BELANJAWAN 2021: AGAMA ISLAM TERUS DIPERKASA

622
SHARES
2k
VIEWS

Seiring dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kerajaan yang memerintah seharusnya menjadikan sistem ekonomi Islam sebagai matlamat dan kerangka dalam membangunkan negara.

Dalam keadaaan negara sedang menghadapi pandemik COVID-19, kerajaan masih lagi mampu mengemukakan satu belanjawan yang mantap secara keseluruhannya mengambil kira segala aspek agama Islam menjelang tahun 2021 di mana sektor ekonomi yang paling banyak terkesan dengan penularan COVID-19.

Cabaran memenuhi aspirasi Malaysia sebagai model negara Islam perlu memenuhi kehendak bajet dari sudut dasar galakan, insentif dan perundangan kerana ia akan memenuhi keperluan sektor halal, kewangan Islam dan institusi sosio-ekonomi antaranya wakaf dan zakat yang berdaya saying dengan keperluan semasa.

Kerajaan Malaysia melalui Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia di Parlimen dengan tema Belanjawan 2021 iaitu “Teguh Kita, Menang Bersama” dilihat banyak memperkasakan aspek agama Islam sebagai panduan dalam merangka belanjawan tersebut.

Aspek pertama adalah memartabatkan syiar Islam melalui Pembangunan Islam, Belanjawan 2021 dilihat memperuntukkan 1.4 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kerajaan akan memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Antara lain, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun Guru Takmir daripada 800 kepada 900 ringgit sebulan sebagai tanda menghargai jasa 4,000 Guru Takmir dan Bayaran Khas one-off sebanyak 500 ringgit kepada para imam, bilal, siak, noja, merbut, guru takmir, dan guru KAFA. Aspek agama Islam terus diperkasa melalui stratgi kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat. 

Strategi melalui belanjawan kesihatan untuk memerangi pandemik COVID-19 dan melindungi kesihatan awam yang sememangnya dituntut dalam agama Islam. Seterusnya, usaha kerajaan dalam memelihara kebajikan golongan rentan dengan meringankan beban hidup rakyat dan penambahbaikan bantuan kewangan adalah garis panduan Islam yang sangat dituntut.

Aspek Maqasid al-Syariah yang bertujuan menjaga maslahat dan kepentingan masyarakat secara menyeluruh dapat dilihat pada Belanjawan 2021 tersebut. Kerajaan juga seterusnya memperkasa sumber ekonomi halal berlandaskan syariat Islam iaitu pertanian, perladangan dan perikanan dengan memberi bantuan kepada petani, peladang dan nelayan.

Aspek Pendidikan ialah aspek terpenting dalam agama Islam dalam memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah 50.4 bilion ringgit atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Kerajaan.

Sekolah pondok dan institusi tahfiz yang berperanan dalam menyebarkan ilmu Islam juga mendapat inisiatif Pendidikan Islam dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang akan diberikan kepada 15,000 pelajar.

Akhir sekali, usaha kerajaan dalam memperkasakan golongan wanita dengan memperuntukkan 95 juta ringgit pembiayaan mikro kredit khas disediakan melalui TEKUN, MARA dan AgroBank. Kerajaan juga menyedari akan pentingnya menangani isu keganasan rumah tangga. Oleh itu, kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat dengan peruntukan 21 juta ringgit.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar sebanyak RM322.5 billion telah mengambil kira semua aspek dan komuniti yang pelbagai untuk memastikan tiada mana-mana golongan yang terkecuali.

Justeru, dalam situasi pandemik hari ini, Belanjawan 2021 telah mengikut garisan Maqasid al-Syariah yang akan memastikan kesejahteraan hidup dan membela nasib golongan yang terjejas.

Oleh Dr. Intan Maizura Abd Rashid 

(Penulis  merupakan Pensyarah Kanan Kewangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka, serta Pensyarah Pelawat di Seoul National University Korea (SNUAC) 2020, Ketua Pakar Perunding Perlis (Kerajaan Negeri). Berkelulusan PhD dalam bidang ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM). Mengarang dan menulis lebih dari 50 makalah penyelidikan yang merangkumi 40 makalah yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa dan 10 makalah yang diterbitkan dalam prosiding persidangan antarabangsa) 

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts