APABILA TIADA KEJUJURAN POLITIK

533
SHARES
3.1k
VIEWS

Oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

Ramai yang bertanya kenapa UMNO mengadakan Mesyuarat MKT dua kali dalam masa seminggu.

Ia berkaitan ‘kejujuran politik’. Bila tiada kejujuran, maka mesyuarat segera wajar dibuat demi mengelak syak wasangka, sabotaj dan politiking.

Sebab itu apabila YDP Agung menasihatkan semua pihak hentikan politiking. Tuanku tahu nasihat darurat berkaitan dengan kejujuran politik bukan isu COVID-19 semata-mata.

Ada pihak mempersoalkan kenyataan terbaru Muhyiddin kerana baru sekarang cuba merasionalkan kenapa darurat perlu. Adakah perlu darurat untuk mengelak PRN Sarawak dan PRK Batu Sapi?

Kalau ada ‘kejujuran politik’ sudah tentu menteri-menteri UMNO tidak dibelasah dalam “Zoom Cabinet Meeting” Rabu lalu.

UMNO jadi sasaran kerana Menteri UMNO menyokong keputusan Majlis Raja-raja yang menolak perisytiharan darurat. Kononnya Menteri UMNO tidak mengamalkan ‘collective responsibility‘. 

Itu sebabnya Biro Politik UMNO cadangkan terma baru dan hitam putih. UMNO mahu hubungan dalam Kerajaan PN berasaskan konsensus parti dan kejujuran politik.

Pengalaman pahit di Sabah banyak mengajar. Apabila tiada kejujuran politik maka politiking berterusan.

Isu jawatan Timbalan Perdana Menteri menjadi sukar kerana tiadanya kejujuran politik. UMNO memang wajar diberi peranan jawatan TPM. UMNO tidak perlu apologetik dan takut dituduh gila kuasa.

Dalam berniaga mesti ada profit sharing. Apatah lagi jika ada pihak yang menyediakan modal yang lebih besar. Mana adilnya kalau keuntungan dibahagi 80-20.

Esok Parlimen bermula. Usul undi tidak percaya tidak berbangkit. Fokus sekarang ialah Bajet 2021. Dalam perutusan khasnya semalam Muhyiddin merayu ketepikan perbezaan politik dan utamakan rakyat.

Muhyiddin tidak perlu berdolak-dalik. Kalau ada ‘kejujuran politik’ pasti ia akan diluluskan. Bola di tangan Muhyiddin.

Justeru menjadi tanggungjawab Muhyiddin menerima pandangan semua pihak termasuk pembangkang. Jika perlu dipinda kena pinda. Ia menuntut kejujuran politik.

Antara tuntutan popular rakyat ialah sambung balik moratorium automatik dan pengeluaran daripada akaun 1 KWSP. Pembangkang pula menuntut dilaksanakan “Confidence and Supply Agreement“. 

Jika tidak dilayan, politiking berterusan. Kerajaan 113 terus tidak stabil. Rakyat menjadi mangsa. Puncanya, tiada kejujuran politik.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts