BAJET 2021: REBUT KUASA, POLITIKUS DERHAKA TITAH YDP AGONG

533
SHARES
3.1k
VIEWS

1. Menyentuh soal politik negara, sudah 25 kali Pakatan Harapan (PH) kalah dalam undian belah bahagi di peringkat Jawatankuasa Bajet dan juga Bacaan Kali Pertama – hal ini menunjukkan hingga saat ini, janji DS Anwar Ibrahim masih tidak menjadi realiti. Bisingnya desakan untuk “undi percaya” dan “undi tidak percaya” agar dibentangkan di Dewan Rakyat namun ditolak oleh Speaker dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan hujah, akibatnya janji Anwar tidak menjadi juga lagi.

2. Petang semalam 14 Disember 2020, Tun Dr. Mahathir bergandingan dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mengajak Ahli Parlimen menolak Bajet di Bacaan Ketiga hari ini 15 Disember 2020, tindakan ini sekaligus termasuk dalam agenda menolak Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-9. Sekali lagi “lock, stock and barrel” Anwar ditolak!

3. Dan kali ini Tun Mahathir tanpa segan silu terang-terangan menawarkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-9 kononnya dengan alasan beliau mampu mengembalikan negara ke landasan yang benar, dan kali ini juga beliau sanggup menerima Barisan Nasional dan UMNO untuk membentuk satu gabungan besar parti-parti Melayu, yang terdiri dari parti PEJUANG, BERSATU, UMNO dan PAS, kecuali Datuk Seri Najib Razak dan “kalangan mereka yang bermasalah” yang beliau maksudkan beberapa kerat musuhnya di dalam UMNO.

4. Anjuran dan gesaan Tun Mahathir, Ku Li dan beberapa “macai Pakatan Harapan” supaya semua Ahli Parlimen menolak Bajet 2021 pada Bacaan ke-3 adalah gesaan terdesak politik mereka yang tagih sambungan nyawa paling murah nilainya. Ini kerana setelah gagal di Bacaan Pertama, begitu juga gagal di peringkat semakan Jawatankuasa Bajet dan kini mereka merayu agar Ahli Parlimen menolak Bajet yang tentunya semata-mata ingin menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

5. Dalam masa yang sama, kita sedari betapa Tun Mahathir dan Ku Li sudah lupa bahawa mereka itu sendiri adalah masalah besar kepada rakyat dan negara dan jika diperincikan segala kerosakan yang telah mereka lakukan ketika mereka pernah diberi amanah mentadbir negara amat memalukan. Justeru, seruan Tun Mahathir berupa “asal kerajaan Perikatan Nasional tumbang” ini sangat tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada negara dan ummah.

6. Bukankah tindakan terdesak ‘eleventh hour’ ini amat jijik lagi hina seolah-olah Ahli Parlimen Pakatan Harapan tiada modal berhujah, mereka seharusnya berfungsi sebagai semak dan imbang di Parlimen kepada semua dasar kerajaan, bukannya mengintai-intai mencari peluang menjatuhkan kerajaan.

7. Sudah-sudahlah! Rakyat mengikuti dan meneliti setiap perkembangan perbahasan Dewan Rakyat dan ternyata barisan pembangkang sedia ada kekeringan idea, tiada permuafakatan, tiada arahan yang jelas, lemah dan masih gagal mendapatkan “formidable numbers” yang dijaja Anwar Ibrahim ke sana-sini sekian lama. Juga yang masih mencongak jumlah Akuan Bersumpah (SD) terkumpul terus terapung tanpa jejak di bumi nyata. Semalam media juga ada melaporkan daripada bilangan 113 sudah ada yang menafikan keterlibatan dalam memberi tandatangan SD menyokong beliau sekalipun beliau mengakui punya Akuan Bersumpah tersebut.

8. Rakyat sedang melihat dan mendengar semua aksi wakil rakyat di Parlimen. Aksi-aksi yang ditunjukkan adalah kepura-puraan semata-mata demi survival politik masing-masing. Kita doakan selamat mengundi Perikatan Nasional dalam Bacaan Ketiga di Parlimen dan bergerak maju demi menjana semula ekonomi negara di samping membendung wabak yang mengganas menimpa ummah.

9. Perikatan Nasional yang dianggotai UMNO-PAS-PPBM-GPS-Bebas harus terus berani menongkah arus politik paling kotor dalam sejarah negara untuk menyuntik bantuan bajet kepada yang amat memerlukan ketika dicengkam ancaman wabak Covid-19. Pemimpin boleh menyusun catur politik mengikut sangkaan masing-masing namun takdir Allah Taala tetap tidak berubah dan tanggungjawab yang diabaikan tetap akan dipersoalkan nanti di akhirat kelak: “Apa yang kamu lakukan semasa kuasa di tangan kamu?

10. Sebagai seorang Muslim, kehidupan kamu, urusan dunia kamu dan ibadah kamu tidak boleh dipisah-pisahkan, persoalannya mana bahagian amanah kamu terhadap janji-janji yang kamu lafazkan setiap kali kamu solat lima waktu: “Sesungguhnya, solatku, dan pengorbananku, dan hidupku, serta matiku hanyalah semata-mata kerana-MU sembahan sekalian alam.”

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts