MEMACU KEMANDIRIAN BANGSA MELAYU

370
SHARES
2.2k
VIEWS

Mukadimahnya rakyat terlebih dahulu harus memahami konsep pemerintahan negara Malaysia ini yang mengamalkan pemerintahan mengikut sistem Raja Berperlembagaan, dan ini jelas apabila melihat kepada struktur susunan asal pentadbiran negara sejak sebelum bebas daripada campur tangan kuasa Barat, kalau di Semenanjung ini dengan British.

2. Begitu juga dengan negara jiran mereka berdepan dengan Belanda, tetapi dihapuskan oleh PKI, Parti Komunis Indonesia, begitu juga jika di Indo China dengan Perancis, tetapi kini sudah tiada lagi. Manakala di negara Filipina, Kesultanan Melayu Sulawesi berdepan dengan penjajah Sepanyol dan kemudiannya Amerika setelah berlaku peperangan sesama mereka dan Amerika mengambil alih menguasai Filipina. Kesimpulannya Barat tidak menghapuskan kesultanan Melayu tetapi terhakis sedikit demi sedikit melalui perubahan sosio-budaya, dan sosio-politik.

3. Di sepanjang zaman kerajaan Melayu Islam ini kerajaannya kekal berdaulat dan diiktiraf kedaulatannya oleh kerajaan British, sebab itu Barat tidak menghapuskan kedudukan Kesultanan Melayu, begitu juga dengan Kesultanan Melayu kejiranan seperti di Sumatera dan sekitar kepulauan sehinggakan bagi negara merdeka Tanah Melayu ini ketika mahu menyediakan Perlembagaan Persekutuan, bertujuan menyerahkan kuasa eksekutif mentadbir negara kepada jamaah menteri dan diketuai oleh seorang Perdana Menteri, Raja-Raja Melayu merupakan rujukan pihak British bukannya rakyat jelata ataupun rakyat majmuk.

4. Justeru, tidak timbul soal di mana kedudukan kuasa Yang Di-Pertuan Agong kerana kedudukannya, kuasanya, kedaulatannya sudah termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Mana-mana pihak yang mempertikaikan kedudukan Raja-raja Melayu adalah mereka yang jelas menunjukkan sikap bukan hanya khianat kepada negara tetapi juga menderhaka kepada Raja-raja Melayu dan ini selaras dengan prinsip Rukun Negara: Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

5. Oleh itu, kenyataan seperti yang dilakukan oleh pemimpin UMANY terang-terangan melanggar Rukun Negara dan juga Perlembagaan Persekutuan. Mereka yang menderhaka ini mesti dikenakan hukuman walau seringan mana sekalipun sebagai pengajaran kepada yang lain agar rakyat tidak terlalu bersikap biadap terhadap “simbol kedaulatan negara” baik melalui ucapan atau perbuatan. Pada prinsip ke-5 dalam Rukun Negara itu juga menetapkan warganegara Malaysia perlu mengamalkan sikap “Kesopanan dan Kesusilaan”, yang pengertiannya rakyat negara ini mengamalkan ketinggian akhlak dengan sikap bersopan-santun dan bersusila dalam perlakuan.

6. Kemelut politik dalam negara sedikit sebanyak menimbulkan juga persoalan apakah bentuk pemikiran umat Islam Melayu berkaitan pemerintahan yang dikuasai oleh bukan Islam dan bukan Melayu? Untuk ini, MUAFAKAT amat risau dan bimbang dengan bentuk pemikiran terutama di kalangan anak muda yang rata-rata menunjukkan sudah tidak mengambil peduli; ini berkaitan kedudukan agama dan kemandirian bangsa.

7. Pengaruh budaya palsu dari Amerika mulai dilihat meresapi minda generasi muda apabila jati diri kebangsaan itu sudah luntur diganti dengan slogan palsu hak asasi, walhal Amerika sendiri sikap rasis masih sangat kuat di kalangan majoriti rakyatnya. Kaum kulit hitam masih lagi dianggap sebagai kelas kedua di beberapa negeri. Paparan rancangan TV hanyalah gimik bagi menutup kelemahan mereka sendiri.

8. Dari perspektif Tanah Melayu pula, dengan sejarah dan bukti-bukti arkeologi jelas menunjukkan bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera lainnya merupakan penduduk asal Tanah Melayu atau Malaysia hari ini. Dengan bukti kajian ini sepatutnya bangsa Melayu harus bangga dan bersikap lebih agresif dari segi produktiviti dalam sektor ekonomi dan juga jati diri kerana pembuktian kewujudan orang Melayu itu sebagai penaik semangat dan memberi keyakinan diri, tetapi malangnya dalam masa yang sama Melayu tidak terlepas daripada dimanipulasi oleh mereka yang memutar belit fakta yang kemudiannya menyebabkan sikap sebahagian bangsa Melayu sering kali merasa rendah diri dan lemah di hadapan bangsa lain yang mendatang.

9. Kesatuan dan perpaduan sepatutnya menjadi agenda terbesar umat Islam dan Melayu serta Bumiputera yang lain. Melayu harus bangkit dengan semangat baru tanpa perlu berasa apologetik kepada bangsa lain. Perbezaan fahaman harus diketepikan dengan meletakkan kenegaraan yang Islamik itu sebagai matlamat utama setiap kumpulan baik daripada parti politik, pertubuhan Islam bukan kerajaan, hatta kakitangan kerajaan itu sendiri jika mahu menjayakan negara Melayu Islam.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts