PROVOKASI MELAMPAU BAKAL MENGUNDANG DARURAT?

4.1k
SHARES
13.1k
VIEWS

Semalam tersiar satu artikel oleh portal utamadaily.com berjudul “Pemimpin BERSATU Tetap Anggap Darurat Jalan Terbaik Buat Masa Ini”. Antara lain ia menyebut betapa perlunya ‘darurat’ bagi menangani masalah Covid-19 ini jika tidak orang ramai tetap akan berkumpul tanpa mempedulikan bahaya Covid-19 ini yang boleh merebak dengan pantas.

Dengan penambahan bilangan yang positif, dan sikap ahli politik yang semakin teruk yang lebih mengutamakan kedudukan daripada keselamatan dan kebajikan rakyat, maka tidak mustahil ‘darurat’ perlu dicadangkan kembali.

2. Sebelum dipanjangkan, elok terlebih dahulu dijelaskan bahawa penulisan ini tidak sesekali mempersoalkan keputusan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, sebaliknya menyokong penuh tanpa sedikit keraguanpun pada Surat Rasmi Istana Negara bertarikh 25 Oktober 2020. Jauh sekali mahu menderhaka terhadap KeBawah Duli Yang Maha Mulia YDP Agong dan Raja-raja Melayu yang lain. Kami rakyat akur dan patuh atas titah perintah Tuanku sekalian.

3. Namun, timbul kebimbangan apabila setelah tersiarnya surat rasmi dari Istana Negara itu, didapati beberapa politikus gopoh membuat kenyataan-kenyataan yang jelas melanggar titah perintah YDP Agong, kebarangkalian tokoh itu jahil atau mungkin juga degil dan sengaja mahu menzahirkan mereka tidak mahu YDP Agong campur tangan dalam urusan politik dan pentadbiran negara. Antara yang paling awal membuat kenyataan melanggar titah perintah YDP Agong datangnya daripada pemimpin sebuah parti yang tidak sampai 24 jam telah mendesak supaya Perdana Menteri (PM) dilucutkan jawatan dan melantik tokoh yang mendakwa mempunyai bilangan majoriti untuk menjadi PM.

Rujuk: https://utamadaily.com/panas-pemimpin-bersatu-tetap-anggap-darurat-jalan-terbaik-buat-masa-ini/

4. Namun, desas-desus media melaporkan beliau hanya ada selembaran kertas yang mencatat bilangan Members of Parlimen (MP) tanpa salinan akuan hitam putih dengan tandatangan daripada Ahli Parlimen yang menyokong. Namun, selang beberapa jam kemudian status di FB beliau itu telah dikeluarkan dan membuat ‘u-turn’ menyokong keputusan YDP Agong dengan pujian pula.

5. Menyorot kembali watikah titah daripada Istana Negara ternyata terdapat beberapa perkara penting yang ditekankan oleh YDP Agong bagi kelangsungan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar berjalan lancar supaya tercapai matlamat kerajaan yang mahu menangani wabak Covid-19 dengan seberapa segera dan seterusnya memulihkan ekonomi negara. Kita sedia maklum, tanpa darurat, berkemungkinan pelbagai akibat boleh berlaku, antaranya mungkin pihak pembangkang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

6. Di bawah sedikit pandangan peribadi dalam meneliti watikah dari Istana Negara yang harus diambil perhatian dengan lebih serius:

a) Pada perenggan keempat: “Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.”

Kalam baginda di atas ini jelas berupa suatu pujian daripada Tuanku YDP Agong kepada para petugas khas menangani wabak Covid 19 dan jelas telah berjaya dengan cemerlang sayugia Datuk Dr. Norhisham dianugerahkan pingat dengan mendapat gelaran Tan Sri atas kecemerlangan beliau yang tidak pernah kenal erti penat lelah dan tiada siapa boleh menafikan kejayaan ini.

b) Perenggan kelima menyatakan: “Al-Sultan Abdullah berpendapat TIADA KEPERLUAN BUAT MASA INI untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.”

Kenyataan sopan lagi berlapik ini mempunyai maksud tersirat namun mudah difahami iaitu BAGINDA MERASAKAN DI SAAT DAN KETIKA INI CADANGAN YANG DIKEMUKAKAN, NEGARA BELUM BENAR-BENAR MEMERLUKAN DARURAT. Dan tidak mustahil jika selepas belanjawan, jika wabak lebih mengancam dan jika YDP Agong mahukan supaya segera wabak ini terkawal, maka baginda dengan budi bicaranya sekali lagi boleh memberi perkenan darurat dilaksanakan.

7. Kenyataan ini tepat sekali dan jika diimbas kembali sorotan peristiwa Darurat 69. Ia bermula pada 10 Mei iaitu hari keputusan PRU diumumkan dengan kemenangan berpihak kepada parti pembangkang terdiri daripada DAP, Gerakan dan PPP. Kemenangan bermakna ini diraikan dengan beramai-ramai para penyokong turun berarak pada keesokan hari 11 Mei 1969, berterusan hingga ke 12 Mei 1969.

Tindakan provokasi melampau oleh parti yang menang telah mendorong Datuk Harun bersama orang-orang Melayu berkumpul dan berhimpun di rumah beliau di Kampung Baru. Berita berhimpunnya orang Melayu itu telah membuatkan timbul perasaan saling tidak berpuas hati hingga berlaku rusuhan hingga membawa kepada berbunuhan, kerosakan dan kebakaran di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Lalu tepat jam 7.00 hari Selasa malam Rabu, 13 Mei 1969, Perdana Menteri mengisytiharkan DARURAT di seluruh negara.

c) Pada perenggan keenam – berbentuk teguran tegas kepada ahli politik: “Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.”

Kalam baginda di perenggan keenam ini adalah berupa peringatan baginda kepada semua politikus agar berhenti serta-merta daripada bermain ‘game – politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan negara. Jelas menunjukkan baginda dukacita dengan keadaan mainan politik yang tidak lagi ambil peduli soal maruah dan akhlak.

d) Perenggan ketujuh adalah penegasan kepada kenyataan keenam iaitu: “Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu-gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.”

Di perenggan ini jelas menunjukkan penekanan YDPA kepada ahli politik supaya lebih bertanggungjawab bekerja demi untuk kesejahteraan negara bukannya bertindak membuat sesuatu yang boleh mengganggu-gugat amanah yang baginda berikan kepada kerajaan yang ada ini.

e) Pada perenggan kelapan adalah matlamat yang harus dicapai, kalam baginda menyebut: “Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di Sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.”

8. Mungkin bagi sesetengah pihak perenggan lapan ini adalah gimik untuk mengelak daripada PRK dan PRN Sarawak, namun yang jelas baginda konsisten mahukan supaya isu pandemik wabak Covid-19 ini menjadi agenda utama negara dan juga pemulihan ekonomi. Oleh itu, sayugianya ahli politik harus memikirkan tentang perkara yang menjadi kebimbangan Tuanku YDP Agong.

9. Tidak dapat tidak, rakyat terutamanya bagi pimpinan parti politik, sudah tiada pilihan lain melainkan menggembeleng fikiran dan tenaga bagaimana mahu segera menangani isu Covid-19 dengan perbelanjaannya dan yang paling penting sekali memulihkan segera masalah ekonomi negara. Semoga semua pihak baik kerajaan mahu pun pembangkang tanpa mengira bangsa dan agama lebih memberi tumpuan kepada dua perkara ini.

10. Justeru, tindakan, perbuatan atau provokasi dari mana-mana pihak terutamanya politikus, jika jelas ada percubaan mahu menghalang kelancaran usaha kerajaan mahu mengatasi masalah ini, harus dikenakan tindakan tatatertib kerana kedegilan dan kejahilan untuk melihat suasana dan keadaan yang semakin hari semakin parah yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan sedia ada.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts