(Jawapan dihimpun daripada bekas pegawai-pegawai JASA, bukan daripada JASA BARU atau JASA 2.0)
TUDUHAN (T) dan jawapan (J) mengenai JASA;
T1: Sekiranya JASA berkesan dalam menjalankan tugasnya, Kerajaan BN tidak akan kalah semasa PRU ke-14 yang lalu.
J1a. Memastikan kemenangan mana-mana parti politik bukanlah tugas JASA.
J1b. Ambil perumpamaan sebegini; Kementerian Kesihatan wajar ditutup dan para doktor serta jururawat perlu dipecat dan Kementerian dimansuhkan kerana gagal membendung wabak COVID-19 daripada tersebar.
Tidak masuk akal bukan?
Anggap sahaja wabak fitnah PH dahulu lebih dasyat daripada wabak COVID-19, maka adakah wajar JASA dimansuhkan akibat kegagalan membendung wabak fitnah tersebut?
Semasa menghadapi PRU-14, Kerajaan mempunyai 11 agensi strategik termasuk kumpulan-kumpulan khas yang ditubuhkan bagi membantu menghadapi wabak fitnah PH. Tetapi, apabila kalah, hanya JASA dipersalahkan.
Tidak adil bukan?
T2. JASA merupakan agensi propaganda UMNO/BN.
J2. JASA telah ditugaskan untuk menjawab segala berita palsu dan menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat. Siapa yang menentukan maklumat itu sahih atau palsu? Sudah tentu pihak kerajaan dan juga kementerian.
Maka JASA ditugaskan untuk menjawab berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak kerajaan dan kementerian.
Ketika itu, terdapat dua (2) isu yang menjadi keutamaan JASA untuk diterangkan kepada masyarakat iaitu isu GST dan isu 1MDB. Kedua-duanya adalah isu Kerajaan dan JASA ditugaskan untuk menjawab isu tersebut.
Apabila bertukar kepada kerajaan PH, mereka pula yang menentukan bahawa berita mereka sebelum PRU-14 adalah sahih dan tepat manakala JASA pula dianggap sebagai agensi propaganda BN kerana menyebarkan berita ‘palsu’ berpihak kepada BN.
Adakah adil dianggap sedemikian walhal JASA menjawab kembali tuduhan berdasarkan kerajaan pada waktu itu?
Atas sebab sedemikian, JASA perlu ditutup dan seluruh kakitangan JASA yang merupakan penjawat awam perlu diberhentikan.
T3. JASA buat apa dahulu, tidak nampakpun kerja JASA sampai ke tempat saya?
T4. Betul ke JASA ini memberi maklum balas rakyat kembali kepada kerajaan?
(Tuduhan 3 & Tuduhan 4 dijawab bersekali)
J3 & J4: Untuk mendapatkan maklum balas daripada masyarakat, JASA mempunyai sistem laporan isu mingguan yang mana setiap pegawai JASA perlu mengisinya untuk disampaikan kepada ibu pejabat yang mana ia akan diproses dan diberi kesimpulan untuk disampaikan kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat perancangan intervensi terhadap isu tersebut.
Atas sebab sedemikian, JASA mempunyai seorang pegawai di DUN dan seorang pegawai Parlimen.
Oleh kerana satu-satu kawasan itu agak luas, maka pegawai JASA mendapatkan maklum balas daripada ketua komuniti daripada satu lokaliti atau satu kawasan. Kebiasaannya, ketua komuniti terdiri daripada ketua kampung, ketua NGO, pengerusi masjid dan surau, pengerusi kejiranan dan lain-lain lagi termasuk pemimpin politik setempat.
Apabila perancangan intervensi telah dipersetujui di peringkat atasan, maka ibu pejabat pula bertanggung jawab untuk menyusun aktiviti penerangan untuk dilakukan. Antaranya:
a. Pegawai dipanggil untuk diberikan taklimat mengenai isu tertentu.
b. Kawasan tertentu akan dipilih untuk dijalankan aktiviti penerangan di dalam kelompok kecil biasanya kepada ketua komuniti untuk disampaikan semula kepada ahli komuniti tersebut. Pada peringkat ini program seperti usrah, taqarrub, ceramah kelompok kecil dan lain-lain aktiviti dilakukan. Tidak semua kawasan boleh dilakukan program seperti ini kerana kekangan kewangan dan juga tenaga kerja; RM80 juta tidak mencukupi untuk buat di semua kawasan di seluruh negara. (Daripada RM80 juta tersebut, RM50 juta telah digunakan sebagai perbelanjaan emolumen).
c. Di peringkat ibu pejabat pula, aktiviti penerangan akan dijalankan secara berskala besar melalui media sosial dan program mega yang biasanya dijalankan bersama agensi strategik yang lain.
Sekiranya anda tidak terlibat dengan aktiviti bersama komuniti seperti turun ke surau dan masjid, sememangnya anda tidak akan berjumpa dengan pegawai JASA di kawasan anda.
Selain daripada itu juga, JASA turut ditugaskan untuk memantau isu-isu semasa dan bagi tujuan itu JASA perlu memantau sebarang aktiviti himpunan masyarakat termasuk demonstrasi seperti himpunan anti-GST, himpunan anti-TPPA dan pelbagai lagi bagi mendapatkan maklumat mengenai kefahaman mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut supaya dapat disampaikan kepada pihak atasan supaya rangka jawapan yang lebih komprehensif dapat dihasilkan.
Ini cuma sebahagian daripada tugasan pegawai JASA yang kami yakin tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana agensi lain yang ada.
Usah pertikaikan tugasan kami.
Dipetik dari laman Facebook “Info Berita JASA” di pautan;
https://www.facebook.com/1860151924211393/posts/3104535376439702/