BAJET 2021: MPPK MOHON KERAJAAN NILAI SEMULA INSENTIF UNTUK MAHASISWA

1.7k
SHARES
5.4k
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Seiring dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang baharu sahaja selesai dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Aziz sebentar tadi, MPPK ingin menzahirkan kekecewaan ekoran ketiadaan pengumuman mengenai bantuan-bantuan khas untuk golongan seperti kami.

Situasi ini telah menyebabkan ramai rakan-rakan mahasiswa di seluruh negara menyatakan keluhan dan kekecewaan mereka yang seakan terpinggir dengan ketiadaan bantuan tambahan yang amat diharapkan dalam situasi pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan seluruh golongan pelajar dan mahasiswa.

Dalam keseluruhan RM14.4 bilion yang diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan untuk Kementerian Pengajian Tinggi, dapat dilihat hanya memfokuskan kepada penambahbaikan infrastruktur universiti, naik taraf akses MYREN, pengenalan skim pinjaman pinjaman komputer riba untuk pelajar IPT dan pelepasan cukai bagi simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Tiada pengumuman semula skim MyBrain, tiada pengumuman bantuan khas prihatin untuk golongan pelajar dan mahasiswa, bahkan tiada juga pengenalan Kad Prihatin Siswa dan Baucar Buku serta insentif untuk golongan pelajar yang menyewa di luar kampus.

Skim MyBrain yang selama ini menjadi tonggak bagi negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan yang sekian lama tidak perkenalkan semula, adalah amat penting untuk memastikan negara tidak kekurangan tenaga kerja mahir pasca siswazah yang berinovatif dan berkepakaran tinggi.

Selain itu, ketiadaan pengumuman mengenai bantuan kewangan khas bagi golongan mahasiswa juga turut menimbulkan keresahan kami. Hal ini kerana bantuan ini sememangnya diperlukan oleh mahasiswa ketika ini terutamanya dalam situasi pandemik yang masih belum berakhir.

Ketiadaan pengumuman Kad Prihatin Siswa seperti yang dituntut oleh pihak MPPK juga akan menambah lagi kesulitan kepada para mahasiswa. Cadangan Kad Prihatin Siswa ini adalah untuk merangkumkan diskaun-diskaun khas untuk golongan mahasiswa dalam menghadapi situasi hari ini.

Seterusnya, ketiadaan pengenalan insentif khas untuk pelajar yang menyewa di luar kampus juga akan menambahkan lagi beban mereka. insentif ini sebenarnya amat diperlukan untuk mereka dapat menyewa dan mendapat akses pendidikan dalam talian yang lebih baik dan kondusif berbanding di rumah sendiri. Insentif ini juga akan dapat membantu mereka berdepan dengan situasi di luar kawalan yang mereka hadapi pada hari ini.

Dalam pada itu, MPPK berterima kasih dan menghargai usaha pihak kerajaan dengan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menaiktaraf talian akses Malaysian Research & Education Network (MYREN) yang akan meningkatkan kelajuan akses internet di IPT-IPT seluruh Malaysia kepada 500Mpbs hingga 10Gbps. Insentif ini akan sedikit sebanyak membantu dalam pengajaran secara dalam talian di setiap IPT seluruh Malaysia.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM7.4 bilion untuk tahun 2021 dan 2022 yang akan diberikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar turut disambut baik. Hal ini bertepatan dengan Agenda 8 yang dibawa oleh MPPK kepada Perdana Menteri iaitu menaiktaraf kualiti capaian internet di seluruh Malaysia.

Akhir sekali, MPPK menuntut pihak Kementerian Kewangan supaya menilai semula pengumuman Belanjawan 2021 bagi sektor pengajian tinggi dan kembali dengan tawaran yang lebih baik supaya golongan pelajar dan mahasiswa yang merupakan pewaris negara pada masa akan datang kekal terpelihara kebajikan mereka. MPPK percaya pihak KPT telah membawa segala cadangan yang telah diusulkan oleh MPPK dan percaya cadangan ini boleh diperhalusi dengan lebih baik oleh Kementerian Kewangan.

Sekian, terima kasih.

Memartabat Mahasiswa Malaysia

MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI

PRESIDEN

MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN

6 November 2020

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts