Kerajaan menyediakan peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam oleh Menteri Kewangan Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bagi rakyat yang mengikut pembentangan tersebut, tentunya antara bantuan dan inisiatif yang menarik perhatian dan menjadi tumpuan ialah mengenai pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium serta Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang menggantikan BSH.
Bagi mahasiswa pula tentulah bantuan dan inisiatif kepada mereka menjadi keutamaan namun sedikit dikesalkan apabila pada pembentangan belanjawan kali ini kerajaan tidak memberi peruntukan buat mahasiswa.
Rujuk artikel “MPPK mohon kerajaan nilai semula insentif untuk mahasiswa” di pautan;
https://editormalaysia.com/18580/
Persoalannya, adakah itu sahaja bantuan yang menjadi tumpuan sedangkan banyak lagi bentuk bantuan yang diberi oleh kerajaan, tetapi tidak diketahui maka menjadi satu kerugian apabila ia tidak dimanfaatkan.
Wujudkan aplikasi khas belanjawan
Justeru kerajaan disarankan agar mewujudkan segera satu aplikasi ringkas yang memudahkan rakyat menyemak dan memohon bantuan yang ditawarkan tanpa tertinggal walaupun satu bantuan atau inisiatif yang sepatutnya layak dimohon.
Sebagai contoh, seorang peniaga kecil-kecilan yang berumur 43 tahun, pernah bekerja dan mencarum dengan KWSP namun kini berniaga sendiri serta tidak lagi membayar caruman. Statusnya pula berkahwin dan memiliki 3 orang anak, berpendapatan seisi rumah di bawah RM5,000 dan belum mampu memiliki rumah sendiri.
Mungkin beliau menyangka hanya boleh menerima bantuan BPR sebanyak RM750 sahaja sedangkan ada lagi bantuan persekolahan untuk anak dan keluarga namun tidak diketahuinya termasuklah memohon PR1MA.
Padanan
Melalui aplikasi ini akan memudahkan beliau menyemak kelayakan bantuan, dengan memasukkan data mengenai dirinya dan menjawab soalan ringkas mengenai pendapatan, umur, tanggungan dan lain-lain yang berkaitan maka secara automatik sistem aplikasi tersebut akan membuat padanan dengan bantuan dan insentif yang layak diterimanya.
Malaysiakini ada membuat kuiz padanan yang boleh dicuba melalui pautan berikut; https://newslab.malaysiakini.com/budget2021/my/quiz
Semakan
Padanan yang dibuat tidak semestinya secara automatik melayakkan beliau menerima bantuan atau inisiatif tersebut kerana beliau tetap perlu mengajukan permohonan dan semakan kelayakan seperti biasa yang dilakukan kerajaan (seperti semakan BPN dan GKP).
Permohonan
Selanjutnya beliau boleh terus memohon bantuan dan insentif tersebut juga melalui aplikasi yang sama kerana data dirinya dan keluarga sudah dimasukkan lebih awal.
Sekiranya ada dokumen yang tidak lengkap atau permohonan beliau tidak memenuhi syarat dan tidak melayakkan beliau menerima bantuan tersebut, maka beliau boleh menyemak lagi dengan menghantar pertanyaan secara terus menggunakan “in app messaging” atau emel melalui aplikasi tersebut kepada Kementerian atau jabatan berkaitan, tanpa bersusah payah perlu menyemak nombor ataupun membuat panggilan terus yang belum tentu akan diangkat.
Smart Assistance
Boleh juga dihubungkan dengan ‘App Bot‘, ‘Chat Bot‘, atau ‘virtual assistant‘ seperti ‘Siri’ yang akan melayani pelanggan tanpa melibatkan trafik yang tinggi terhadap mana-mana jabatan atau kementerian terlibat, amat praktikal selagi tidak merumitkan pengguna.
Bantuan untuk mahasiswa dan golongan sasaran yang lain
Bagi mahasiswa pula boleh secara terus mengetahui apa jenis bantuan dan inisiatif yang mereka boleh dapatkan selain daripada apa yang dimohon kepada kerajaan melalui Persatuan dan universiti, pasti ada jenis bantuan lain yang boleh didapatkan, di samping teruskan juga usaha memohon bantuan khusus buat mahasiswa.
Begitu juga golongan sasaran yang lain mengikut jenis bantuan dan inisiatif yang disalurkan.
Semakan pemohon dan penerima secara langsung
Apa yang lebih menarik, kerajaan dan mana-mana pihak berkaitan (contohnya universiti) boleh menyemak secara terus sama ada pemohon dan penerima bantuan adalah sama dengan jumlah data yang ada pada Kementerian bagi memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada golongan sasar dan memastikan agar tidak ada penerima yang ketinggalan.
Melalui aplikasi ini semua pihak juga boleh membantu jiran atau kenalan yang memerlukan, mungkin beliau ada anak bujang OKU yang boleh memohon pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan, tetapi tidak diketahui oleh keluarganya selain BPR.
Manfaat besar buat kerajaan melalui aplikasi
Bagi kerajaan, paling utama akan memperoleh data penting mengenai adakah bantuan dan inisiatif yang disalurkan benar-benar dapat dimanfaatkan oleh rakyat dan kajian boleh dilakukan untuk mengenalpasti golongan tertentu yang mungkin tercicir, bagi menambahbaik Belanjawan di masa hadapan.
Keselamatan aplikasi
Tentunya sistem aplikasi ini perlu dilengkapi dengan anti pencerobohan dan penipuan agar tiada yang memanipulasi data individu lain dan ‘merampas hak’ mereka kelak.
Kerajaan tentu mempunyai cara menangani isu ini apatah lagi GKP dan BPN juga telah disalurkan sebelum ini tanpa mempunyai sebarang masalah.
Manfaat teknologi, mampu elak urusan bersemuka di Kementerian dan jabatan kerajaan
Selain cara ini digunakan bagi memanfaatkan teknologi yang semakin berkembang, ia juga mampu mengurangkan pendekatan bersemuka dengan penjawat awam terutamanya dalam keadaan negara masih lagi berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.
Terpulang kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan ‘feature‘ yang bersesuaian, paling tidakpun agar rakyat boleh semak dan mohon bantuan dan inisiatif agar tidak ada lagi yang tertinggal bantuan yang sebenarnya banyak disediakan oleh kerajaan.
Harapan
Harapan kami di Editor Malaysia agar tiada rakyat yang rasa terpinggir melalui Belanjawan 2021 sedangkan banyak bantuan yang boleh didapatkan sekiranya semua pihak mahu memanfaatkan teknologi yang ada.
Malah melalui tinjauan rambang kami mendapat ramai yang hanya ‘perasan’ dengan bantuan seperti pengeluaran KWSP dan BPR sedangkan banyak lagi pakej bantuan yang boleh didapatkan.
Wallahualam.