BELANJAWAN 2021: PELAKSANAAN DI SEKTOR PERTANIAN PERLU BERSIFAT TRANSFORMATIF DAN TELUS

551
SHARES
1.8k
VIEWS

Kenyataan Media Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)

Belanjawan 2021 bagi sektor pertanian menerima peruntukan sejumlah RM4.79 billion iaitu berkurangan lebih kurang sebanyak RM200 juta berbanding tahun 2020. Daripada jumlah ini belanja mengurus berkurang sebanyak RM306 juta manakala belanja pembangunan bertambah RM148 juta.

Sorotan yang diketengahkan oleh MAFI dalam belanjawan ini adalah bantuan kepada petani, peladang dan nelayan iaitu RM960 juta untuk subsidi dan insentif tanaman padi, RM570 juta untuk subsidi harga padi dan RM151 juta untuk elaun sara hidup nelayan. Insentif sara hidup nelayan meningkat daripada RM250 kepada RM300 sebulan, subsidi input pertanian (baja, benih, racun dan lain-lain) serta baja padi bukit yang telah dipotong dalam belanjawan 2020, ditambah kembali sebanyak RM30 juta dan RM40 juta.

Namun begitu jumlah keseluruhan subsidi harga padi telah berkurang sebanyak RM50 juta. Begitu juga perbelanjaan untuk pengurusan dan penyelenggaraan antaranya untuk pengairan dan saliran, MADA, KADA, kawasan IADA dan MARDI yang keseluruhannya berjumlah ratusan juta.

Program-program 2021 yang difokuskan MAFI adalah Program Pembangunan Vesel Dan Mekanisma Tangkapan (RM150 juta), Ladang E-satelit (RM10 juta), Pengembangan Program Akuakultur (RM10 juta), Modernisasi IR4.0 Agromakanan (RM60 juta), Kebun Komuniti (RM30 juta), Pertanian Organik (RM50 juta) dan Projek Pertanian dan Penternakan (RM100 juta).

Peruntukan yang besar untuk program seperti Kebun Komuniti dan Pertanian Organik adalah sangat dialu-alukan. Ia telah lama tertangguh dan kini perlu di sokong penuh oleh semua pihak yang selama ini mempromosikan amalan pertanian yang baik. Namun, seharusnya perbelanjaan untuk industri penting seperti padi dan beras
tidak dikurangkan terutama untuk pembangunan infrastruktur.

Sudah lama sepatutnya infrastruktur seperti saliran dan empangan dibaikpulih dan dipertingkatkan kerana tanpa infrastruktur fizikal yang baik, mustahil untuk melaksanakan dengan jayanya projek IR4.0 ‘internet of things’ seperti kawalan penjadualan air secara automatik.

Dalam hal pengurangan jumlah subsidi harga padi pula, bilangan pesawah yang akan menerima subsidi harga penuh bagi setiap tan hasil bendang akan berkurangan terutama pesawah yang berada di kawasan luar jelapang. Perkara ini sudahpun dibangkitkan ketika ini oleh mereka yang di luar jelapang seperti di Melaka dan Johor.

Secara tidak langsung, objektif insentif ini untuk menambah hasil padi negara tidak dipenuhi. Penumpuan kepada teknologi dalam sektor pertanian dan perikanan adalah disokong namun perlu dipastikan teknologi tersebut adalah bersesuaian dengan taraf kemahiran dan kemampuan untuk memiliki dan menggunakannya oleh para petani.

Kita tidak mahu pekerjaan di luar bandar nanti diambil alih oleh orang-orang bandar kerana jurang penguasaan teknologi yang besar antara bandar dan luar bandar. Kita juga tidak mahu fenomena ini akhirnya akan menyebabkan pertambahan kos kepada petani dan nelayan kecil dan seterusnya meminggirkan mereka daripada industri ini.

Penstrukturan semula belanjawan dalam industri ini mestilah bersifat transformatif di mana kepelbagaian agrobiodiversiti tanaman mesti diberi tumpuan berbanding memfokuskan tanaman tertentu seperti nanas. Manakala sektor padi dan beras yang merupakan makanan ruji negara seharusnya diperkasakan dalam belanjawan setiap tahun demi jaminan bekalan makanan negara.

Mesti dipastikan penyampaian subsidi ini dilaksanakan dengan teliti dan menyeluruh supaya projek-projek pertanian komuniti dan organik yang dicetuskan pada tahun 2021 nanti mampu berterusan dan tidak hanya menjadi trend semasa sahaja. Sebagai contoh, harga hasil padi organik dan harga hasil padi bukan organik yang dijual di kilang komersial adalah sama menyebabkan petani kurang berminat menanam padi organik secara besar-besaran.

Pemberian subsidi terus kepada petani melalui kupon adalah lebih praktikal dan bermanfaat berbanding melalui vendor yang sering berlaku masalah ketirisan dan kawalan kualiti yang rendah. Punca kebanyakan masalah petani yang mengeluarkan hasil yang rendah sering kali terkait dengan sistem penyampaian, pengurusan dan penguatkuasaan yang lemah.

Baru-baru ini, pesawah – pesawah padi dari Kedah, Perak dan Perlis kecoh kerana sistem kuota penghasilan benih dan ketiadaan koordinasi antara jadual bekalan air dan bekalan benih menyebabkan berlaku eksploitasi harga dan pembekalan benih yang berkualiti rendah. Masalah ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan teknologi baharu mahupun pertambahan perbelanjaan, apa yang diperlukan adalah kemahuan politik.

Oleh Nurfitri Amir Muhammad

Koordinator

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)

16 November 2020

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts