19 terlampau teruk dan mendesak di sebalik kenyataan kerajaan yang kerap mengatakan ia terkawal selama ini atas alasan peningkatan mendadak berlaku di penjara dan pusat tahanan, bukannya dalam kalangan masyarakat umum? 

5.2. KEDUA, di sebalik berlakunya peningkatan dalam masyarakat dan pertambahan kluster di beberapa negeri terutamanya Selangor, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dilihat masih mampu membendung wabak tersebut dibantu oleh kelengkapan yang semakin baik dan kesedaran yang semakin meningkat, berbanding gelombang pertama dahulu. 

5.3. KETIGA, jika benar darurat diperlukan, kenapakah tidak dibuat secara berperingkat, seperti pelaksanaan PKP pada gelombang pertama terlebih dahulu? Di mana ia terbukti berjaya membendung kluster terbesar dalam waktu yang singkat tanpa memerlukan kepada darurat.

5.4. KEEMPAT, banyak lagi negeri seperti Pahang, Sarawak, Johor, Terengganu dan beberapa negeri lain yang mempunyai kadar peningkatan yang rendah setiap hari serta tidak memerlukan kepada PKPB apatah lagi darurat seluruh negara. 

6. Ini jelas menunjukkan trend yang masih terkawal dan sesetengah tempat sahaja memerlukan kepada PKPB contohnya negeri Selangor dan Sabah. 

7. Jika keadaan terkawal seperti yang selalu dimaklumkan oleh kerajaan, kenapakah kini negara tiba-tiba memerlukan kepada darurat? Walaupun tumpuannya hanya kepada kesihatan, politik ataupun pentadbiran namun tetap menimbulkan persoalan kenapa ia dicadangkan di sebalik semua kaedah pengawalan berkesan yang sedang dilaksanakan? Atau adakah kerajaan selama ini menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum?

8. Atau tumpuan sebenar darurat adalah bagi menghalang Sidang Parlimen dilaksanakan, agar tiada usul undi tidak percaya dilakukan pada 2 November serta Bajet 2021 pada 6 November ini tidak dapat dibentangkan.

9. Justeru jika ini tumpuannya maka cadangan darurat ini hanya akan membuatkan Perdana Menteri dikecam kerana menggunakan istilah tersebut sebagai ‘benteng’ dirinya sendiri yang khuatir pada 2 dan 6 November ini akan menjadi penentuan hayat politiknya. 

10. Apa yang pasti, apa sahaja cadangan dan apa jua keputusan YDP Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu selepas ini, jelas menunjukkan Muhyiddin sendiri tidak yakin mempunyai sokongan yang cukup. ‘Langkah Darurat’ ini mungkin satu-satunya jalan yang difikirkan mampu memanjangkan sedikit hayat politiknya selaku Perdana Menteri. 

Wallahualam. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts