KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PUTRA MENGENAI ISU DARURAT

374
SHARES
2.2k
VIEWS

1. Kabinet membuat keputusan agar DYMM YDP Agong memberi perkenan agar diisytiharkan apa yang dinamakan DARURAT EKONOMI kerana Covid-19 dan mustahil untuk diadakan PRU jika Dewan Rakyat dibubarkan.

2. Memang semua mengakui negara dalam keadaan cemas akibat Covid-19 dan kepimpinan negara yang tidak stabil.

3. Persoalannya bagaimana untuk atasi kemelut dan krisis ini? 

4. Setakat mengisytiharkan DARURAT EKONOMI membawa makna dan tuduhan ia strategi untuk elak undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan Belanjawaan 2021 akan gagal mendapat kelulusan di Dewan Rakyat. Ini sudah terang lagi bersuluh. Ia umpama “MEMBAWA LARI TIANG GOL BOLASEPAK”.

Cara untuk terus kekal berkuasa dan semua orang nampak termasuk yang mata rabun.

5. Kenapa tidak dipersembahkan kepada DYMM YDP Agong untuk isytiharkan darurat penuh saperti 13 Mei 1969 dan meletakkan negara di bawah MAGERAN selama 2 tahun. Negara dan rakyat semakin cemas adakah perlu menunggu huru-hara terlebih dahulu baru perlu isytihar darurat sepenuhnya? Bukankah MENCEGAH atau ‘prevention‘ lebih baik dari mengubatinya apabila sudah dirasai mula timbul berbagai masalah yang sukar diatasi. Apabila darurat penuh diisytiharkan maka terserah kepada DYMM YDP Agong melantik siapa yang sesuai menjadi Pengarah MAGERAN. Banyak masalah negara boleh diselesaikan di bawah MAGERAN dan kembali kepada proses demokrasi mengikut masa yang ditetapkan.

6. Namun pilihan yang TERBAIK juga sebagai jalan penyelesaian ialah DEWAN RAKYAT BERSIDANG SEGERA DAN BIAR AHLI DEWAN RAKYAT MENENTUKAN SOKONGAN KEPADA KEPIMPINAN NEGARA atau PERDANA MENTERI SEKARANG. Jika gagal mendapat sokongan MAJORITI, maka terserah kepada DYMM YDP Agong. Perdana Menteri boleh cadang bubar Parlimen tetapi ia terpulang kepada budi bicara baginda untuk bubar atau tidak.

DYMM YDP Agong juga boleh memulakan proses segera mencari calon Perdana Menteri yang baru, iaitu yang mendapat sokongan majoriti. Atau DYMM YDP Agong menyerah terus kepada Dewan Rakyat untuk tentukan calon yang mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan mereka boleh mencadangkan sesiapa sahaja calon Perdana Menteri sebelum proses undi dimulakan.

Berlapang dadalah semua. Utamakan kepentingan rakyat dan negara. Prinsip telus dan berintegriti sahaja yang dapat memuaskan hati semua pihak.

SELAMATKAN RAKYAT DAN NEGARA. 

DAULAT TUANKU. 

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden Parti PUTRA

24 Oktober 2020

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts